fbpx
Now Reading
Busuk & Menjijikkan! Kilang Proses Ayam Tanpa Lesen Diarah Tutup

Busuk & Menjijikkan! Kilang Proses Ayam Tanpa Lesen Diarah Tutup

Menurut Majlis Perbandaran Selayang, kilang berkenaan pernah diserbu sebanyak dua kali namun kedegilan pemiliknya menyebabkan premis tersebut tetap meneruskan operasi.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) semalam (29 Ogos) menyerbu sebuah kilang proses ayam yang beroperasi tanpa lesen di Jalan Sungai Bakau Rawang, Selangor.

Operasi yang diketuai Pengarah Jabatan Penguatkuasa dan Keselamatan MPS, Tuan Ahmad Faisal bin Badiuzaman serta disertai oleh 69 anggota penguatkuasa melakukan serbuan mengejutkan itu setelah menerima aduan daripada orang awam.

Buang Darah Ayam & Air Buangan Di Longkang, Punca Pencemaran

Premis berkenaan dikatakan menjalankan aktiviti proses ayam hingga menyebabkan pencemaran bau dan air serta serangga hingga mendatangkan ketidakselesaan kepada penduduk setempat.

Malah, ketika serbuan dibuat, kilang tersebut berada dalam keadaan yang kotor dan menjijikkan.

Hasil pemeriksaan mendapati premis itu beroperasi berdekatan dengan kawasan kediaman malah turut membuang darah ayam dan air buangan terus ke longkang.

Pernah Diserbu Dua Kali, Pemilik Degil Tetap Teruskan Operasi

Menurut MPS, kilang berkenaan pernah diserbu sebanyak dua kali namun pemiliknya yang degil tetap mahu meneruskan operasi premis tersebut.

Ekoran daripada ini, MPS mengarahkan premis ditutup serta-merta selama 14 hari dalam serbuan yang dilakukan kira-kira jam tiga pagi itu.

“Pasukan mengambil beberapa tindakan penguatkuasaan dengan mengeluarkan empat kompaun berjumlah maksimum RM4,000, satu notis penutupan, sitaan dan pemotongan bekalan elektrik.

“Notis dikeluarkan mengikut Undang-Undang Kecil 3 Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian MPS 2007; UUK 27(2) Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan MPS 2007; UUK 19(1)(d) akta sama.

“MPS juga mengeluarkan notis mengikut Seksyen 70(11) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) kerana kesalahan penambahan dalaman premis dengan kompaun berjumlah RM12,500 selain diarah tutup serta-merta selama 14 hari,” kata MPS menerusi satu kenyataan.

Premis Pernah Diberikan Lesen Sementara, Namun Dibatalkan

Hasil semakan turut mendapati kilang proses ayam berkenaan pernah diberikan lesen sementara namun dibatalkan kerana tidak memenuhi syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada 8 Februari yang lalu.

Surat makluman berhubung pembatalan juga telah diserahkan pada 3 Ogos yang lalu dan premis diarahkan untuk menghentikan operasi perniagaan bagi tempoh 14 hari.

Tambah MPS lagi, pemantauan berterusan akan dilakukan bagi mengatasi operasi perniagaan haram ini. Malah, pemilik premis diingatkan untuk mematuhi peraturan dan syarat yang ditetapkan agar tindakan tegas dapat dielak.

Pemilik sebuah kilang memproses ayam tanpa lesen didapati masih berdegil dan meneruskan perniagaan seperti sedia kala…

Posted by Majlis Perbandaran Selayang on Tuesday, 29 August 2023

Baca Artikel Berkaitan:

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.