Chef Wan Hidap Kanser Limfoma, Bakal Jalani Kimoterapi
Chef Wan bagaimanapun memaklumkan dia menerima ujian tersebut dengan hati terbuka meskipun perlu menjalani kimoterapi sebanyak 13 kitaran.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Baru-baru ini, cef terkenal iaitu Datuk Redzuawan Ismail mengesahkan bahawa dia menghidap penyakit kanser limfoma.
Dia yang lebih dikenali sebagai Chef Wan memaklumkan perkara tersebut menerusi Instagram rasminya.
Buat pemeriksaan ECG sebelum dimaklumkan hidap kanser limfoma
Ujarnya, dia sebelum ini telah menjalani ujian pemeriksaan electrocardiogram (ECG) di sebuah hospital pada jam 3 petang, semalam (3 Ogos) sebelum doktor memaklumkan keputusan biopsinya.
“Saya baru shaaja menjalani ujian ECG pada jam 3 petang. Doktor kemudian memaklumkan berita mengenai ‘lymph nodes’ saya.
“Mereka terpaksa melakukannya sebanyak dua kali untuk memastikan keputusan biopsi itu tepat sebelum mengesahkan saya mempunyai kanser limfoma,” ujarnya.
Chef Wan berkata dia kemudian berjumpa dengan doktor onkologi, Dr Jay Suriar dengan segera untuk mengetahui apakah langkah yang perlu dilakukan bagi merawat penyakit berkenaan .
Ada peluang untuk pulih 70%- 80%
Walau bagaimanapun, doktor menjelaskan dia perlu menjalani pemeriksaan Tomografi Pancaran Positron (PET) untuk mengetahui sama ada kanser berkenaan telah merebak ke organ lain sebelum menentukan tahapnya.
“Doktor memaklumkan saya kemungkinan berada di tahap awal yang mana saya mempunyai 70%-80% peluang untuk pulih. Malah pada Isnin saya akan melakukan ujian sumsum tulang kerana kanser limfoma juga dikaitkan dengan sumsum tulang.
“Selain itu, doktor juga akan meletakkan kimo pot dan saya akan menjalani rawatan kimoterapi sebanyak 13 kitaran (yang bermaksud 13 minggu).
“Kata doktor saya akan mengalami keguguran (saya sudah dapat membayangkan diri saya dengan pelbagai rambut palsu yang menarik seperti Elvis, M. Daud Kilau, Samy Vellu dan ramai lagi,” jelasnya.
Selain rambut gugur, dia juga akan mengalami muntah dan cirit-birit kesan daripada kimoterapi yang dijalaninya.
Terima ujian dengan hati terbuka
Cef terkenal yang juga pelakon itu, bagaimanapun menerima ujian ini dengan hati terbuka dan mengatakan ia adalah kehidupan meskipun anak perempuannya Serina Redzuawan serta menantunya menangis ketika mengetahui berita duka itu.
“Saya kata jangan menangis, saya akan baik. Saya belum pergi lagi dan saya perlu menjadi kuat dan sihat memandangkan saya perlu menjaga ramai lagi.
“Insha-Allah, Allah akan menjaga saya. Malah ia lebih baik untuk mengetahui perkara ini di tahap awal daripada terlambat.”
Dia dalam masa sama turut berterima kasih kepada mereka yang mendoakannya selain meminta untuk tidak bimbang dan akan menjalaninya bersama-sama orang ramai agar ia dapat menjadi inspirasi di luar sana untuk membantu orang lain di masa hadapan.
Menjengah di ruangan komen, kelihatan orang ramai tidak putus-putus memberikannya semangat termasuklah para selebriti.