fbpx
Now Reading
Ketua Pendakwaan Kes Rasuah Zahid Digantikan Kerana Akan Bersara Awal – Peguam Negara

Ketua Pendakwaan Kes Rasuah Zahid Digantikan Kerana Akan Bersara Awal – Peguam Negara

Menurut Tan Sri Idrus Harun, keputusan untuk menggantikan Raja Rozela itu dibuat setelah mengambil kira pelbagai faktor dengan membuat pertimbangan yang teliti.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sejak semalam (8 Ogos), tular laporan media yang mengatakan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran tidak lagi mengetuai pasukan pendakwaan melibatkan 47 kes tuduhan rasuah Timbalan Perdana Menteri I Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Susulan laporan itu, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun dalam satu kenyataan pada hari yang sama menyatakan tindakan itu dilakukan kerana Raja Rozela ingin bersara awal selain memohon untuk bercuti bermula pada 30 Ogos ini.

Keputusan dibuat setelah mengambil kira pelbagai faktor dengan teliti

Menurutnya, keputusan untuk menggantikan Raja Rozela itu dibuat setelah mengambil kira pelbagai faktor dengan membuat pertimbangan yang teliti.

“Raja Rozela telah mengemukakan permohonan untuk bersara awal pada 3 April 2023. Pemohonan itu telah diluluskan dan akan berkuat kuasa pada 1 November 2023.

“Selanjutnya, Raja Rozela memohon untuk bercuti sebelum bersara mulai 30 Ogos ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Dusuki ketua pasukan pendakwaan baharu punyai pengalaman yang luas

Menurutnya lagi, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar yang dilantik selaku ketua pasukan pendakwaan baharu bagi mengendalikan kes Ahmad Zahid mempunyai pengalaman yang luas hampir 30 tahun sebagai seorang Timbalan Pendakwa Raya.

Jelas Idrus lagi, Mohd Dusuki ketika ini merupakan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan, Jabatan Peguam Negara yang mengendalikan kes-kes Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan serta beberapa kes berprofil tinggi seperti kes pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah.

Ketua pasukan baharu perlu dilantik segera bagi memastikan kesinambungan kes

Tambahnya lagi, beliau berkata memandangkan kes Ahmad Zahid masih berlangsung dan tarikh-tarikh perbicaraan telah ditetapkan sehingga Disember 2023, maka seorang ketua pasukan yang baharu perlu dilantik dari sekarang bagi memastikan kesinambungan kes berkenaan.

“Keputusan ini dibuat dengan teliti bagi memastikan kes pendakwaan terhadap Ahmad Zahid tidak terjejas selain memastikan Jabatan Peguam Negara dapat menegakkan keadilan selaras dengan bidang kuasa Peguam Negara yang diperuntukkan di bawah Fasal 3 Perkara 145 Perlembangaan Persekutuan,” katanya lagi.

Terdahulu, Raja Rozela mengetuai pendakwaan di mana Ahmad Zahid berdepan 47 pertuduhan yang melibatkan 12 tuduhan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

BACA ARTIKEL BERKAITAN: Zahid Hamidi Mohon Gugurkan 47 Pertuduhan Rasuah, Pecah Amanah & Gubah Wang Haram Babitkan Yayasan Akalbudi

BACA ARTIKEL BERKAITAN:

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.