fbpx

Kanak-Kanak Terjatuh Dari Kereta Sebelum Dilanggar 2 Kenderaan Raih Perhatian Ramai [Video]

Polis difahamkan sedang mengesan pemandu kereta dan kanak-kanak yang dirempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) itu.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak atau ‘child car seat’ ketika berada dalam kereta merupakan suatu perkara yang sangat penting malah ia turut diwajibkan di beberapa negara.

Ini kerana, ia dapat membantu dalam menjaga keselamatan kanak-kanak khususnya jika berlaku perkara tidak diingini seperti kemalangan.

Selain itu, ibu bapa atau penjaga juga boleh mengaktifkan butang ‘child safety lock’ di bahagian pintu kenderaan bagi mengelakkan si kecil tanpa sengaja terbuka pintu sehingga membahayakan nyawanya.

Bukan itu sahaja, ibu bapa juga dinasihatkan sentiasa memeriksa sama ada pintu belakang ditutup dengan rapat ataupun tidak.

Yelah adakalanya tindakan kanak-kanak sukar untuk diduga, malah telah banyak kejadian yang berlaku apabila si kecil bertindak membuka pintu belakang sehingga menyebabkan mereka terkeluar dari kenderaan.

Tular video kanak-kanak terhumban keluar dari kereta Honda City

Baru-baru ini, tular di media sosial memaparkan seorang kanak-kanak yang terhumban keluar dari sebuah kenderaan jenis Honda City.

Menerusi video yang dikongsikan Paul Tan’s Automotive News di Twitter, awalnya kelihatan kereta Honda berwarna kelabu itu sedang membuat pusingan U.

Namun secara tiba-tiba kelihatan pintu belakangnya terbuka sebelum seorang kanak-kanak terhumban keluar dan jatuh di atas jalan raya.

Kanak-kanak yang terbaring di atas jalan itu kemudian telah dilanggar sebuah kereta Honda berwarna putih yang juga membuat pusingan U di kawasan sama.

Kanak-kanak dilanggar dua kali sebelum di dukung oleh seorang penunggang motosikal

Lebih malang dia turut dirempuh sebuah kenderaan jenis SUV berwarna merah sehingga menyebabkannya tercampak ke atas jalan sekali lagi.

Kanak-kanak itu kemudian dilihat bangun dan berjalan menuju ke arah sebuah motosikal, sebelum digendong oleh penunggang berkenaan untuk dibawa ke tempat yang lebih selamat.

Turut kelihatan kenderaan Honda City yang membawa kanak-kanak terbabit berhenti di tepi jalan.

Polis kesan pemandu kereta dan kanak-kanak terlibat

Menurut PDRM, pihaknya sedang mengesan pemandu dan budak yang dirempuh kenderaan SUV berkenaan.

Difahamkan insiden berlaku di kawasan lampu isyarat di Jalan Sultan Yahya Petra berhampiran Kota Sri Mutiara, Kota Bharu pada 17 Oktober.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 5.42 petang berpandukan kepada rakaman pada dashcam yang tular itu.

Dipercayai berlaku kerana pemandu tidak tutup pintu dengan kemas

Jelas Muhammad Zaki, kejadian dipercayai berlaku akibat kegagalan pemandu kereta yang dinaiki kanak-kanak tersebut untuk memastikan pintu penumpang sebelah kiri ditutup dengan kemas.

“Pemandu kereta juga dipercayai tidak memastikan kanak-kanak itu memakai tali pinggang keledar,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut meminta pemandu kereta terlibat dan perakam video untuk tampil membantu siasatan di Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu atau hubungi pegawai penyiasat Inspektor Khairul Anuar Abdul Aziz di talian 09-775 2355.

Ramai ingatkan guna child car seat dan buat child safety lock di pintu kereta

Melihat di ruangan balas, video itu telah membuatkan ramai berasa ‘seriau’ dan ngeri selain ada yang mengingatkan tentang kepentingan child car seat kepada kanak-kanak.

Tidak kurang juga ada yang menyarankan agar menukar butang child safety lock pada pintu penumpang diaktifkan setiap kali membawa anak kecil.

Selain itu, ramai berharap kanak-kanak terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan yang serius. Namun setakat ini tiada sebarang kenyataan dari pihak berkuasa mengenai kejadian tersebut.

“Tercabut jantung aku tengok anak (budak) tu kena langgar. Harap budak tu tak cedera parah. Seriau selalu ingat kat anak-anak jangan main pintu, sekarang kalau tak kunci anak aku yang dua tahun pun ingatkan”

“Kalau ada kanak-kanak dalam kereta, pintu kena sentiasa dalam mode ‘child safety lock’. Ini boleh cegah perkara macam ni berlaku”

“Dah kena langgar dua kali dia masih boleh bangun”

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.