Kerajaan Akan Hapuskan Pengkelasan Kategori B40, M40 dan T20 Mulai 2024
Menurut Rafizi Ramli, kerajaan ketika ini sedang berusaha meminimumkan kesilapan pengecualian subsidi yang berlaku akibat pengkelasan kategori gaji, ia bagaimanapun perlu dijalankan secara berperingkat.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Kerajaan bakal menghapuskan pengkelasan B40, M40 dan T20 secara berperingkat mulai tahun 2024
Menurut Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, kerajaan perlu memastikan bahawa semua infrastruktur sudah tersedia dan ujian perintis telah dilaksanakan sebelum dapat memutuskan berapa tahap pendapatan yang layak diberikan bantuan.
Tambahnya kerajaan ketika ini sedang berusaha meminimumkan kesilapan pengecualian subsidi yang berlaku akibat pengkelasan kategori gaji, ia bagaimanapun perlu dijalankan secara berperingkat.
“Di peringkat kerajaan, bagi pihak Majlis Tindakan Ekonomi (MTEN) contohnya, minggu ini kita sudah mula bincang simulasi, siapa yang patut dapat apa, apakah pendekatan yang akan diberikan, adakah bantuan anak sejagat, adakah akan diberi penambahan nilai pendapatan dan sebagainya.
“Semua sudah dibincangkan. Saya rasa tahun depan anda akan melihat peralihan daripada subsidi ‘blanket’ dan pengkelasan T20, B40, M40, perlahan-lahan akan dihapuskan.
“Kami akan melancarkannya satu per satu, bantuan sosial yang disepadukan berdasarkan pendapatan boleh belanja bersih isi rumah,” kata Rafizi dipetik Sinar Daily.
Semua ini menurut Ahli Parlimen Pandan itu dapat direalisasikan dengan kerjasama pelbagai agensi menerusi perkongsian dalam Pangkalan Data Utama (PADU), sekali gus memastikan keberkesanan pelaksanaan program subsidi kerajaan.
Sekitar Mei lalu, Rafizi memaklumkan kerajaan akan melakukan peralihan dasar sosio ekonomi daripada pendekatan berasaskan pendapatan B40, M40 dan T20 kepada berasaskan pendapatan boleh belanja bersih isi rumah.
Ianya kerana pendekatan yang sudah lama diguna pakai ini tidak mengambarkan sepenuhnya dari segi perbandingan kemampuan dari satu isi rumah ke satu isi rumah kerana ada banyak pembolehubah lain daripada hanya pendapatan dan ia termasuk jumlah tanggungan.
Apa itu PADU?
PADU adalah satu platform maklumat atau pangkalan data utama yang akan dibangunkan kerajaan bagi menggabungkan maklumat sosioekonomi setiap isi rumah di negara ini.
Antara maklumat yang akan direkodkan termasuklah:
- Bilangan isi rumah
- Rekod pendapatan
- Tanggungan anak mengikut peringkat pendidikan
- Lokasi
- Bilangan kenderaan.
Selain itu ia juga merangkumi rekod bantuan yang diterima dari jabatan kerajaan di dalam isi rumah dan maklumat-maklumat lain yang boleh membantu menentukan pendapatan boleh belanja setiap isi rumah.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, PADU dibangunkan untuk membantu kerajaan menggubal dasar sekaligus mensasarkan subsidi dan bantuan dengan lebih berkesan.
Bahkan ia juga berperanan mengurus dan menyelaras penilaian agihan subsidi kepada golongan yang layak.
Difahamkan versi PADU yang menggunakan real time data tersedia sepenuhnya Januari 2024 dan diuruskan dan diselenggara oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Baca artikel berkaitan: