fbpx
Now Reading
Usahawan Didakwa Gubah Wang Haram lebih RM2.04 Juta, Siap Beli Perniagaan Sushi

Usahawan Didakwa Gubah Wang Haram lebih RM2.04 Juta, Siap Beli Perniagaan Sushi

Usahawan itu turut didakwa telah menggunakan sejumlah wang untuk membeli perniagaan sushi selain memindahkan wang aktiviti haram yang lain.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Seorang usahawan yang didakwa di Mahkamah Sesyen di Raub, Pahang, semalam (17 Ogos) mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan pengubahan wang haram yang berjumlah RM2.04 Juta.

Usahawan yang dikenali sebagai Norida Syakira Agus Yadi yang berusia 28 tahun, beralamat di Banting, Selangor, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.

Pindahkan wang menerusi akaun bank syarikat sendiri

Menerusi laporan Harian Metro yang dipetik dari Bernama, individu tersebut didakwa melakukan perkara tersebut antara 8 Jan 2021 sehingga 20 Jun 2021, melalui akaun syarikat miliknya iaitu DSS Berkat Enterprise di Maybank Islamic Berhad cawangan Kuala Lipis, Pahang.

Guna RM1.3 juta beli perniagan sushi

Tertuduh juga telah didakwa di atas kesalahan menggunakan wang sebanyak RM1.317 juta untuk membeli perniagaan sushi selain turut memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram bernilai RM242,770, RM369,700 serta RM32,500.

Selain itu, wanita itu juga turut didakwa telah melupuskan sejumlah wang yang bernilai RM80,000.

Norida Syakira didakwa mengikut subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) (Akta 613) yang juga boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama.

Boleh dipenjara 15 tahun jika sabit kesalahan

Sekiranya disabitkan dengan kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun serta didenda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM 5 juta, yang mana lebih tinggi.

Sewaktu perbicaraan, Timbalan Pendakwa Raya AMLA Rohaiza Zainal telah menawarkan RM500,000 bagi tertuduh diikat jamin dengan dua penjamin untuk kesemua pertuduhan serta meminta agar kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Ini kerana, Norida Syakira mempunya satu pertuduhan yang didakwa di mahkamah tersebut selain empat lagi pertuduhan di Mahkamah Majistret Shah Alam yang membabit wang jutaan ringgit pada 24 Feb lalu.

Buat rayuan jumlah bayaran dikurangkan kerana tidak mampu, tertuduh dan suami tidak bekerja

Peguam M Manoharan yang mewakili usahawan tersebut telah membuat rayuan untuk mengurangkan jumlah bayaran disebabkan tertuduh tidak mampu untuk membayar jaminan selepas menjelaskan jaminan bernilai RM17,500 di Shah Alam serta berharap agar jaminan tersebut boleh digunakan di sini.

“Tertuduh kehilangan kerja selepas dihadapkan ke mahkamah sebelum ini dan suaminya tidak bekerja. Tertuduh mempunyai sepasang anak berusia lapan dan setahun dan mereka sangat rapat dengan tertuduh,” jelas peguam itu.

Mahkamah benarkan tertuduh diikat jamin RM10,000

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM10,000 bersama dengan seorang penjamin untuk setiap pertuduhan dan usahawan itu hendaklah melaporkan diri ke balai polis berdekatan setiap bulan.

Selain itu, kes turut dibenarkan untuk dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.