fbpx

Pernah Cipta Lagu Artis Popular, Kini Komposer Ross Ariffin Sudah 3 Tahun Jadi Gelandangan

Ross sebelum ini pernah bekerja di sebuah hotel bajet di Jonker Walk, Melaka untuk tugasan melipat tuala dan cadar namun tidak dikenakan bayaran upah, sebaliknya dia dibenarkan tinggal di hotel berkenaan secara percuma.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Setiap orang di dunia ini pastinya pernah mengalami fasa yang berubah-ubah sepanjang menjalani kehidupan sebagai manusia.

Ada di antara individu yang dapat mengubah kehidupan sehingga menjadi seorang yang berjaya. Namun, ada juga yang memperoleh kejayaan sementara sebelum diuji dengan kehidupan yang sukar.

Siapa sangka, komposer Roslan Ariffin atau lebih dikenali sebagai Ross Ariffin yang pernah mencipta lagu buat artis popular tanah air seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ning Baizura dan Fauziah Latiff kini hidup merempat dan menjadi gelandangan.

Berpindah-randah Sejak 3 Tahun Yang Lalu, Diserang Penyakit Angin Ahmar

Menurut Ross, dia kini hidup sebagai gelandangan dan berpindah-randah sejak tiga tahun yang lalu di kawasan sekitar Pasar Seni, Kuala Lumpur dan Melaka.

“Saya tinggal di jalanan selama tiga tahun. Saya ke sana ke sini, tinggal di Pasar Seni dan juga di Melaka. Saya memang hidup gelandangan,” katanya yang dipetik daripada Harian Metro.

Malah, dia mendakwa telah diserang dengan penyakit angin ahmar yang menyukarkan dia untuk berjalan dan bercakap.

Keadaan ini menyebabkan dia tidak boleh untuk bekerja dan hanya mampu tinggal di rumah perlindungan Samaritan Hope Home, Pudu, Kuala Lumpur.

“Kehidupan saya bertukar 360 darjah apabila penularan Covid-19 menyebabkan saya menjadi penganggur dan kehilangan pendapatan apabila tidak dapat menghasilkan muzik.

“Saya akan menerima pekerjaan yang ditawarkan apabila sembuh nanti. Saya boleh bermain piano di hotel untuk mendapatkan wang. Saya juga boleh menulis lagu lagi,” katanya yang juga pencipta lagu Dia nyanyian Fauziah Latiff.

Tambah Ross, dia telah keluar daripada rumah selepas bercerai dengan isterinya sejak 10 tahun yang lalu dan tidak mahu menyusahkan keluarga dengan keadaannya ini.

“Saya ada dua anak tetapi tidak berhubung dengan mereka. Saya tidak mahu mereka bimbang dengan keadaan saya,” katanya.

Pernah Berada Di Puncak Kegemilangan

Dalam pada itu, Ross turut menceritakan tentang pengalamannya ketika berada di zaman kegemilangan.

Menurut Ross, dia pernah menjadi pemain biola dan menyertai orkestra di London serta berpeluang mengembara ke pelbagai negara.

Malah, dia juga pernah aktif sebagai pemuzik undangan atau ‘sessionist’ serta terbabit dalam penerbitan dan rakaman album artis tempatan seperti Search.

Mahu Pulang Ke Kampung Halaman

Ross dikatakan mahu pulang ke kampungnya di Melaka bagi mencari peluang pekerjaan.

“Kalau boleh, saya juga nak pulang ke kampung di Melaka kerana di sana ada banyak peluang pekerjaan untuk saya,” katanya.

Dia sebelum ini pernah bekerja di sebuah hotel bajet di Jonker Walk, Melaka dengan melipat tuala dan cadar namun tidak dikenakan bayaran upah, sebaliknya dia dibenarkan tinggal di hotel berkenaan secara percuma.

Malah, dia juga pernah bermain muzik di sebuah restoran yang terletak di Jalan Hang Tuah Melaka pada setiap malam dan pengusaha memberikan bilik secara percuma buatnya.

Dalam pada itu, Ross turut menerima sumbangan wang tunai daripada Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez.

Terdahulu, media pernah melaporkan kehidupan terkini Ross Ariffin yang berubah 360 darjah selepas pandemik Covid-19 melanda.

Pada ketika itu, dia hanya bergantung kepada Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) serta pendapatan royalti hasil daripada 64 lagu ciptaannya sepanjang penglibatannya dalam industri hiburan selama35 tahun.

Namun dana tersebut hanya boleh diperolehi setahun sekali di bawah label rakaman yang dia pernah bekerja serta MACP (Music Authors’ Copyright Protection).

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.