fbpx
Now Reading
Wanita Buka Baju Kurung & Tudung Semasa Buat Stand Up Comedy Didenda RM8,000

Wanita Buka Baju Kurung & Tudung Semasa Buat Stand Up Comedy Didenda RM8,000

Menurut peguam bela R Sivaraj, anak guamnya memutuskan untuk menukar pengakuan kepada bersalah selepas pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan alternatif di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini (17 April) menjatuhkan hukuman denda RM8,000 terhadap Siti Nuramira Abdullah yang sebelum ini tular kerana membuka baju kurung dan tudung ketika membuat persembahan di sebuah kelab komedi pada tahun lalu.

Hakim, N Priscilla Hemamalini membuat keputusan tersebut selepas Siti Nuramira atau lebih dikenali dengan panggilan Amy menukar pengakuannya kepada bersalah atas pertuduhan alternatif iaitu mengeluarkan kata-kata dengan niat yang sengaja untuk menyakiti perasaan orang lain dengan menyentuh isu agama.

N Priscilla turut memerintahkan Amy dipenjara empat bulan jika gagal membayar denda tersebut, lapor NST.

Sewaktu awal prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob berkata, Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menerima representasi (Siti Nuramira) yang dihantar pada 16 Mac lepas.

Sehubungan itu pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan terhadapnya berbanding pertuduhan lama mengikut Seksyen 298A(1)(a) KK iaitu perbuatan boleh menyebabkan suasana tidak harmoni di atas alasan agama antara orang yang menganut agama sama.

Mengaku bersalah selepas pihak pendakwaan tukar pertuduhan

Peguam bela, R Sivaraj yang mewakili Amy bagaimanapun berkata, anak guamnya memutuskan untuk menukar pengakuan selepas pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan alternatif tersebut.

Dia juga merayu agar Amy dikenakan hukuman ringan memandangkan ia adalah kesalahan pertama selain dia telah menjimatkan masa mahkamah.

“Dia baru berkahwin empat bulan yang lalu dan mahukan kehidupan yang aman.

“Sebagai seorang isteri, dia mahu memberikan fokus kepada rumah tangganya. Dia amat kesal dan memohon maaf kepada semua pihak yang terlibat,” katanya.

Abdul Malik bagaimanapun memohon supaya mahkamah memberi hukuman setimpal dengan mengambil kira kesalahan itu mendapat perhatian orang ramai.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau dengan kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu kisah Amy menjadi perbualan hangat di media sosial selepas video dia membuat persembahan komediri di Crack House Comedy Club pada 4 Jun 2022 tular di media sosial.

Menerusi video tersebut, dia yang pada mulanya mengakui telah menghafal 15 juzuk al-Quran kemudian bertindak membuka tudung dan baju sambil di hadapan penonton yang hadir.

Tindakan beliau bukan sahaja dikecam orang ramai, malah turut mendapat kritikan pelawak terkenal Malaysia seperti Harith Iskander dan Afdlin Shauki,

Jelas Harith, perbuatan tersebut adalah tidak lawak manakala Afdlin menyifatkannya sebagai jijik.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.