fbpx
Now Reading
Ditetak Datuk Saudara, Bayi 6 Bulan Maut Manakala Ibu Cedera Parah

Ditetak Datuk Saudara, Bayi 6 Bulan Maut Manakala Ibu Cedera Parah

Suspek berjaya diberkas polis, manakala ibu mangsa cedera parah dan bayi maut kerana ditetak.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Seorang bayi perempuan berusia enam bulan meninggal dunia apabila ditetak oleh datuk saudaranya di Kampung Ubi Sungai Pauh, Kinabatangan, Sabah, pada Selasa (10 Mei).

Menerusi laporan Kosmo, dalam insiden kira-kira jam 2 petang itu, ibu bayi tersebut yang berumur 35 tahun turut dilaporkan parah dengan kecederaan di bahagian telinga sebelah kiri serta hampir putus.

Menurut Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Dzulbaharin Ismail, pihak polis telah menerima panggilan dari orang awam berhubung insiden itu pada jam 2.40 petang sebelum sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan dihantar ke lokasi insiden.

Bayi disahkan meninggal dunia

“Anggota bertugas mendapati bayi perempuan terbabit sudah meninggal dunia akibat ditetak di bahagian kepala manakala belakang tengkuk selain telinga kiri hampir putus.

“Kedua-dua mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kinabatangan untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Suspek berjaya diberkas dan sebilah parang turut dirampas

“Kita kemudiannya berjaya mengesan dan menangkap suspek di kawasan kebun sawit di lokasi sama selain turut merampas sebilah parang dipercayai digunakan untuk menetak mangsa,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa suspek yang berumur 60 tahun merupakan warga Filipina telah dibawa ke IPD Kinabatangan bagi siasatan lanjut dan siasatan masih dijalankan untuk mengenalpasti punca kejadian.

Reman selama 7 hari

“Suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati sekiranya disabitkan kesalahan,” ulas Dzulbaharin lagi.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.