Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami!
Follow Kami
Buletin Utama TV3 malam ini (17 Januari) akan menampilkan satu kelainan yang luar biasa apabila menampilkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dalam satu slot khas pada jam 8 malam.
Media sebelum ini melaporkan, pasangan diraja itu tiba di Media Prima Berhad (MPB) sekitar 10.30 pagi tadi, di mana baginda berdua diberikan taklimat operasi MPB serta dibawa melawat studio radio dan berita.
Tuanku Agong dan Permaisuri Agong kemudiannya berkenan mencemar duli membaca berita yang akan ditayangkan 8 malam ini, dalam slot khas yang diberi nama Buletin Diraja, lapor Berita Harian.
Netizen Semangat Nak Tengok Pasangan Diraja Baca Berita
Menerusi pemerhatian kami di Facebook Buletin TV3, rata-rata netizen teruja dan tidak sabar menantikan penampilan Tuanku Agong dan Permaisuri Agong membaca berita di Buletin Diraja malam ini.
Ada individu berkata mereka yang sudah lama tidak menonton berita di kaca televisyen, pasti tidak akan melepaskan peluang demi menyaksikan pasangan diraja itu menyampaikan berita.
Seperti biasa, pasangan diraja itu turut menerima pujian daripada netizen atas kerendahan diri dan sifat berjiwa rakyat baginda berdua.
Bagi yang tidak mempunyai televisyen, Buletin Utama turut boleh ditonton melalui aplikasi YouTube dan TikTok.
Netizen Luah Rasa Sedih Agong Bakal Berganti
Namun begitu, keterujaan dan kegembiraan ingin menyaksikan Tuanku Agong dan Permaisuri Agong di kaca televisyen turut terselit dengan suasana sedih.
Sudah tentu semua sedia maklum bahawa Agong Al-Sultan Abdullah akan menamatkan pemerintahannya pada 30 Januari tahun ini setelah lima tahun memegang tampuk kepimpinan negara.
Beberapa individu menyatakan mereka berat hati dan akan berasa rindu dengan Tuanku Agong dan Permaisuri Agong selepas ini, apatah lagi dengan sifat baginda berdua yang sukar dicari ganti.
Sebagai makluman, satu episod khas rancangan Majalah 3 bertajuk “Lima Tahun Pemerintahan Al-Sultan Abdullah Yang di-Pertuan Agong ke-16” akan disiarkan pada 9 malam, 29 Januari 2023 di TV3.