JKM Selamatkan 2 Remaja Bawah Umur, Disyaki Dipaksa Ibu Kerja Menyanyi Hingga 3 Pagi
Menurut Pengarah JKM Melaka, ibu remaja berkenaan yang juga merupakan penerima bantuan JKM mendakwa dirinya mempunyai masalah kesihatan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Bekerja atau mencari nafkah kebiasaannya dikaitkan dengan golongan dewasa.
Namun sejak belakangan ini, sering kali dilihat segelintir kanak-kanak bawah umur turut terlibat dalam menjana pendapatan.
Ada yang dilihat menjual barang atau makanan di stesen minyak, kedai makan dan di kawasan tumpuan pelancong.
Penglibatan segelintir golongan bawah umur ini kadang-kala menimbulkan persoalan orang ramai sama ada pekerjaan yang dilakukan adalah atas kerelaan mereka sendiri atau dipaksa.
Dua Remaja Bawah Umur Diselamatkan JKM, Nyanyi Tepi Jalan Hingga Jam 3 Pagi
Terbaharu, dua remaja lelaki yang masing-masing berumur 13 dan 15 tahun diselamatkan oleh pegawai penguatkuasa Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Mereka diselamatkan selepas dilihat meraih simpati orang ramai dengan menyanyi di kaki lima sebuah pusat beli belah di Banda Hilir, Melaka semalam (7 Januari).
Difahamkan, dua remaja lelaki bawah umur itu masih bersekolah dan mampu menjana pendapatan bulanan sehingga RM10,000 apabila menerima wang sumbangan orang ramai sebanyak RM300 hingga RM600 sehari khususnya pada malam hujung minggu.
Jadi Mangsa Eksploitasi Ibu Kandung, Mahu Jana Pendapatan Tambahan
Menurut Pengarah JKM Melaka Zulkifli Hanifah, maklumat awal mendapati remaja berkenaan dipercayai menjadi mangsa eksploitasi ibunya yang berusia 40-an bagi menambah pendapatan sejak empat tahun lalu.
Tambah Zulkifli, ibu remaja berkenaan yang juga merupakan penerima bantuan JKM mendakwa dirinya mempunyai masalah kesihatan.
Dia akan membawa anak-anaknya itu ke lokasi tersebut sebelum meninggalkan mereka dan memerhati dari jauh.
Mereka akan menyanyi pelbagai jenis lagu termasuk lagu 80-an bermula jam 8.30 malam hingga tiga pagi.
“Kita akan bawa kedua-dua beradik ini ke pejabat JKM dan melihat kesesuaian sama ada akan ditempatkan di pusat kebajikan atau pengawasan di bawah Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611).
“Sekiranya mereka ini perlu, demi masa depannya kita ambil dan meletakkan di rumah kebajikan yang bersesuaian agar dapat menjalani kehidupan normal,” katanya.
Jelasnya lagi, golongan bawah umur tidak sepatutnya dibiarkan berada di jalanan sehingga lewat malam.
Beliau berkata demikian ketika operasi mengambil orang papa dan kanak-kanak yang mengemis di Banda Hilir Melaka awal pagi semalam (7 Januari).
Enam Individu Lain Termasuk Seorang Kanak-Kanak Turut Diselamatkan
Pada masa yang sama, enam individu yang terdiri daripada lima orang gelandangan dan seorang remaja bawah umur turut diselamatkan dalam operasi tersebut.
Kata Zulkifli lagi, remaja yang diselamatkan itu dipercayai dieksploitasi dengan menggunakan maskot dan membawa tabung bagi meraih pendapatan di Pulau Melaka.
Manakala, lima gelandangan yang berumur dalam lingkungan 40-an didapati mengemis dan meminta sedekah di kawasan tumpuan orang ramai.
“Mereka ini disiasat di bawah Akta Orang-orang Papa 1977 (Akta 183) dan mungkin akan menempatkan mereka di rumah penjagaan warga terbiar di Villa Harapan, Duyong, ” katanya.
Tambah Zulkifli, golongan ini telah diberi peringatan namun masih ada lagi yang melakukan aktiviti mengemis seperti menyanyi, menjual tisu dan buah-buahan.
Perbuatan mereka ini boleh memberi kegusaran kepada pelancong serta mencemarkan imej negeri.
“Kita juga akan menyiasat sama ada wujud dalang di sebalik eksploitasi kanak-kanak bawah umur,” jelasnya lagi.
Baca Artikel Berkaitan: Pengemis Jalanan Di Filipina Dah Semakin Maju, Guna Imbasan Kod QR Minta Sedekah
Baca Artikel Berkaitan: Gelandangan Di Thailand Bina Bilik Tidur Siap Dengan Katil Atas Jejantas Pejalan Kaki [Video]