fbpx
Now Reading
Kenali e-Estonia, Sistem Tadbir Urus Digital Yang Diguna Kerajaan Estonia 2 Dekad Sebelum Wujudnya PADU

Kenali e-Estonia, Sistem Tadbir Urus Digital Yang Diguna Kerajaan Estonia 2 Dekad Sebelum Wujudnya PADU

Estonia telah menjadi negara pertama di dunia yang mencapai status masyarakat digital bersepadu sepenuhnya.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Pangkalan Data Utama (PADU) merupakan satu sistem yang baru dibangunkan untuk mengumpul maklumat warganegara Malaysia. Salah satu tujuannya adalah bagi mempermudahkan proses pengecaman subsidi terhadap golongan berpendapatan rendah.

Walau bagaimanapun, usaha oleh kerajaan Malaysia itu mendapat tentangan banyak pihak yang mempersoalkan keselamatan pangkalan terbabit.

Bahkan, kerajaan negeri Sabah dan Sarawak turut tidak bersetuju ianya dilaksanakan dalam keadaan tergesa-gesa kerana khuatirkan isu kebocoran data peribadi.

Dalam masa sama, timbul juga persoalan jika ada negara-negara lain yang turut menggunakan sistem yang menyamai PADU.

Menurut seorang pengguna laman X, Acap (@aashrafz_), terdapat banyak negara lain yang sudah menggunakan sistem pangkalan data atau sistem tadbir urus digital dalam urusan harian.

Dia berkata contoh terbaik negara yang menggunakan pangkalan sedemikian adalah Estonia menerusi sistem e-Estonia.

Estonia Paling Awal Capai Status Masyarakat Digital Penuh

Menurutnya, kewujudan pangkalan terbabit membantu mempertingkatkan birokrasi menerusi pengumpulan data bersepadu, sekaligus memudahkan urusan pentadbiran kerajaan di utara Eropah itu.

Perkara ini menyebabkan Estonia menjadi negara pertama yang mencapai status masyarakat digital bersepadu sepenuhnya dan menjadi contoh di kalangan negara maju dan Kesatuan Eropah (EU).

Malah, Estonia juga mempunyai bilangan syarikat permulaan (startup) per kapita terbanyak di Eropah.

Acap berkata walaupun hanya mempunyai populasi sebanyak sejuta, negara itu kini mempunyai 10 syarikat berstatus ‘unicorn’, yakni syarikat persendirian yang tidak tersenarai dalam pasaran saham dengan nilai lebih USD1 juta.

PADU Tulang Belakang GovTech

Selain daripada fokus terhadap usaha merapatkan jurang pendapatan antara golongan berbeza status ekonomi, dia berpendapat PADU penting agar Malaysia mencapai status masyarakat digital memandangkan ia merupakan tulang belakang bagi inisiatif GovTech (teknologi kerajaan).

Menerusi GovTech, Malaysia akan dapat merealisasikan impian menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab startup 20 teratas dunia (KL20).

Acap berkata inisiatif ini akan membantu dalam menaikkan taraf ekosistem startup dalam negara.

e-Estonia Jadi Tanda Aras Buat PADU?

Jika pengumpulan data oleh kerajaan Malaysia berjaya dan menjadi lebih canggih seperti e-Estonia, pelbagai urusan kerajaan akan didigitalkan sepanjang masa.

Malah dia percaya pangkalan e-Estonia jugalah yang menjadi rujukan dan penanda aras bagi PADU.

Apa Itu e-Estonia?

Merujuk kepada laman web e-Estonia, sistem tersebut merangkumi perkhidmatan e-identity, kesihatan, pendidikan dan mobiliti seperti Intelligent Transportation System dan Mobile Parking.

Namun, sebelum kita pergi jauh, anda patut tahu sistem tadbir urus digital ini telah diperkenalkan sekitar 20 tahun dahulu tatkala mereka baru sahaja beberapa tahun keluar dari Kesatuan Soviet.

Siapa sangka negara kecil itu kini menjadi negara digital terbaik di dunia. Bahkan, pentadbiran kerajaan Estonia telah hampir sepenuhnya tersedia secara dalam talian termasuk sistem pilihan raya dan e-Cabinet.

Dari segi pendidikan, terdapat dua kali ganda jumlah pelajar yang bekerja dalam bidang IT di Estonia berbanding mana-mana negara Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD).

Menerusi e-Estonia juga, orang ramai boleh mendaftarkan syarikat baharu di negara itu dalam masa 18 minit sahaja.

Malah, teknologi keselamatan blok rantai (blockchain security) KSI Blockchain yang digunakan di seluruh dunia diwujudkan oleh seorang ahli kriptografi dari Estonia, membuktikan yang rakyat di sana cukup pakar dalam bidang teknologi.

Sumber: e-Estonia

Bagaimana Malaysia Boleh Belajar Dari Estonia Dalam Melindungi Data?

Dalam mendepani pendigitalan urus tadbir, pasti timbul persoalan tentang isu serangan siber yang mengancam keselamatan data peribadi. Negara di kawasan Balkan itu tidak terkecuali daripada masalah ini dan pernah mengalami serangan siber secara besar-besaran pada tahun 2007 dan 2017.

Perkara ini menyebabkan negara itu mengutamakan langkah-langkah keselamatan siber dalam melindungi data rakyatnya.

Menurut Menteri Pendidikan dan Penyelidikan Estonia, Krisitna Kallas, negara itu memberi fokus ke atas infrastruktur keselamatan siber dan perlindungan data yang merangkumi penubuhan Cybersecutrity Centre serta mewujudkan hab pertahan siber berlesen NATO.

Usaha kerajaan Estonia dalam mendepani ancaman siber tidak terhenti di situ. Keselamatan siber turut didedahkan kepada pelajar sekolah menerusi latihan pelbagai berasaskan kecerdasan buatan (AI-driven) di mana mereka diajar untuk mewujudkan mekanisme pertahanan terhadap jenayah siber.

Di samping itu, data di e-Estonia tidak disimpan hanya di satu pusat. Sebaliknya, platform data kerajaan, X-Road, menyambungkan pelayan-pelayan individu melalui ‘end-to-end encrypted pathways’.

Sumber gambar: Unsplash

Jaringan Internet Wireless Penting Untuk Pelaksanaan Pendigitalan Sepenuhnya

Namun harus diingatkan salah satu perkara terpenting dalam melaksanakan pendigitalan bersepadu adalah capaian internet yang laju dan menyeluruh. Berbeza dengan di Malaysia, Estonia mempunyai jaringan internet tanpa wayar hampir sepenuhnya yang kebiasannya berkelajuan tinggi malah percuma.

Infrastruktur ini sudah tentu penting agar memudahkan rakyat mendapatkan capaian internet untuk mendapatkan data yang disimpan secara dalam talian.

Setiap sekolah di Estonia telah mempunyai capaian internet sejak tahun 2000. Malah, peratus penduduk Estonia yang menggunakan internet meningkat dari 29% pada 2000 hingga hampir sepenuhnya pada 2016.

Siapa sangka negara yang baru merdeka (keluar dari Kesatuan Soviet) itu boleh bangkit menjadi model digital termaju bagi negara-negara lain dalam tempoh 20 tahun hingga mendapat jolokan masyarakat digital terbaik dunia.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.