fbpx
Now Reading
Wanita Dari Maghribi Terkejut Kaum Hawa Di Malaysia Tidak Solat Jumaat

Wanita Dari Maghribi Terkejut Kaum Hawa Di Malaysia Tidak Solat Jumaat

Wanita Islam diharuskan menunaikan solat Jumaat, namun tempat yang terhad menyebabkan masjid lebih mengutamakan kaum lelaki kerana ia jatuh wajib bagi mereka.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Solat Jumaat merupakan ibadah yang diwajibkan ke atas para Muslimin. Namun begitu, masih terdapat budaya di negara-negara Islam yang mana kaum wanita turut menunaikan solat Jumaat bersama-sama jemaah di masjid.

Baru-baru ini, seorang wanita dari luar negara mengalami kejutan budaya buat pertama kalinya di Malaysia apabila ingin menunaikan solat Jumaat di masjid.

Dia menerusi TikTok (@thedigitalnomaddairy) berkata, sudah menjadi kelaziman buat dia untuk solat Jumaat pada setiap minggu ketika di tanah airnya dan di negara-negara Islam lain yang pernah dikunjunginya.

Pada mulanya, wanita yang berasal dari Maghribi itu menganggap bahawa dia boleh hadir ke mana-mana masjid utama di negara ini bagi menunaikan solat Jumaat di ruangan wanita.

Pelik Hanya Lelaki Di Masjid Ketika Solat Jumaat

Namun begitu, setibanya di sebuah masjid, kelihatan ia hanya dipenuhi ramai lelaki dan tiada seorang wanita pun yang berada di sana.

Apabila melihat papan tanda yang menunjukkan tempat mengambil wudhu bagi wanita, dia menganggap bahawa mungkin dia masih belum menjumpai ruangan solat wanita.

Dia kemudiannya meminta bantuan daripada orang ramai untuk menunjukkan ruangan solat tersebut. Akan tetapi, setibanya di ruangan itu, ia telah dipenuhi kaum lelaki. Perkara itu menyebabkan dia berasa amat malu.

Akhirnya, dia bertemu dengan beberapa pemuda yang pada sangkaan wanita itu akan membawanya ke ruangan solat wanita. Namun, ternyata dia tersilap apabila lokasi yang ditujukan adalah sama seperti yang dilihatnya sebelum ini.

“Bilik Solat Wanita Terlalu Kecil”

Berdasarkan kepada penjelasannya, dia kemudian dibawa ke satu bilik kecil berhampiran ruangan solat wanita.

Dia telah melalui bilik tersebut beberapa kali namun tidak terlintas yang ia adalah tempat solat wanita memandangkan ada lelaki yang sedang bersedia untuk solat di hadapan bilik itu.

Namun, dia berkata bilik tersebut adalah terlalu kecil dan boleh memuatkan sekitar lima orang sahaja. Merujuk kepada gambar yang dimuat naik olehnya, ia kelihatan seperti bilik persalinan dan tempat menyimpan telekung.

Sumber: @thedigitalnomaddairy/ TikTok

Rata-Rata Muslimah Di Malaysia Tidak Tunaikan Solat Jumaat

Sementara menunggu imam membacakan khutbah, wanita tersebut melakukan carian berkenaan solat Jumaat wanita di Malaysia. Barulah dia tahu bahawa para muslimah di Malaysia tidak menunaikan solat Jumaat, sebaliknya hanya diwajibkan menjalankan solat fardu Zohor.

Dia kemudian bertanya kepada orang ramai jika terdapat masjid di Kuala Lumpur yang mempunyai ruangan solat wanita bagi menunaikan solat Jumaat dan tarawih.

Beberapa individu menerangkan bahawa ruangan solat wanita tidak dibuka kepada golongan lelaki sewaktu solat Jumaat. Ini kerana mereka akan terpaksa bersembahyang di luar masjid atau atas jalan tar dengan ruangan solat yang tidak mencukupi.

Mereka juga menerangkan kepada wanita berkenaan bahawa solat sunat tarawih boleh dijalankan di mana-mana masjid kerana pasti akan ada ruangan solat khas bagi wanita.

Dalam masa yang sama, beberapa individu mencadangkan masjid lain di sekitar Lembah Klang yang menyediakan ruang bagi jemaah wanita menunaikan solat Jumaat.

Antara masjid tersebut adalah Masjid Negara di Kuala Lumpur, Masjid Sultan Haji Ahmad Shah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak dan sebuah masjid di Putrajaya.

Hukum Wanita Solat Jumaat

Memandangkan para muslimah di Malaysia tidak mengamalkan solat Jumaat, pasti timbul persoalan tentang hukum wanita menunaikan ibadah tersebut.

Menurut wanita Maghribi itu, dia sering menunaikan solat Jumaat apabila menziarahi negara-negara lain di Utara Afrika dan Timur Tengah.

Namun menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, solat Jumaat tidak diwajibkan ke atas wanita berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Tariq bin Shihab R.A. Rasulullah S.A.W bersabda:

الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فِي جَمَاعَةٍ إِلاَّ أَرْبَعَةً عَبْدٌ مَمْلُوكٌ أَوِ امْرَأَةٌ أَوْ صَبِيٌّ أَوْ مَرِيضٌ

Maksudnya: “(Solat) Jumaat adalah hak yang wajib ke atas setiap muslim secara berjemaah melainkan empat orang: Hamba, orang perempuan, kanak-kanak, atau orang yang sakit”.

Riwayat Abu Daud (1067)

Kewajipan menunaikan solat Jumaat tidak dikenakan ke atas wanita kerana kesibukan menjaga anak serta menguruskan rumah yang akan menyebabkan masyaqqah (kepayahan) jika diwajibkan ke masjid pada waktu tertentu.

Akan tetapi, tidaklah sehingga wanita dilarang menghadiri solat Jumaat. Hadis Riwayat Muslim (442) menerangkan:

لاَ تَمْنَعُوْا إِمَاءَ اللهِ مَسَاجِدَ اللهِ

Maksudnya: “Janganlah kamu menghalang hamba-hamba perempuan Allah daripada masjid-masjid Allah”.

Oleh itu, hukum wanita menunaikan solat Jumaat adalah harus. Sepertimana lelaki, wanita yang menjalankan ibadah itu juga tidak perlu lagi mendirikan solat Zohor memandangkan solat Jumaat yang sah telah melepaskan zimmah (tanggungjawab) tersebut.

Dalam masa yang sama, wanita haruslah mengikuti syarat-syarat yang ditetapkan ketika menghadiri masjid seperti tidak memakai wangi-wangian dan perhiasan.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.