
Kes Cabul 3 Wanita Di Tamarind Square, Lelaki Mengaku Tidak Bersalah
Dia didakwa mencabul tiga wanita di Tamarind Square pada 5 April dan Disember tahun lalu.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sekitar minggu lalu, media sosial hangat memperkatan mengenai kes cabul membabitkan dua wanita di pusat perniagaaan Tamarind Square di Cyberjaya.
Keesokan harinya, polis Sepang mengesahkan suspek sudah pun ditahan di Taman Putra Perdana, Puchong serta merampas barang kes semasa kejadian.
Ianya selepas polis melakukan semakan menerusi CCTV yang mendapati suspek tiba di bangunan itu pada jam 1.57 tengah hari hari kelmarin (Selasa) dengan menunggang Yamaha Lagenda 115ZR berwarna merah.
Suspek kemudian mengakui turut terlibat dengan satu lagi kes cabul yang berlaku di tempat sama pada tahun lalu.
Baca artikel berkaitan : Kes Cabul Di Cyberjaya : Suspek Rupanya Ada Rekod Jenayah & Pernah Cabul Di Tempat Sama Tahun Lalu
Mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan mencabul
Terbaharu semalam (13 April), suspek, Fariz Sollehim Mohamed, 20, telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sepang atas tuduhan mencabul kehormatan tiga wanita di Tamarind Square, Cyberjaya.
Dia yang bekerja sebagai kontraktor pembinaan bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah sebaik tiga pertuduhan berkenaan dibacakan di hadapan Majistret Ayuni Izzati Sulaiman.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa mencabul seorang wanita berusia 32 tahun pada jam 11.44 pagi, 21 Disember 2021 di tempat letak kereta Tamarind Square dan dua lagi wanita, masing-masing berusia 35 tahun dan 27 tahun pada 5 April lalu juga pada lokasi sama.
Boleh dipenjara sehingga 10 tahun
Dia dituduh mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana daripada dua hukuman itu, jika didapati bersalah.
Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 bagi setiap pertuduhan. Dia juga diberikan syarat tambahan iaitu perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali selain tidak mengganggu mangsa dan saksi kejadian.
Terdahulu, ibu bapa tertuduh yang turut berada di mahkamah dilihat sedih sepanjang mengikuti prosiding.