fbpx
Now Reading
Pemilik Restoran Di Langkawi Terkejut Pelanggan Datang Makan Naik Helikopter [Video]

Pemilik Restoran Di Langkawi Terkejut Pelanggan Datang Makan Naik Helikopter [Video]

Menerusi video tersebut, turut kelihatan pemilik restoran berkenaan berkesempatan untuk bergambar dengan pelanggan yang datang ke kedainya dengan menaiki helikopter.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Pasti ramai di antara kita yang sanggup berjalan jauh demi mendapatkan sesuatu makanan yang diidamkan.

Sebagai contoh, jika inginkan nasi kandar ada yang sanggup ke sebelah utara demi mendapatkan makanan yang sedap meskipun di tempat sendiri ada yang menjualnya. Kata orang tak ‘feel’ bila makan di negeri sendiri.

Pelanggan datang naik helikopter untuk makan di sebuah restoran di Langkawi

Perkara sama turut dilakukan oleh sekumpulan pelanggan sehingga membuatkan pemilik restoran di Langkawi ini terkejut apabila melihat mereka datang dengan menaiki helikopter.

Video memaparkan kehadiran pelanggan berkenaan menaiki helikopter untuk makan di kedai terbabit turut dikongsikan oleh pemilik restoran berkenaan yang dikenali sebagai Zaidi Hassan di Facebook.

Menerusi hantaran itu, pemilik restoran berkenaan memberitahu awalnya dia terkejut selepas menerima panggilan memaklumkan terdapat pelanggan yang ingin berkunjung ke kedai makannya, Dangau untuk makan tengah hari menaiki helikopter.

Malah pelanggan itu turut mengatakan dia akan sampai ke restoran lagi 15 minit.

Sangka ada rakan ingin bergurau nak datang menaiki helikopter

Memetik laporan Harian Metro, Zaidi berusia 40 tahun telah menerima panggilan tersebut pada pukul 1.35 tengah hari.

“Mulanya, saya ingat ada rakan yang mahu bergurau, dia (pelanggan) bagi tahu nak makan tengah hari menu set talam yang popular di restoran saya dengan beberapa individu lain menaiki helikopter.

“Saya tanya balik serius ke tempahan ni? Pelanggan tu jawab tunggu 15 minit lagi saya sampai dan turut bertanya sama ada, ada tempat lapang untuk mendarat berhampiran restoran,” jelasnya.

Enam orang individu naiki helikopter

Selepas 20 minit dia kemudian terdengar bunyi helikopter terbang pada ketinggian rendah dan semakin kuat berdekatan kedai makannya.

“Helikopter yang saya tidak pasti jenisnya itu mendarat di kawasan tanah lapang yang baru ditambak tanah merah kira-kira 20 meter dari restoran saya pada 2 petang.

“Terdapat enam individu yang tiba menaiki helikopter, manakala 10 hingga 15 individu yang lain tiba dengan kereta hampir serentak.”

Jelasnya, pelanggan yang datang itu makan di kedainya dengan memesan set talam yang dilengkapi dengan pelbagai juadah seperti kari ikan, udang sambal petai, ikan bakar, ulam-ulaman, air termasuk sambal belacan.

Pelanggan berkenaan menikmati makanan di kedai berkenaan sekitar satu jam sebelum pulang semula menaiki helikopter bersama yang lain.

Dia bagaimanapun, tidak pasti pelanggan itu datang dari kawasan mana tetapi hanya mendengar terdapat salah seorang memanggil mereka dengan gelaran ‘datuk’.

Malada dalam video turut kelihatan Zaidi sempat merakamkan beberapa momen ketika pelanggan terbabit datang ke kedainya serta bergambar sebelum mereka pulang.

Ada kebenaran dari pihak CAAM

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari memberitahu pihaknya dimaklumkan pendaratan dilakukan kenderaan tersebut dalam pengetahuan serta kebenaran Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Melihat di ruangan komen, ramai yang turut teruja dengan perkongsian tersebut malah ada yang mengatakan perkara itu merupakan kenangan sepanjang hayat.

“Hebat penangan Dangau Langkawi”

“Tahniah Dangau Langkawi, ianya menjadi kenangan sepanjang hayat”

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.