Semalam, negara digemparkan dengan berita menyayat hati apabila empat beradik dilaporkan meninggal dunia dalam satu tragedi rumah terbakar di Lorong Haji Muhammad, Jalan Ismail, Kampung Sabak Awor, Muar.
Mangsa yang terdiri daripada dua orang kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan sebelum jenazah mereka diserahkan kepada pihak pihak polis untuk tindakan lanjut.
Baca artikel berkaitan: Tragedi Rumah Terbakar Di Muar, 4 Beradik Meninggal Dunia
Ibu dedah empat beradik mahu pakai baju raya warna hitam
Kejadian menjadi lebih menyayat hati apabila ibu kepada empat beradik itu sebentar tadi mendedahkan anak-anaknya sebelum ini ada meluahkan hasrat mahu memakai baju raya berwarna hitam untuk Aidilfitri kali ini.
Perkara itu seperti petanda bahawa keempat-empat anaknya itu akan pergi selama-lamanya.
Dia yang dikenali sebagai, Nabila Sedu, 31 memaklumkan begitu terkilan kerana tidak sempat menunaikan hajat terakhir empat cahaya matanya itu.
Turut kelihatan wanita itu mencium dan mendakap pakaian tadika milik salah seorang anaknya semasa ditemui di pekarangan Jabatan Forensik, Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar.
Gagal dapat ulasan dari ibu dan bapa mangsa kerana dalam keadaan sedih
“Anak-anak ada beritahu, mereka semua hendak pakai baju raya berwarna hitam,” katanya dipetik dari Sinar Harian.
Walau bagaimanapun, usaha pihak media untuk mendapatkan ulasan dari pihaknya dan suami, Thein Ko Htut, 30 tidak berjaya disebabkan keadaan mereka yang terlalu sedih dengan kejadian yang menimpa anak-anaknya.
Ia turut membuatkan mereka dalam keadaan tergesa-gesa untuk meninggalkan kawasan hospital terbabit.
Turut hadir ke hospital untuk melawat keluarga itu adalah Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid.