fbpx
Now Reading
[Review] Fast X: Lakonan Mantap Jason Momoa Berjaya Curi Tumpuan Ramai

[Review] Fast X: Lakonan Mantap Jason Momoa Berjaya Curi Tumpuan Ramai

Fast X ini mengisahkan tentang Dominic Toretto yang perlu menyelamatkan ahli keluarga dan kumpulannya daripada ancaman Dante Reyes iaitu anak kepada Hernan Reyes yang telah dibunuh pada filem Fast and Furious 5.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sebut saja pasal Fast And Furious, pasti semua orang mengetahui tentang filem yang pada asasnya menceritakan tentang dunia perlumbaan dan juga nilai persahabatan.

Namun semakin lama, filem ini mula berubah arah dan hilang identiti asal dengan adanya jalan cerita seperti ‘money heist’ dan sebagainya menyebabkan ia mula kelihatan ‘extravaganza’ atau dalam erti kata lain adalah tidak masuk akal.

Tahun ini, filem terbaharu bagi francais Fast And Furious iaitu Fast X arahan Louis Leterrier telah pun secara rasminya berada di panggung wayang seluruh Malaysia sejak Khamis lalu (18 Mei).

Semalam (24 Mei), Soft Space Sdn Bhd telah menjemput kami untuk menonton bersama-sama filem Fast X di TGV, 1 Utama.

Oleh itu, ini ulasan jujur kami mengenai filem Fast X kepada anda semua yang sudah menonton mahupun merancang untuk pergi menonton nanti.

Jason Momoa bintang dalam Fast X

Sepanjang menonton filem ini, apa yang mencuri tumpuan kami adalah watak baharu yang dibawa masuk ke dalam filem ini iaitu Dante Reyes lakonan Jason Momoa.

Filem ini membuktikan bahawa Jason merupakan seorang pelakon yang berbakat dan boleh memegang pelbagai jenis watak.

Jika sebelum ini Jason kelihatan lebih kerap tampil dengan watak protagonis sebagai seorang yang serius seperti di dalam filem Aquaman, tetapi di dalam filem Fast X pula watak yang dibawa sangat berbeza iaitu seorang yang jahat, maskulin, lawak dan juga psychopath.

Secara keseluruhan, kami boleh katakan bahawa Jason Momoa adalah bintang di dalam filem ini walaupun memegang watak yang jahat.

Lakonan pelakon yang lain? Tak perlu diulas kerana watak mereka kekal sama seperti Fast And Furious sebelum-sebelumnya.

Skrip, jalan cerita dan babak aksi

Di dalam filem Fast X ini, penulis skrip Dan Mazeau dan Justin Lin tidak membawa banyak elemen baru, tetapi mereka memberi ruang kepada watak-watak lama untuk kembali agar dapat dikaitkan dengan jalan cerita Fast And Furious yang sebelumnya.

Kami boleh katakan bahawa jalan cerita di dalam filem ini merupakan sesuatu yang boleh dijangka kerana tiada perbezaan yang signifikan.

Bagi babak aksi pula, kami bersetuju untuk mengatakan francais ini tidak pernah gagal dalam menayangkan adegan-adegan aksi walaupun kelihatan tidak masuk akal dan tak mungkin berlaku dalam kehidupan nyata.

Imej visual dan efek khas

Selain itu, imej visual dan efek khas yang ada di dalam filem Fast X ini juga amatlah menarik dan kelihatan agak realistik.

Kawasan penggambaran yang kebanyakan di Rio De Janerio, Brazil juga berjaya memukau mata kami melihat keindahan struktur bangunan serta alam semula jadinya seperti pantai, bukit dan juga hutan.

Efek bunyi dan muzik

Akhir sekali efek bunyi serta muzik oleh Brian Tyler mengikut pandangan kami hanya biasa sahaja, tiada apa-apa yang dapat mencuri tumpuan penonton sebagaimana lagu ‘See You Again’ nyanyian Wiz Khalifa bersama Charlie Puth yang diperkenalkan semasa Furious 7 melekat di hati penonton.

Sinopsis

Fast X ini mengisahkan tentang Dominic Toretto lakonan Vin Diesel yang perlu menyelamatkan ahli keluarga dan kumpulannya daripada ancaman Dante Reyes lakonan Jason Momoa iaitu anak kepada Hernan Reyes yang telah dibunuh pada filem Fast and Furious 5.

Dante Reyes ingin membalas dendam terhadap Dominic Toretto selepas kematian bapanya kerana dia beranggapan Dom merupakan punca dia hilang segalanya dan hidup dalam penderitaan.

Dante merancang untuk mengancam keselamatan dan kesejahteraan ahli keluarga dan kawan-kawan Dom dengan membunuh mereka satu persatu di hadapan mata Dom.

Adakah Dominic Torreto berjaya menyelamatkan ahli keluarga dan kawan-kawannya? Korang patut tengok filem penuh Fast X ini di panggung wayang.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.