Takut Dapat Penyewa Dari Neraka? Ini 5 Tips Buat Tuan Rumah Dalam Memilih Penyewa
Sebagai tuan rumah, mempunyai senarai kriteria penyewa yang anda ingini juga menjadi antara tips dalam memilih individu yang akan menduduki kediaman anda.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sejak belakangan ini, seringkali kedengaran masalah yang membabitkan tuan rumah dan penyewa.
Antara isu yang sering dihidangkan di media sosial adalah mengenai sikap penyewa dari neraka yang tidak membayar sewa berbulan lamanya.
Malah, apa yang menjadi lebih teruk adalah kediaman yang disewakan tidak dijaga dengan baik oleh penyewa berkenaan.
Keadaan ini sudah pastinya mengundang rasa kecewa kepada pemilik kediaman terutama buat mereka yang telah melaburkan wang ringgit dan tenaga bagi mengubah suai rumah untuk keselesaan penyewa.
Bagi mengelakkan perkara yang sama terjadi kepada anda, jom kami kongsikan lima tips yang boleh anda ikuti untuk memilih ‘penyewa dari syurga’.
#1 Sedia & Fahamkan Dokumen Perjanjian Sewa Rumah (Rental Agreement)
Dokumen perjanjian sewa rumah merupakan dokumen yang paling penting dan perlu ada untuk ditandatangani oleh pemilik kediaman dan penyewa.
Ia penting sebagai bukti hitam putih dan rujukan sekiranya timbul pelbagai isu yang tidak diingini sepanjang tempoh sewaan.
Sebagai tuan rumah, anda perlu menyenaraikan perkara yang perlu penyewa patuhi antaranya dari segi pembayaran sewa dan penjagaan kediaman.
Fahami dan teliti sepenuhnya kandungan perjanjian tersebut agar ia tidak menjerat anda di kemudian hari.
#2 Kenal Pasti Kriteria Penyewa Yang Anda Mahukan
Mengenali peribadi dan sikap seseorang bukanlah satu perkara yang mudah. Malah, ada orang yang telah berkenalan bertahun-tahun juga tidak mengenali individu yang rapat dengannya.
Sebagai tuan rumah yang mahu memilih penyewa yang baik, anda disarankan untuk mengenal pasti dan menyenaraikan kriteria yang anda ingin tahu dan mahukan.
Antara kriteria yang popular adalah seperti berikut;
- Pendapatan penyewa
- Latar belakang
- Status perkahwinan
- Warganegara
- Cara hidup
- Status pekerjaan
- Tempat kerja
- Perokok atau tidak
Jika anda mahu penyewa yang berkualiti menyewa kediaman anda, sebagai tuan rumah, anda juga perlu menyenaraikan kriteria yang berkualiti.
#3 Laksanakan Proses Saringan Terhadap Penyewa
Kebiasaannya, selepas proses pengiklanan kediaman untuk disewa, pasti ada beberapa individu yang akan menghubungi anda menyatakan minat untuk menyewa.
Sebagai tuan rumah, anda perlu membuat tapisan terlebih dahulu berdasarkan kriteria yang telah disenaraikan sebelum ini.
Jika saingan terlalu sengit, anda disarankan untuk mengecilkan skop kriteria dan mempertimbangkan faktor lain sebelum membuat pilihan.
Antara faktor lain yang boleh diambil kira adalah seperti berikut:
- Minta calon penyewa sediakan dokumen seperti slip gaji dan rujukan majikan. Ia membantu anda untuk menilai keupayaan kewangan sebenar individu terbabit.
- Lakukan temuduga dan lawatan ke rumah sewa. Anda boleh mengajak calon penyewa datang ke kediaman anda terlebih dahulu. Jika perlu, tanya beberapa soalan seperti pengalaman sewa yang lepas dan hubungan dengan pemilik rumah.
- Buat semakan latar belakang kewangan penyewa melalui semakan perkhidmatan kredit.
#4 Terangkan Kandungan Perjanjian Sewa Rumah Kepada Calon Penyewa
Tidak semua, namun ada segelintir penyewa yang kadang kala tidak faham malah tidak meneliti kandungan dokuman perjanjian.
Sebagai tuan rumah, anda seharusnya memahami dan menerangkan kandungan tersebut kepada penyewa.
Ia penting agar tidak timbul sebarang persoalan atau memberi peluang kepada penyewa membangkitkan sebarang isu selepas menandatangani dokumen terbabit terutama mengenai peraturan yang harus dipatuhi.
Langkah ini juga penting dan mampu memberi keyakinan kepada calon penyewa bahawa anda benar-benar serius dengan pengurusan kediaman tersebut di samping memastikan hanya penyewa yang betul-betul berminat menyewa dengan anda.
#5 Buat Keputusan Yang Bijak
Setelah kesemua perkara atau kriteria berkaitan calon penyewa telah anda perolehi, sebagai tuan rumah anda perlu bersikap rasional dan bijak dalam membuat pilihan. Malah, anda perlu memastikan keputusan yang dibuat tidak dipengaruhi oleh emosi.
Anda dinasihatkan membuat keputusan yang mematuhi undang-undang dan tidak bersifat diskriminasi terutamanya terhadap faktor bangsa, agama dan status keluarga.
Apa yang lebih penting adalah anda disarankan untuk mendokumentasi proses pemilihan calon dengan mencatatkan proses dan alasan keputusan itu dibuat. Ia dapat membantu anda sekiranya berlaku sebarang isu pada masa hadapan.
Hakikatnya sebagai tuan rumah, mencari penyewa yang baik bukanlah satu perkara yang mudah pada zaman ini.
Namun, berkat kesabaran dan penelitian, ia boleh menjadi kunci buat anda yang mahu mendapatkan penyewa bersesuaian dan membantu mengelakkan anda daripada mendapat penyewa dari neraka.
Apa yang penting adalah anda mengikuti lima langkah tersebut dalam mengenal pasti dan memilih penyewa yang tepat sesuai dengan kriteria yang anda ingini.
Baca Artikel Berkaitan: