fbpx
Now Reading
Belanjawan 2024: KPM Terima RM58.7 Bilion, Jadi Penerima Peruntukan Tertinggi

Belanjawan 2024: KPM Terima RM58.7 Bilion, Jadi Penerima Peruntukan Tertinggi

Bagi tahun 2024, KPM telah menerima dana sebanyak RM58.7 bilion berbanding RM55.2 bilion yang diterima bagi tahun 2023.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Umum mengetahui hari ini (13 Oktober), Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membuat pembentangan Belanjawan 2024 di Parlimen Malaysia.

Bertemakan ‘Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat’, sebanyak RM393.8 bilion diperuntukkan bagi pelaksanaan inisiatif dan bantuan khas untuk negara dan rakyat.

Sektor pendidikan masih menjadi keutamaan apabila Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjadi penerima peruntukan yang tertinggi berbanding sektor lain.

Terima Dana RM58.7 Bilion Bagi Tahun 2024

Bagi tahun 2024, KPM telah menerima dana sebanyak RM58.7 bilion berbanding RM55.2 bilion yang diterima bagi tahun 2023.

Daripada jumlah ini, sebanyak RM1.9 bilion diperuntukkan bagi menambah baik dan menyelenggara sekolah-sekolah di seluruh negara termasuk RM930 juta peruntukan bagi tujuan kerja-kerja naik taraf bangunan yang daif di Sabah dan Sarawak.

Malah, jumlah ini juga turut melibatkan penyelenggaran di semua jenis sekolah melibatkan peruntukan sebanyak RM1 bilion.

Keseluruhan bajet tersebut juga melibatkan peruntukan sebanyak RM2.5 bilion bagi 26 buah sekolah baharu yang bakal dibina pada tahun hadapan.

Insentif Bantuan Pelajaran Diperluaskan

Melalui belanjawan 2024 juga, bantuan khususnya buat pelajar daripada keluarga miskin turut diperuntukkan melalui bajet pada kali ini.

Antara inisiatif yang akan dilaksanakan khusus buat golongan ini adalah:

  • Kriteria pendapatan ibu bapa bagi Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP) diselaraskan mengikut kadar pendapatan garis kemiskinan (PGK) iaitu RM2,589 berbanding RM1,500
  • Bantuan di bawah Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin turut diperluaskan sehingga pelajar Tingkatan 3. Inisiatif ini bakal memanfaatkan 1 juta murid dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM150 juta.
Foto: RTM

Galakkan Penyertaan Pelajar Dalam Bidang STEM

Penyertaan pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menunjukkan kadar yang membimbangkan.

Bagi menggalakkan lagi penyertaan mereka dalam bidang ini, satu Jawatankuasa Khas STEM akan ditubuhkan bagi memastikan sasaran bilangan pelajar yang menertai bidang ini dapat dicapai.

Foto: RTM

Pada masa yang sama, sebanyak RM100 juta diperuntukkan bagi menambah baik makmal komputer serta membeli peralatan baharu bagi pembelajaran bidang STEM.

Lindungi Pelajar Khas Serta Bantuan Khusus Buat Murid Tercicir

Tidak mengenepikan keperluan golongan pelajar khas, kerajaan dalam belanjawan 2024 juga turut menyediakan peruntukan khusus bagi golongan ini.

Peruntukan RM180 juta akan digunakan bagi pembinaan 18 blok baharu pendidikan khas serta RM30 juta bagi bekalan peralatan sokongan pendidikan serta penyediaan kemudahan mesra OKU.

Selain itu, prihatin dengan nasib murid yang tercicir dan memerlukan bimbingan, sebanyak RM100 juta diperuntukkan bagi membantu murid yang terkesan.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.