fbpx
Now Reading
Kontroversi Lagu ‘Astana’: Rocketfuel Sedia Berbincang Untuk Ernie Zakri Menyanyi Di SFMM38

Kontroversi Lagu ‘Astana’: Rocketfuel Sedia Berbincang Untuk Ernie Zakri Menyanyi Di SFMM38

Menurut Rocketfuel Entertainment lagi, dua artis lain iaitu Amira Othman dan Syamel yang tidak lagi berada di bawah naungan mereka juga telah bersetuju untuk membawa lagu nyanyian di pentas SFMM38.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Baru-baru ini nama penyanyi terkenal, Ernie Zakri menjadi sebutan peminat dunia hiburan selepas tidak hadir sewaktu pengumuman senarai 30 lagu yang layak ke Separuh Akhir Muzik Muzik 38 (SFMM38).

Sehubungan itu timbul dakwaan yang dia menarik diri dari mempersembahkan lagu ‘Astana’ di pertandingan berprestij berkenaan.

Ernie yang kini bernaung di bawah pengurusan Universal Music Malaysia kemudiannya tampil menyangkal dakwaan itu dan menjelaskan dia mahu menyanyikannya apatah lagi dia merupakan penyanyi asal dan komposer lagu tersebut.

Namun menurut Ernie terdapat beberapa terma perbincangan yang masih belum diselesaikan selesai antara pihak RIM (Persatuan Industri Rakaman Malaysia) dan MPB (Media Prima Berhad) menyebabkan hasratnya terhalang.

Ernie sentiasa patuh prosedur syarikat rakaman – Universal Music

Universal Music Malaysia dalam satu kenyataan berkata, penyanyi itu mengambil maklum mengenai kenyataan RIM dan MPA mengenai terma dan syarat pencalonan lagu dalam Muzik-Muzik yang masih dalam perundingan.

“Ernie menyatakan dia sentiasa mematuhi prosedur syarikat rakaman serta menghormati pendirian RIM dan MPA yang mewakili syarikat rakaman tempatan dan antarabangsa serta penegang hak rakaman bunyi atau video dan karya di Malaysia.

“Ernie juga tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan pencalonan lagu Astana seperti yang dilaporkan beberapa media,” kata kenyataan tersebut.

Malah Universal Music memaklumkan, lagu itu dicalonkan selepas Ernie menyertai syarikat rakaman mereka pada Julai lalu.

Rocketfuel terbuka untuk berbincang, perjelas Syamel dan Amira akan menyanyi di SFMM38

Terbaharu, syarikat RocketFuel Entertainment pula tampil memberikan penjelasan mereka berhubung kontroversi tersebut.

Rocketfuel dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menghormati keputusan yang telah dibuat oleh pihak pengurusan penyanyi asal lagu Astana (Ernie) untuk tidak terlibat dalam menyanyikan lagu ini di pentas SFMM38.

Namun mereka sentiasa bersedia dan bersifat terbuka untuk bertemu serta berbincang dengan mana-mana pihak yang sudi untuk bersama demi membolehkan Ernie membawa hasil karya mereka di pentas SFMM38.

Meskipun tidak menyebut sebarang nama, ramai tahu pihak pengurusan yang dimaksudkan adalah Universal Music.

Tambah syarikat rakaman itu lagi, dua artis lain iaitu Amira Othman dan juga Syamel yang tidak lagi berada di bawah naungan Rocketfuel Entertainment telah bersetuju untuk membawa lagu nyanyian mereka di pentas SFMM38.

Pilih cari penganti Ernie demi hormati SFMM38

Tambah pihak Rocketfuel Entertainment lagi, demi menghormati acara berprestij seperti SFMM38, pihaknya telah berusaha mencari pengganti yang sesuai untuk menyanyikan lagu ‘Astana’.

Akhirnya selepas perbincangan, mereka bersetuju memilih pertandingan juara Big Stage, Nadeera bagi meneruskan pertandingan itu.

Pihak Rocketfuel Entertainment yakin dan pasti dengan pemilihan ini kerana Nadeera merupakan calon yang amat sesuai untuk membawakan lagu ‘Astana’ dan memastikan lagu ini dinyanyikan dengan seadilnya.

Rocketfuel Entertainment

Pencalonan pada Februari semasa Ernie masih lagi di bawah RFE

Dalam pada itu, Rocketfuel turut menjelaskan pencalonan lagu “Astana” untuk program Muzik Muzik berlaku pada bulan Februari 2023 semasa Ernie masih lagi di bawah naungan pihaknya.

Ini boleh dilihat menerusi video pencalonan Muzik-Muzik yang dimuat naik di akaun YouTube TV3 pada 26 Februari 2023.

Kenyataan ini dilihat bercanggah dengan kenyataan Universal Music yang menjelaskan bahawa pencalonan itu hanya berlangsung selepas Ernie menyertai syarikat rakaman itu pada Julai yang lalu.

Sebagai rekod, beberapa syarikat rakaman antarabangsa di Malaysia turut terpalit dengan kontroversi lain antaranya tentang perang di Palestin-Israel.

Selain Warner Music dengan isu membabitkan Kaka Azraff, Universal Music turut dikritik peminat dunia hiburan di Malaysia selepas syarikat induknya mengecam serangan pejuang Hamas terhadap Israel selain menggelarkannya sebagai ‘barbarik’.

Bagi peminat dunia hiburan, syarikat rakaman seharusnya bersikap neutral dan tidak memihak kepada sesiapa sebaliknya memberi fokus kepada industri muzik.

Baca artikel berkaitan:

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.