fbpx
Now Reading
Selangor Catat Kes Keganasan Rumah Tangga Tertinggi

Selangor Catat Kes Keganasan Rumah Tangga Tertinggi

Ada kes yang berpunca daripada pergaduhan kecil dan remeh seperti makanan tidak sedap, tutup pintu dengan kuat, salah letak barang dan lain-lain lagi.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Keganasan rumah tangga bukanlah isu yang asing dalam kehidupan masyarakat pada masa kini malah ia telah wujud sejak dahulu lagi.

Apabila menyebut tentang keganasan rumah tangga, lazimnya ia melibatkan penderaan fizikal, mental, seksual dan psikologi individu yang terlibat.

Kes ini bukan sahaja memberi kesan kepada mangsa, malah turut memberi impak kepada ahli keluarga yang lain terutamanya anak-anak yang masih kecil.

Selangor Ungguli Carta Kes Keganasan Rumah Tangga

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, negeri Selangor mencatatkan kes keganasan rumah tangga tertinggi diikuti Kedah, Sarawak dan Kelantan.

Manakala, kaum wanita masih kekal menjadi mangsa utama berbanding lelaki dan antara punca yang menyebabkan kes ini adalah akibat daripada masalah dadah dan masakan tidak sedap.

Menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan, sebanyak 22,003 kes keganasan rumah tangga direkodkan dari tahun 2020 hingga Jun lalu.

Daripada keseluruhan jumlah ini, rekod tertinggi dicatatkan pada tahun 2021 ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan jumlah 7,468, diikuti tahun 2020 sebanyak 5,260 kes dan 6,540 kes pada tahun 2022 serta 2,735 bagi tahun 2023.

“Selangor paling tinggi iaitu 4,515, Kedah (2,516 kes), Sarawak (2,094) dan Kelantan (1,670) de­ngan wanita terus menjadi ­mangsa utama apabila mendominasi 71% atau bersamaan 15,792 mangsa berbanding lelaki (6,211).

“Paling ramai mangsa keganasan rumah tangga yang dilaporkan melibatkan usia antara 36 hingga 45 tahun iaitu seba­nyak 6,585 kes,” katanya yang dipetik daripada Kosmo.

Antara Punca Disebabkan Dadah & Kesihatan Mental

Menurut Kamsiah, antara punca utama yang menyumbang berlakunya kes ini adalah disebabkan oleh:

  • Dadah
  • Tahap kesihatan mental yang rendah akibat masalah kewangan
  • Hilang kerja
  • Sukar bayar bil atau hutang
  • Gagal mengurus duit hingga memberi tekanan yang ketara.

“Statistik menunjukkan sebanyak 4,797 kes melibatkan perselisihan faham diikuti dadah (4,638) dan wang (2,046). Kesemua motif itu berkait rapat dengan kes kerana bila tiada wang, suami akan mula memukul isteri,” ujarnya.

Tambahnya, ada juga kes yang berpunca daripada pergaduhan kecil dan remeh seperti makanan tidak sedap, tutup pintu dengan kuat, salah letak barang di tempat sepatutnya hingga menyebabkan individu naik angin dan memukul pasangan.

Kebanyakan mangsa terdiri daripada individu yang berumur lingkungan 30 hingga 40-an kerana dalam tempoh ini, mereka perlu memikirkan tentang soal kewangan, pengurusan anak dan ada juga yang terlibat dengan dadah.

“Ketika wanita terus dijadikan ‘karung tinju’, pasangan lelaki tidak terlepas kerana ada yang dipukul hingga cedera ketika proses tuntutan cerai oleh isteri,” katanya.

Mangsa Perlu Tahu Hak

Ekoran daripada ini, Siti Kamsiah berpendapat pengetahuan mendalam terutamanya mengenai hak terhadap tubuh badan khususnya buat kaum ibu amat penting bagi mengelakkan dari menjadi mangsa dera.

“Mangsa dera hendaklah melaporkannya kepada polis dan kita akan bantu. Di peringkat awal mungkin suspek akan dikenakan denda dan diharap dia sedar perbuatannya yang sudah melampaui batas,” katanya.

Malah, beliau turut menegaskan agar semua pihak terutama keluarga terdekat, jiran tetangga serta badan bukan kerajaan bersama-sama membantu dalam membendung kes keganasan rumah tangga. Ia penting agar proses pemulihan kaunseling dapat dijalankan.

Info Berkaitan Kes Keganasan Rumah Tangga

Untuk info, sekiranya anda merupakan salah seorang mangsa atau mahu melaporkan kes keganasan rumah tangga, anda boleh melaporkan kejadian di:

  • Balai Polis berhampiran atau Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah/Jajahan yang berhampiran
  • Hubungi Talian Kasih 15999
  • Rujuk ke hospital berhampiran sekiranya dicederakan

Bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung kes ini, anda boleh layari portal Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Baca Artikel Berkaitan:

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.