Orang Kelantan Tak Bayar Bil Air RM28.5 Juta – EXCO Kelantan
Menurut Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Kelantan, pengguna domestik merupakan faktor utama berlakunya tunggakan yang tinggi iaitu bernilai RM18.4 juta.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Setakat 30 September lepas, Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) melaporkan sebanyak RM28.5 juta bil air tidak dibayar oleh penduduk di negeri itu.
Menurut laporan Sinar Harian, Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Kelantan, Datuk Azami Mohd Nor berkata bagaimanapun setakat ini kerajaan negeri tidak mengambil sebarang tindakan berkaitan hal tersebut.
Pengguna domestik faktor berlaku tunggakan
Jelas Beliau, pengguna di negeri itu merupakan faktor utama berlakunya tunggakan yang tinggi iaitu bernilai RM18.4 juta.
“Kutipan juga sedikit perlahan kerana semua pengguna masih dalam peringkat pemulihan pasca Covid-19,” katanya.
Difahamkan, kenyataan itu diberikan olehnya selepas menjawab soalan Datuk Mohd Adhan Kechik (Bukit Bunga-BN) mengenai jumlah tunggakan bil pengguna AKSB pada Persidangan Dewan Undangan Negeri, Khamis lalu (24 November).
Jumlah tunggakan lebih rendah berbanding tahun sebelumnya
Walaubagaimanapun beliau menjelaskan tunggakan bil pengguna (aktif) AKSB hingga 30 September 2022 ialah RM28,543,688 – jauh lebih rendah berbanding tahun sebelumnya iaitu RM33,212,268.
Tambah Azami, bagi meningkatkan hasil kutipan, AKSB melaksanakan penguatkuasaan kutipan secara berterusan di seluruh Kelantan terutamanya yang tiada masalah bekalan air bersih pada tahun ini.
Selain itu, AKSB juga akan menyediakan pelbagai medium pembayaran termasuk melalui bank dan ejen kutipan.
Kerajaan Kelantan sentiasa membantu penduduk yang memerlukan
Menjawab soalan Hilmi Abdullah (Guchil-PAS) yang bertanya sama ada kerajaan akan memberi bekalan air percuma kepada asnaf di Kelantan, Azami berkata, pihaknya sentiasa memberi bantuan kepada penduduk yang memerlukan.
“Kita menyediakan 30 lori sewa khas yang bersedia mengagihkan bekalan air percuma kepada asnaf di semua kawasan sejak April 2020 hingga Julai tahun ini.
“Kesemua agihan itu berjumlah RM11.5 juta yang juga antara tanggungjawab sosial kita,” katanya lagi.