fbpx
Now Reading
Ibu Tunggal & Teman Serumah Tak Mengaku Aniaya, Dera Anak 7 Tahun

Ibu Tunggal & Teman Serumah Tak Mengaku Aniaya, Dera Anak 7 Tahun

Pendakwaan kedua-dua pertuduhan itu dilakukan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang dibawa bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Baru-baru ini, kecoh di media sosial apabila sekumpulan jiran mendakwa seorang ibu tunggal dan rakan serumahnya telah mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun di Johor Bahru.

Lebih menyayat hati, apabila tular rakaman yang menunjukkan keadaan belakang badan kanak-kanak itu yang dipenuhi luka sehingga bernanah.

Susulan itu, kedua-dua wanita terbabit telah ditahan polis untuk membantu siasatan berhubung kejadian tersebut.

Terkini, ibu tunggal dan kawan serumahnya itu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas dua pertuduhan menganiaya dan mengabaikan anak kandungnya sejak lapan bulan lalu.

Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah

Bagaimanapun semasa pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Fatimah Zahari, tertuduh yang berusia 27 tahun dan rakan serumahnya, Awiin Chua, 30, membuat pengakuan tidak bersalah.

Kedua-dua tertuduh yang tiba di perkarangan mahkamah kira-kira jam 8.40 pagi hari ini (16 Ogos) diiringi anggota polis dilihat sentiasa mengalirkan air mata sehingga prosiding selesai.

Bagi pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa mencapai niat bersama menganiaya kanak-kanak terbabit yang di bawah pemeliharaan mereka sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal.

Manakala bagi pertuduhan kedua pula, mereka didakwa mencapai niat bersama mengabaikan mangsa yang juga anak kandung tertuduh pertama ketika di bawah jagaan mereka.

Kedua-dua pertuduhan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Wau Kikik 7, Bandar Layangkasa, Pasir Gudang antara 1 Julai hingga 9 Ogos lalu.

Pendakwaan kedua-dua pertuduhan itu dilakukan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang dibawa bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dijatuhi hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya tawar jaminan tinggi serta syarat tambahan

Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Diyana Zubir menawarkan jaminan tinggi sebanyak RM30,000 kepada setiap tertuduh dengan beberapa syarat tambahan termasuk dilarang berhubung atau mendekati mangsa.

“Tertuduh pertama adalah ibu kandung kepada mangsa yang mana dia mengambil kanak-kanak itu daripada jagaan datuk dan neneknya di Pokok Sena, Kedah sebelum dibawa lari ke negeri ini, tetapi dalam penjagaannya dia gagal menjaga anaknya sehingga terdapat kecederaan fizikal serta diabaikan.

“Tertuduh kedua (Awiin) pula yang juga seorang warga Singapura tinggal serumah dengan tertuduh pertama yang mana walaupun tiada talian darah, tertuduh turut diberi tanggungjawab menjaga mangsa ketika di rumah.

“Kanak-kanak itu kini di hospital dan dijaga bapa saudaranya sementara menunggu pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memutuskan hak penjagaan mangsa,” kata Nur Diyana.

Peguam wakili kedua-dua tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan

Peguam yang mewakili kedua-dua tertuduh, Abd Rahim Ali bagaimanapun memohon jumlah jaminan itu dikurangkan memandangkan anak guamnya itu masih belum didapati bersalah.

Abd Rahim turut memantah kenyataan pendakwaan yang mengatakan tertuduh pertama membawa lari mangsa sedangkan tempat seorang anak adalah di sisi ibunya.

“Tiada risiko tertuduh pertama akan mengganggu mangsa kerana hak penjagaan akan ditentukan JKM dan dia juga tidak berisiko melarikan diri kerana kini tidak bekerja sejak dua bulan lalu, dia juga tiada pasport dan mempunyai seorang lagi anak berusia sembilan tahun.

“Bagi tertuduh kedua pula dia masih bekerja di Singapura, tetapi menetap di Pasir Gudang dan mempunyai pasport serta permit yang sah,” katanya.

Tertuduh pertama dibenarkan ikat jamin RM15,000 dan RM20,000 kepada tertuduh kedua

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh pertama diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh kedua pula sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin warga tempatan.

Hakim turut menetapkan syarat tambahan jaminan iaitu kedua-dua tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali sehingga kes selesai dan diberi amaran supaya tidak boleh mengganggu mangsa.

Mahkamah kemudianya menetapkan 27 September sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan perubatan mangsa dari Hospital Sultan Ismail (HSI).

BACA ARTIKEL BERKAITAN:

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.