fbpx
Now Reading
Ramai Pasangan Muda Tangguh Hasrat Miliki Anak, Ada Yang Percaya Pendapatan Bawah RM5,000 Tidak Cukup

Ramai Pasangan Muda Tangguh Hasrat Miliki Anak, Ada Yang Percaya Pendapatan Bawah RM5,000 Tidak Cukup

Rata-rata pasangan muda mengakui pendapatan isi rumah di bawah RM5,000 sebulan masih belum mencukupi untuk menampung kos perbelanjaan dan simpanan terutama jika memiliki anak.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Kehadiran cahaya mata adalah saat yang paling bermakna dan dinanti-nantikan oleh setiap pasangan suami isteri di dunia ini. Ini kerana anak dianggap sebagai penyeri dan penguat dalam kehidupan berumah tangga.

Oleh sebab itu, rata-rata suami isteri terutama yang masih belum dikurniakan rezeki anak sanggup melakukan apa sahaja asalkan impian untuk memiliki zuriat tercapai.

Namun, pada masa kini, kebanyakkan pasangan muda yang baru berkahwin dilihat lebih memilih untuk menangguhkan hasrat memiliki cahaya mata akibat daripada beberapa faktor antaranya seperti kewangan.

Beban Kos Sara Hidup Antara Faktor Pasangan Tangguh Hasrat Miliki Anak

Bebanan kos sara hidup dan komitmen kerja dikatakan menjadi punca yang mendorong kebanyakan pasangan muda terutama yang baru berkahwin untuk tidak memiliki zuriat.

Bagi mereka, cabaran kehidupan pada masa kini ditambah dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu menjadi panduan dalam merancang perkara yang berkaitan kehidupan berumah tangga terutama cahaya mata, lapor Kosmo.

Malah, rata-rata daripada mereka mengakui pendapatan isi rumah di bawah RM5,000 sebulan masih belum cukup untuk menampung kos perbelanjaan dan simpanan terutama jika memiliki anak.

Seorang wanita yang dikenali sebagai Amira Afiqah baru sahaja sembilan bulan mendirikan rumah tangga berkata dia dan suami telah membuat perancangan awal berkaitan zuriat.

“Saya dan suami mahu memastikan anak yang bakal dilahirkan kelak dapat dibesarkan dengan persekitaran dan didikan terbaik.

“Ada masa kami memang terfikir memang seronok kalau ada anak sekarang, tetapi semuanya tentang duit dan kami rancang untuk dapatkan anak dalam tempoh dua tahun lagi,” katanya yang dipetik daripada Kosmo.

Menurut pembantu akauntan yang berusia 25 tahun ini, dia dan pasangan yang mempunyai pendapatan isi rumah berjumlah RM4,400 membelanjakan RM2,200 sebulan bagi pelbagai komitmen seperti sewa rumah, perbelanjaan dapur, insurans, minyak dan lain-lain lagi.

“Jika ada anak, saya anggarkan kira-kira RM1,000 lagi diperlukan terutamanya untuk bayaran pengasuh, susu, lampin pakai buang dan kesihatan.

“Ini antara sebab kami merancang supaya kewangan keluarga kelak lebih terjamin,” jelasnya.

Dia berpendapat perancangan rapi adalah penting bagi mengelakkan wujudnya kes pengabaian anak-anak dan keluarga akibat daripada masalah kewangan di masa hadapan.

“Banyak juga kes buang anak, anak terabai, gaduh sebab tidak cukup duit sehingga berlakunya penceraian. Semua ini membuatkan kami lebih cenderung untuk merancang.

“Tambahan sekarang barang dan keperluan anak pun agak mahal,” katanya lagi.

Komitmen Kerja & Jauh Dari Keluarga Turut Jadi Punca

Namun, alasan untuk menangguhkan hasrat untuk miliki anak adalah berbeza buat seorang ahli perniagaan ini.

Menurut Burhan yang berusia 35 tahun, komitmen kerja dan tinggal jauh daripada isteri menyebabkan dia memilih untuk menangguhkan hasrat memiliki cahaya mata.

Ini kerana ia melibatkan emosi dan tanggungjawab yang perlu diberi perhatian sebelum bergelar ibu bapa.

“Faktor kewangan mungkin tidak menjadi masalah, tetapi saya dan isteri jarang sangat berjumpa sebab sibuk atas urusan kerja masing-masing.

“Saya menjalankan perniagaan di sebuah negeri di utara, manakala isteri pula terikat de­ngan kerjayanya di Lembah Klang. Biasanya, kami hanya berjumpa pada hujung minggu dan agak sukar untuk isteri menguruskan anak jika saya tiada di sisi.

“Atas sebab itu, kami merancang untuk tangguhkan dulu hasrat memiliki anak dalam masa terdekat sehinggalah kami dapat tinggal bersama,” katanya.

Mahu Kenali Pasangan Dengan Lebih Dekat

Bagi seorang lelaki yang dikenali sebagai Hafizi Mohd, dia dan pasangan merancang untuk memiliki anak dalam tempoh dua tahun lagi.

Ini kerana dia yang baru setahun mendirikan rumah tangga mahu mengenali diri dan pasangan masing-masing dengan lebih dekat sebelum beralih ke fasa menjadi ibu bapa.

“Pada saya, proses kenali pasangan lebih dekat itu penting supaya kita lebih memahami diri masing-masing sebelum melangkah ke fasa seterusnya iaitu memiliki anak.

“Apabila kita saling mengenali dan memahami, proses membesarkan anak akan menjadi lebih mudah dan mampu kurangkan banyak konflik,” ujarnya.

KWSP Anggar Keluarga Dengan Seorang Anak Perlu RM5,980 Di Lembah Klang

Sebelum ini, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pernah mengeluarkan Laporan Panduan Perbelanjaanku 2022/2023 pada 13 Jun yang lalu.

Berdasarkan laporan ini, anggaran belanjawan bulanan buat pasangan berkahwin yang mempunyai seorang anak adalah sebanyak RM5,980 di Lembah Klang namun sedikit rendah di bandar-bandar lain.

Foto: Belanjawanku 2022/2023

Baca Artikel Berkaitan: Hanya RM1,530 Sebulan, Alor Setar Bandar Utama di Malaysia Dengan Kos Sara Hidup Paling Rendah

Baca Artikel Berkaitan: Ini Anggaran 7 Kos Penting Perlu Ibu Ayah Ketahui Sebelum Kehadiran Anak Pertama

Baca Artikel Berkaitan: Masalah Kewangan Antara Punca Penceraian, Ini Enam Kesilapan Yang Biasa Dibuat Oleh Pasangan Muda

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.