fbpx

Hampir Sejuta Rakyat Malaysia Tak Bertegur Dengan Jiran Dalam Sebulan, Wanita Catat Lebih Tinggi

Menurut Ketua Perangkaan Malaysia, golongan lelaki lebih ramai berinteraksi dengan jiran setiap hari iaitu 3.11 juta orang, sekali seminggu (3.12 juta orang) dan sekali sebulan (0.8 juta orang).

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

‘Jiran sepakat membawa berkat’, begitulah pepatah yang sering didengari sejak dahulu lagi bagi memupuk semangat kejiranan dalam setiap rakyat Malaysia.

Ini kerana, menetap di sebuah kawasan kejiranan haruslah sentiasa saling bantu-membantu dan memahami di antara satu sama lain agar kemakmuran hidup bermasyarakat dapat dikekalkan.

Malah, Rasullulah SAW menasihatkan umat Islam untuk berbuat baik kepada jiran tanpa mengira agama, bangsa, warna kulit.

Pun begitu, masih ada segelintir individu yang tidak pernah bertegur sapa bahkan tidak mengenali jiran yang ada di sekeliling rumahnya.

Hampir sejuta rakyat Malaysia tak bersemuka dengan jiran dalam sebulan

Ketua Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, hampir sejuta rakyat Malaysia didapati tidak pernah bersemuka dengan jiran-jiran dalam tempoh sebulan.

Menurutnya, seramai 958,808 orang atau 6.5% daripada 14.8 juta responden mengaku tidak pernah mempunyai interaksi bersemuka dengan jiran mereka.

“Rakyat Malaysia mempunyai kejiranan yang lebih baik apabila dua perlima (41.4%) terlibat dalam interaksi bersemuka dengan jiran setiap hari, 41.5% pula sekurang-kurangnya sekali seminggu dan 10.6% sekurang-kurang­nya sekali sebulan.

“Namun begitu, 6.5% responden mengaku tidak pernah berinteraksi dengan jiran dalam tempoh sebulan,” katanya dipetik Kosmo.

Statistik itu dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia melalui penerbitan Banci Malaysia 2020: Kesejahteraan Penduduk (Hubungan Sosial) berdasarkan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci Malaysia 2020).

Menurutnya lagi, seramai 13.8 juta daripada 14.8 juta responden pula didapati terlibat dalam interaksi bersemuka dengan jiran dalam tempoh sebulan.

Kelantan, Sabah dan Terengganu catat jumlah tinggi kadar interaksi dengan jiran

Jelas Mohd. Uzir, kadar interaksi dengan jiran pada setiap hari adalah lebih tinggi di Kelantan (55.8%), Sabah (54.7%), Terengganu (52.8%), Kedah (52.7%), Sarawak (51%) dan Perlis (50.4%).

“Antara peratusan tertinggi untuk interaksi seminggu sekali dengan jiran adalah di Pulau Pinang (50.3%), Melaka (47.6%) dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (47.2%).

“Sementara itu, Pakan (98.0%) dan Bukit Mabong (96.3%) di Sarawak dan Tongod, Sabah (97.5%) menonjol sebagai daerah yang paling mesra kerana kadar interaksi dengan jiran pada setiap hari yang tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata golongan lelaki pula lebih ramai berinteraksi dengan jiran setiap hari iaitu 3.11 juta orang, sekali seminggu (3.12 juta orang) dan sekali sebulan (0.8 juta orang).

Jumlah wanita tidak berinteraksi dengan jiran lebih tinggi berbanding lelaki

Bagaimanapun Mohd. Uzir berkata golongan wanita iaitu 480,624 orang pula didapati lebih ramai berbanding lelaki (478,184 orang) yang tidak berinteraksi dengan jiran dalam sebulan.

“Penduduk berumur 15 hingga 64 tahun berinteraksi dengan jiran sekurang-kurangnya sekali seminggu (41.9%) adalah paling ramai, manakala penduduk berumur 65 tahun dan lebih kebanyakannya bertegur sapa setiap hari (46.7%).

“Bumiputera (Melayu dan Bumiputera lain-lain) keba­nya­kannya berinteraksi de­ngan jiran setiap hari (47.7%), manakala Cina (44.4%) dan India (45.9%) kebanyakannya berinteraksi sekurang-kurangnya sekali seminggu,” jelasnya.

Sebagai rakyat Malaysia yang berbilang kaum, kita mestilah sentiasa mengamalkan sikap beramah mesra bersama jiran tetanggan, jika mendapat seorang jiran yang baik, itu adalah salah satu rezeki yang diberikan oleh Allah SWT.

Tak rugi pun buat baik dengan jiran ni, susah senang boleh saling bantu membantu…

BACA ARTIKEL BERKAITAN: Erti Sebenar Perpaduan, Keluarga Melayu Layan ‘World Cup’ Di Rumah Jiran Berbangsa Cina [Video]

BACA ARTIKEL BERKAITAN:

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.