Tragedi Kepala Air Di Jeram Mawar, Identiti 8 Mangsa Sudah Dikenal Pasti
Difahamkan, khidmat anjing pengesan K9 milik polis dan bomba akan digunakan selain mohon menambah kekuatan anggota operasi SAR termasuk bantuan daripada orang luar dalam mencari mangsa yang masih hilang.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Pihak polis telah mengenal pasti identiti lapan individu termasuk tujuh sekeluarga yang hilang dalam satu tragedi kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, Kemaman pada Ahad lalu (2 Julai).
Menurut Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan, tujuh sekeluarga itu ialah Karim Abdullah, 39; Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18; Putri Alleya Maisarah Karim, 16; Putri Nor Fatin Karim, 14; Putri Nurerina Natasya Karim, 10; Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, dan Putri Aryana Umaira Karim, 4.
Manakala seorang lagi mangsa yang dilaporkan hilang merupakan tunang kepada Puteri Balqis Izzati iaitu Muhammad Fikri Saliman, 24, yang berasal dari Batu Pahat, Johor.
Polis terima maklumat daripada orang awam
Sebelum ini, polis menerima maklumat mengenai penemuan dua mayat tragedi itu iaitu Azizah Eiyi, 40, dan anaknya Muhammad Zulqarnaun Haikal Karim, 11 daripada orang awam pada pukul 12.30 tengah hari.
“Identiti dua beranak itu dikenal pasti selepas pengecaman dilakukan ahli keluarga di Bilik Forensik Hospital Kemaman, pada Ahad malam.
“Keluarga berkenaan berasal dari Felda Lepar Hilir, Kuantan, Pahang telah datang ke jeram berkenaan sejak 2 petang (Sabtu) untuk berkelah,” katanya dalam satu sidang media malam tadi.
Difahamkan, mayat Azizah ditemui terapung oleh orang ramai selepas dihanyutkan arus kira-kira 24 kilometer (km) dari tempat kejadian manakala Muhammad Zulqarnain pula dijumpai tersangkut pada dahan pokok sekitar dua kilometer dari lokasi kejadian.
Mangsa mahir dengan laluan ke lokasi, mampu bawa kereta ke kawasan terbabit
Menurutnya lagi, pihak polis percaya Karim yang bekerja sebagai pemandu jengkaut di Hutan Air Putih mahir dengan laluan di lokasi tersebut sehingga mampu untuk masuk ke kawasan itu menggunakan kenderaan biasa.
“Bagaimanapun, mereka mungkin tidak menyedari keadaan kepala air yang datang dengan deras secara tiba-tiba. Kalau tengok keadaan di lokasi tadi, paras air dipercayai meningkat sebanyak lima hingga 10 meter sekali gus, tidak sempat untuk melarikan diri ketika sedang mandi di situ,” katanya.
Operasi SAR libatkan kekuatan 50 anggota dari JBPM, APM dan orang awam
Ujar Hanyan lagi, operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan 50 anggota daripada pasukan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan orang awam telah dihentikan pada pukul 6.00 petang semalam atas faktor cuaca.
“Setakat pukul 10 malam ini (Ahad), tiada sebarang penemuan baharu di lokasi kejadian. Radius kawasan pencarian kita pula seluas 24 km mengambil kira lokasi penemuan mayat pertama.
“Esok (Isnin) kita akan mula pencarian di tebing kiri dan kanan jeram sejauh 8km. Polis percaya kemungkinan lokasi mangsa boleh berada jauh dari titik awal kejadian kerana dibawa arus kepala air yang deras,” katanya lagi.
Khidmat unit K9 akan digunakan dan mohon tambah kekuatan anggota
Dalam pada itu, beliau berkata khimat anjing pengesan K9 milik polis dan bomba akan digunakan selian akan membuat permohonan menambah kekuatan anggota operasi SAR termasuk bantuan daripada orang luar.
“Malah kalau ada orang awam yang nak bantu pencarian pun kita amat galakkan, bagaimanapun perlu lapor diri terlebih dahulu di Balai Polis Air Putih. Diingatkan agar tidak membuat kerja pencarian tanpa pengetahuan polis,” ujarnya.
Berkongsi lanjut, Hanyan berkata mayat Azizah dan Muhammad Zulqarnain Haikal telah dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk bedah siasat.