fbpx
Now Reading
Saya tidak tumpaskan BN sendirian, kata Dr Mahathir

Saya tidak tumpaskan BN sendirian, kata Dr Mahathir

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

KEJAYAAN Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum baru-baru ini hasil daripada Malaysia yang bersatu, bukan kerana usahanya seorang diri, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir bercakap demikian pada majlis rumah terbuka Hari Raya di kediaman rasminya di Seri Perdana hari ini, di mana ribuan rakyat Malaysia berpusu-pusu ke sana untuk bertemu dengan pemimpin berusia 92 tahun itu bagi mengucapkan terima kasih atas peranannya membina semula negara ini.

“Ramai orang ucap terima kasih kepada saya kerana kami selamatkan negara ini tetapi ia bukan kerana saya seorang.

“Bukan saya seorang saja yang berjaya menumpaskan kerajaan terdahulu. Ia kerana ramai rakyat Malaysia hari ini memberikan kami sokongan kuat untuk mengatasi semua cabaran dan halangan oleh kerajaan terdahulu terhadap kami,” kata Dr Mahathir.

Dr Mahathir, yang memilih tidak berpindah ke Putrajaya dan kekal di rumahnya sendiri, menganjurkan rumah terbuka Hari raya pertamanya sebagai perdana menteri selepas memenangi PRU14.

Beliau berkata demokrasi bermakna rakyat Malaysia bebas memilih kerajaan.

“Jika mereka rasa kerajaan itu lama dan tidak sesuai, mereka boleh mengubahnya menerusi undi.

“Kita tidak perlukan keganasan atau perang dalam kalangan rakyat dan kerajaan.

“Bila kerajaan tahu rakyat Malaysia tidak lagi mahukan mereka, mereka perlu lihat keperluan rakyat.”

Beliau berkata kerajaan baharu menerima banyak sokongan daripada semua kaum dan akan terus aman pada tahun mendatang.

“Semangat yang ditunjukkan hari ini menunjukkan masa depan negara ini,” katanya.

“Dengan keamanan dan keselamatan negara ini, kita dapat mengembalikan kegemilangannya supaya setiap rakyat tanpa mengira kaum dapat hidup dalam aman.”

Dr Mahathir juga menyindir kerajaan terdahulu yang melancarkan kempen “Saya sayang PM” untuk menunjukkan sokongan kepada bekas perdana menteri Najib Razak.

“Ramai rakyat Malaysia suarakan sokongan mereka untuk saya, dengan ada yang kata ‘I love you’ kepada saya.

Tetapi kita tidak beri mereka plakad seperti ketika pentadbiran Najib dulu. Tetapi mereka masih kata ‘I love you’ kepada saya.

“Terima kasih semua,” kata Dr Mahathir sebelum bertolak ke masjid untuk solat Jumaat. – 15 Jun, 2018.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.