fbpx

400 Pegawai AS Tandatangan Surat, Tentang Cara Biden Hadapi Konflik Palestin-Israel

Surat yang ditandatangan tanpa nama itu melibatkan pegawai-pegawai kerajaan di bawah pentadbiran Biden antaranya dari Jabatan Negeri, White House, Majlis Keselamatan Negara dan Jabatan Kehakiman.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Konflik di antara Palestin dan Israel sememangnya mendapat perhatian masyarakat dunia. Ini kerana sejak ia berlaku pada sebulan yang lalu, puluhan ribu nyawa rakyat Palestin telah terkorban.

Malah, pelbagai cara yang dilakukan oleh masyarakat dari latar belakang yang berbeza sebagai usaha untuk menghentikan konflik ini.

Selain memboikot produk atau syarikat yang menunjukkan sokongan terhadap Israel, cara lain yang dilakukan adalah melalui surat protes.

400 Pegawai AS Tidak Setuju Cara Biden Urus Konflik Palestin-Israel

Terbaharu, dikhabarkan 400 pegawai kerajaan dari 40 jabatan dan agensi di Amerika Syarikat (AS) menandatangani surat menentang Presiden mereka, Joe Biden.

Surat itu sebagai tanda protes mereka terhadap cara pengurusan Biden dalam menguruskan perang di antara Hamas dan Israel serta menuntut gencatan senjata dilakukan.

Difahamkan, surat yang tanpa nama itu melibatkan pegawai-pegawai kerajaan di bawah pentadbiran Biden antaranya dari Jabatan Negeri, White House, Majlis Keselamatan Negara dan Jabatan Kehakiman.

Malah, tujuan ia ditandatangan tanpa nama demi melindungi dan mengelakkan daripada pekerja dikenakan tindakan oleh pihak atasan.

Mohon Biden Lakukan Gencatan Senjata

Antara isi kandungan surat tersebut menuntut agar Presiden AS melaksanakan gencatan sejata serta meredakan konflik yang berlaku.

“Kami menyeru Presiden Biden untuk mendesak gencatan senjata dan menyeru agar konflik diredakan dengan memastikan pembebasan segera tebusan-tebusan Israel serta memastikan penduduk Palestin tidak ditahan sewenang-wenangnya.

“Kami juga menuntut pemulihan bekalan air, bahan api, elektrik serta perkhidmatan asas lain termasuk bantuan kemanusiaan yang mencukupi ke Semenanjung Gaza,” kata kenyataan dalam surat tersebut.

Walau bagaimanapun, tiada respon yang dibuat oleh White House berhubung surat tersebut.

Biden Tolak Cadangan Gencatan Senjata

Biden dan beberapa pemimpin barat lain menolak cadangan untuk melaksanakan gencatan senjata di Gaza dengan alasan bahawa langkah itu hanya akan memanfaatkan pejuang Hamas.

Sebaliknya, Biden hanya bersetuju untuk menghentikan pertempuran buat sementara waktu bagi tujuan penyaluran bantuan kemanusiaan seperti yang dipersetujui oleh Israel.

Sehingga kini, hanya Presiden Perancis Emmanuel Macron dari kalangan mereka yang menyeru agar Israel melakukan gencatan senjata.

Walau bagaimanapun, beliau kemudiannya menjelaskan bahawa Israel mempunyai hak untuk mempertahankan keselamatan mereka.

Beberapa pemimpin radikal turut menyifatkan Israel sebagai ‘Negara Apartheid’ dan menganggap perang di Gaza adalah pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin.

Baca Artikel Berkaitan: Joe Biden Ubah Topik Iklim Selepas Jokowi Desak Lakukan Gencatan Senjata Di Gaza [Video]

Baca Artikel Berkaitan: ‘The Hulk’ Terus Pertahan Palestin & Kutuk Netanyahu

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.