fbpx
Now Reading
Ini 5 Mitos Mengenai Bayi Kuning Yang Perlu Ibu Bapa Tahu

Ini 5 Mitos Mengenai Bayi Kuning Yang Perlu Ibu Bapa Tahu

Antara mitos yang sering didengari adalah jemur bayi di bawah sinaran matahari dapat mengurangkan bacaan jaundis.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Setiap ibu bapa atau yang bakal memiliki anak pasti tahu mengenai bayi yang mengalami masalah kuning atau jaundis.

Disebabkan perkara ini begitu normal di Malaysia, terdapat pelbagai petua yang diberikan kononnya perkara ini mampu mengurangkan bacaan jaundis pada bayi.

Sebagai ibu bapa yang mahukan yang terbaik buat si manja pasti anda tidak akan terlepas untuk mencuba setiap petua bekenaan dengan harapan bacaan kuning bayi menjadi normal atau berkurangan.

Namun tahukah anda yang beberapa petua yang diberikan itu sebenarnya adalah mitos semata-mata. Oleh itu, untuk memudahkan anda, jom kami kongsikan beberapa mitos yang perlu anda ketahui mengenai bayi jaundis.

#1 Minum susu kambing

Foto: Freepik

Untuk makluman bayi mengalami jaundis selepas lahir merupakan suatu perkara yang biasa berlaku. Ini kerana kehadiran pigmen ‘Bilirubin’ yang berlebihan dalam darah yang kemudian mendap pada kulit lalu menunjukkan warna kuning pada bayi.

Namun terdapat banyak salah faham yang dikaitkan dengan jaundis termasuklah cara merawatnya.

Ada yang mengatakan dengan memberi susu kambing ia berkesan untuk mengurangkan atau mengatasi masalah jaundis bayi.

Walau bagaimanapun, menurut Hello Doktor tiada sebarang kajian klinikal yang dapat membuktikan susu kambing berkesan buat jaundis neonatal.

Malah sistem pencernaan si comel yang masih belum matang tidak dapat mencerna susu kambing mahupun lembu.

Bukan hanya itu, susu berkenaan tidak mempunyai sebarang nutrien yang diperlukan oleh si comel seperti susu ibu.

Apa yang lebih membahayakan susu yang tidak dipastur (proses penyahcemaran) dan tercemar boleh menyebabkan berlakunya jangkitan kuman iaitu brucellosis.

Jangkitan kuman ini boleh menyebabkan ibu hamil keguguran, janin mati atau ia juga boleh menjangkiti bayi dalam kandungan.

Malah ia juga boleh disebarkan melalui penyusuan sekiranya ibu dijangkiti kuman brucellosis.

Oleh itu, sebelum ingin mengamalkan sesuatu adalah baik untuk anda mendapatkan nasihat pakar terlebih dahulu.

#2 Jemur anak di bawah sinaran matahari

Foto: Pexels

Kami pasti perkara ini sering didengari apabila bayi anda mengalami masalah kuning. Malah tidak dinafikan terdapat juga segelintir ibu bapa yang melakukan perkara ini.

Sebenarnya tindakan ini tidak berkesan malah mungkin lebih memburukkan keadaan.

Ini kerana, sinaran matahari yang panas boleh menyebabkan bayi mengalami dehidrasi. Bukan hanya itu, sinaran UV secara terus boleh menyakitkan kulit nipis bayi anda.

Sebaiknya jika bayi mempunyai jaundis yang tinggi anda digalakkan untuk menggunakan rawatan fototerapi menggunakan sinar ultraviolet.

#3 Bayi yang mempunyai masalah jaundis mungkin akan mengalami masalah sama apabila sudah dewasa

Sebenarnya jaundis neonatal berlaku ketika beberapa hari pertama bayi dilahirkan dan ia akan sentiasa dipantau oleh doktor.

Sebab itu, doktor akan sentiasa mengambil darah untuk mengetahui bacaan jaundis. Selain itu doktor akan menasihatkan ibu bapa untuk sentiasa menyusukan bayi bagi menggalakkan si comel kerap membuang.

Namun, apa yang berlaku apabila seseorang dewasa tidak mempunyai kaitan dengan jaundis neonatal yang dialami semasa kecil. Sebaliknya anda perlu melakukan pemeriksaan lanjut sekiranya terdapat tanda-tanda jaundis apabila sudah besar.

#4 Air masak untuk buang kuning

Foto: Pexels

Selain susu kambing, ada yang mengatakan dengan memberikan air masak ia dapat mengurangkan atau menghilangkan jaundis.

Namun petua ini adalah tidak benar sama sekali, sebaliknya apa yang diperlukan oleh si comel adalah susu ibu.

Mungkin bayi anda mengalami jaundis dalam tempoh yang panjang namun selagi doktor mengatakan ia tidak membimbangkan maka tidak perlulah beri sebarang air yang bukan-bukan kepada bayi.

Sebaliknya si ibu perlu perbanyakkan menyusu anak dan elakkan daripada mengambil sebarang ubat tradisional seperti jamu dan sebagainya.

Pastikan anda makan makanan yang sihat dan susukan bayi lapan hingga 12 kali sehari untuk beberapa hari pertama.

#5 Jaundis tak perlukan rawatan

Alamak, jaundis neonatal sememangnya perkara yang biasa berlaku pada bayi. Namun ia memerlukan pemerhatian daripada doktor dan juga ibu bapa.

Ini kerana tahap bacaan jaundis yang tinggi adalah sesuatu yang bahaya dan boleh menyebabkan pendengaran terjejas serta kerosakan otak.

Oleh itu, jika bayi anda mengalami simptom seperti di bawah segera dapatkan rawatan dari doktor:

  • Warna najis yang pucat dan air kencing gelap
  • Bayi dilahirkan pramatang
  • Kuning semakin teruk
  • Keputusan saringan menunjukkan bayi mempunyai masalah G6PD
  • Jaundis dalam masa 24 jam pertama kehidupan (jaundis patologi)

Selain mitos yang disenaraikan ini, para ibu juga mungkin ada terdengar petua-petua yang sebenarnya mitos seperti memberikan si anak air anggur, mandian bunga atau air sirap serta banyak lagi.

Sebagai ibu bapa kita perlu mengambil serius mengenai masalah dihadapi oleh si comel, namun sebelum melakukan sebarang perkara adalah baik untuk kita merujuk hal tersebut kepada pakar.

Jangan mudah memberikan atau melakukan sesuatu yang asing kepada bayi hanya kerana individu di sekeliling memberitahu anda perkara itu berkesan kepada anak mereka.

Setiap bayi mempunyai kebolehan yang berbeza-beza, mengambil sikap lebih berhati-hati dan sentiasa membuat rujukan adalah lebih baik daripada menyesal di kemudian hari.

Baca artikel berkaitan:

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.