fbpx
Now Reading
Ditipu Ejen Pekerjaan, 2 Rakyat Malaysia Terpaksa Kutip Sisa Makanan & Jadi Gelandangan Di London

Ditipu Ejen Pekerjaan, 2 Rakyat Malaysia Terpaksa Kutip Sisa Makanan & Jadi Gelandangan Di London

Mereka ditipu lebih RM10,000 oleh ‘ejen pekerjaan’ yang menjanjikan bulan dan bintang sebelum dibiarkan terkapai-kapai di ibu kota UK itu – satu dunia yang begitu asing buat mereka.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Tiada siapa menyangka impian dua rakyat Malaysia yang juga adik-beradik untuk bekerja di kota London akhirnya bertukar menjadi satu pengalaman pahit apabila terpaksa hidup sebagai gelandangan di sana.

Apa yang lebih menyedihkan, mereka juga terpaksa mengutip sisa makanan yang ditinggalkan orang ramai bagi mengisi perut demi meneruskan kehidupan.

Semua ini berlaku gara-gara ditipu oleh seorang ‘ejen pekerjaaan.’

Mengulas mengenai apa yang terjadi, Mohamad Araz (Abdullah bukan nama sebenar), 23, mendedahkan semuanya bermula selepas dia dan abangnya Mohammad Aiman, 30, yang menetap di Kuantan, Pahang terlihat satu video dan gambar seorang lelaki di TikTok hingga timbul rasa teruja untuk bekerja di ibu kota United Kingdom (UK) itu.

Mereka kemudiannya bertindak menghubungi satu nombor telefon yang telah dikongsi oleh seorang individu di ruangan maklum balas akaun TikTok lelaki berkenaan.

Jumpa ‘ejen pekerjaaan’ di Kuantan dan diminta bayar kos RM10,000 untuk kos ke London

“Kami menghubungi seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai ejen pekerjaan di London dan dia juga sanggup bertemu kami di Kuantan, Pahang, bagi membincangkan prosedur ke London.

“Kami dijanjikan pekerjaan, visa, tempat tinggal, wang poket dan tiket penerbangan dua hala selain lelaki berkenaan juga meminta bayaran keseluruhan RM10,000 bagi menampung kesemua kos,” katanya.

Sewaktu bertemu, mereka berasa yakin akan kebolehan ejen lelaki berusia 30-an apabila dia menunjukkan ‘bukti’ berupa gambar beberapa individu yang menurutnya sudah berjaya dihantar ke London bagi mendapatkan pekerjaan.

Malah tampak lebih yakin apabila dia menyatakan akan ada wakilnya yang akan menyambut ketibaan mereka di London nanti.

Foto: Mich via Harian Metro

Ibu gunakan wang simpanan untuk bayar kos keseluruhan ke sana.

Mereka kemudian berbincang dengan keluarga dan si ibu yang merupakan seorang pengusaha gerai makan di Kuantan lantas bersetuju meminjamkan wang simpanannya bagi membiayai kos keseluruhan untuk ke sana – seperti yang dipinta ejen berkenaan.

Namun episod malang mula menimpa mereka sebaik menjejakkan kaki di London pada 28 Oktober lalu.

Tidur di kaki lima, terpaksa ambil makanan di gereja & kutip sisa makanan untuk teruskan kehidupan

Dengan hanya berbekalkan wang RM3 di tangan, tidak banyak yang dapat mereka lakukan justeru terpaksa terpaksa hidup sebagai gelandangan dengan tidur di kaki lima bangunan dengan suhu yang akan rendah selain terpaksa meminta bantuan dari orang ramai di sana.

Namun selepas tiga hari, mereka bernasib baik apabila ditemukan dengan seorang individu yang mencadangkan mereka agak ke kawasan Bayswater yang sering menjadi tumpuan rakyat Malaysia di sana.

“Bagaimanapun semua adalah janji kosong sehingga kami terpaksa menjalani kehidupan sebagai gelandangan selama empat hari di London sebelum diselamatkan seorang lelaki warga tempatan dikenali sebagai Mich yang berasal dari Johor Bahru.

“Mulai 28 hingga 31 Oktober kami tinggal di kaki lima bangunan, ambil makanan yang disedekahkan di gereja, tidur dalam kesejukan kerana suhu di sini adalah antara 14 hingga 19 darjah Celsius, mengutip sisa makanan ditinggalkan selain terpaksa meminta wang daripada beberapa individu bagi meneruskan kehidupan.”

“Pada hari ketiga, kami bertemu dengan seorang hamba Allah yang memberi cadangan kepada kami untuk ke Bayswater, London kerana menyatakan di sana berpeluang bertemu ramai penduduk dari Malaysia.

“Kami hanya memiliki RM3, kami bernasib baik apabila ada yang sanggup menawarkan kos pengangkutan percuma bagi kami keluar dari kawasan lapangan terbang.

“Kami berjalan kaki hampir dua jam pada hari keempat untuk sampai ke Bayswater dan di situ kami bertemu Mich yang menjadi penyelamat kami,” kata Mohd Araz dipetik dari Harian Metro.

Lega ditemukan dengan rakyat Malaysia yang baik hati

Tiada apa yang lebih melegakan apabila berjumpa seseorang yang begitu memahami masalah yang menimpa mereka.

Mich yang berasal dari Johor dan kini menetap dan bekerja di London sebagai tukang masak bukan sekadar membantu mereka, malah dia juga menawarkan tempat tinggal sementara, memberi makanan serta menghubungi keluarga mereka bagi berkongsi apa yang berlaku.

“Saya mahupun abang tidak bersekolah tinggi dan kami memasang harapan bekerja di sini untuk membayar balik wang yang dipinjam dari ibu selain mengubah nasib keluarga.

“Abang sudah berkahwin dan memiliki tiga cahaya mata, malah kami juga menyara bapa yang berusia 70-an.

“Kedua ibu bapa kami juga tidak sihat dan memiliki beberapa komplikasi kesihatan dan ketika membuat panggilan video, kami cuba menjelaskan keadaan kami di sini dan usaha bagi mendapatkan pekerjaan,” ujar Mohamad Araz lagi.

Tiket pulang adalah palsu

Dalam pada itu, Mich yang ditemuramah Harian Metro turut memaklumkan bahawa tiket penerbangan pulang ke Malaysia yang disediakan oleh ejen berkenaan untuk kedua beradik itu adalah palsu.

Jelasnya sewaktu pertemuan pertamanya bersama mereka, mereka menangis meminta pertolongan.

“Seorang daripada mereka sudah fikir untuk membunuh diri kerana terlalu tertekan gara-gara diperdaya serta hidup merempat.

“Saya dalam usaha bagi mendapatkan pekerjaan bagi mereka atas permintaan dua lelaki itu serta bantuan majikan.

“Sepanjang menjadi tukang masak restoran di sini, saya tidak pernah terdengar terdapat ejen pekerjaan yang boleh mencarikan pekerjaan di sini.

“Diharap rakyat Malaysia tidak terpedaya dengan janji manis individu atau sindiket tertentu,” nasihat Mich lagi. 

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.