fbpx

Muhyiddin Lepas, Bebas Empat Tuduhan Salah Guna Kedudukan Babit Rasuah RM234.5 Juta

Menurut Muhyiddin, beliau menganggap keempat-empat tuduhan berhubung penyalahgunaan kuasa mempunyai unsur politik.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini (15 Ogos) melepas dan membebaskan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas empat tuduhan salah guna kuasa bagi rasuah melibatkan parti itu sebanyak RM234.5 juta di bawah Program Jana Wibawa.

Kempat-Empat Pertuduhan Adalah Cacat dan Tidak Berasas

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan bahawa keempat-empat pertuduhan itu disifatkan sebagai cacat, tidak berasas dan kabur serta tidak selaras dengan Kanun Tatacara Jenayah.

Menurut beliau, pertuduhan yang dibuat terhadap Muhyiddin tidak mendedahkan butiran kesalahan yang dilakukan di bawah Akta SPRM 2009. Ini menyebabkan tertuduh tidak boleh mengeluarkan arahan kepada peguam yang mewakilinya.

“Oleh itu, mahkamah membenarkan permohonan pemohon (Muhyiddin) untuk membatalkan keempat-empat pertuduhan berkenaan. Dengan ini, pemohon dilepas dan dibebaskan.”

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Jamil Hussin

Mahkamah berpendapat sekiranya perbicaraan diteruskan, pembelaan sewajarnya tidak dapat disediakan oleh Muhyiddin dan ini menjadikan pendakwaan terhadapnya sebagai satu penyalahgunaan proses mahkamah.

Muhyiddin Anggap Pertuduhan Berunsurkan Politik

Menurut bekas Perdana Menteri itu, beliau menganggap kempat-empat tuduhan berhubung penyalahgunaan kuasa mempunyai unsur politik.

“Ia bertujuan untuk menekan saya, tuduhan palsu ini tidak membuktikan apa-apa kesalahan. 

“Saya akan turun ke padang dan menjelaskan perkara ini kepada rakyat,” kata ahli Parlimen Pagoh itu.

Muhyiddin diwakili oleh peguam Hisyam The Poh Teik, K Kumarendran dan Rosli Dahlan manakala pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Untuk info, bekas Perdana Menteri itu telah memfailkan notis usul untuk membatalkan empat tuduhan itu pada 18 April yang lalu dengan menamakan pendakwa raya sebagai responden.

Beliau memohon agar dilepas dan dibebaskan daripada kempat-empat tuduhan yang dikenakan terhadapnya pada 10 Mac yang lalu serta memohon penangguhan prosiding di Mahkamah Sesyen.

Sebelum ini, Muhyiddin didakwa atas enam pertuduhan iaitu empat daripadanya melibatkan penyalahgunaan kuasa mendapatkan rasuah RM232.5 juta manakala dua lagi merupakan kesalahan pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta.

Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Blok Utama, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, di Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Baca Artikel Berkaitan: Muhyiddin Sah Ditahan SPRM, Akan Didakwa Di Mahkamah Esok

Baca Artikel Berkaitan: Berdepan 6 Pertuduhan, Muhyiddin Yasin Dibenar Ikat Jamin RM2 Juta

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.