fbpx
Now Reading
Kerajaan Tamatkan Subsidi & Kawalan Harga Ayam Bermula 1 November – Mat Sabu

Kerajaan Tamatkan Subsidi & Kawalan Harga Ayam Bermula 1 November – Mat Sabu

Walau bagaimanapun, menurut Mat Sabu, subsidi dan kawalan harga bagi telur ayam gred A, B dan C diteruskan mengikut mekanisma sedia ada.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sebut sahaja tentang subsidi, semua orang tahu ia merupakan satu bentuk bantuan kerajaan khusus buat rakyat Malaysia yang memerlukan.

Namun sejak kebelakangan ini, isu pemberian subsidi hangat diperkatakan dalam kalangan masyarakat.

Ini kerana subsidi yang sepatutnya memanfaatkan golongan yang memerlukan turut dinikmati oleh semua individu tanpa mengira status dan pendapatan.

Bagi mengatasi isu tersebut, kerajaan sebelum ini telah mengumumkan akan menyelaraskan semula pemberian subsidi secara bersasar kepada golongan yang layak.

Baca Artikel Berkaitan: “Subsidi Bantuan Untuk Orang Susah, Bukan Untuk Orang Kaya” – Anwar Ibrahim

Subsidi Ayam Tamat 1 November, Subsidi & Kawalan Harga Telur Ayam Masih Diteruskan

Terbaharu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu yang juga dikenali sebagai Mat Sabu mengumumkan subsidi dan kawalan harga ayam bakal ditamatkan sepenuhnya bermula Rabu ini (1 November).

Walau bagaimanapun, subsidi dan kawalan harga bagi telur ayam gred A, B dan C diteruskan mengikut mekanisma sedia ada.

“Rasional penamatan subsidi secara pukal bagi ayam adalah untuk mengurangkan ketirisan subsidi di mana pada ketika ini yang turut dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.

“Penamatan harga kawalan ayam juga menyokong kemampanan industri pengeluaran ayam tempatan,” katanya yang dipetik daripada Sinar Harian.

Tambah beliau, sejak Februari 2022, kerajaan menanggung RM3.8 bilion khusus untuk subsidi telur dan ayam dengan RM100 juta merupakan subsidi khas ayam.

Penamatan Subsidi Bantu Tingkatkan Sosio-Ekonomi & Kebajikan Rakyat

Ujar beliau lagi, langkah ini mampu membantu kerajaan meningkatkan pelbagai inisiatif sosio-ekonomi dan kebajikan kepada rakyat termasuk bantuan tunai.

“Penamatan subsidi ayam ini mengambil kira situasi dan trend semasa bekalan serta harga ladang dan kos pengeluaran ayam telah mula stabil, yang menyumbang kepada harga pasaran semasa kini berada di bawah harga siling,” kata beliau.

Beri Jaminan Harga Ayam Dijual Pada Kadar Berpatutan & Di Bawah Harga Siling

Mohamad Sabu turut memberi jaminan bahawa kerajaan akan memastikan harga jualan bagi ayam yang diapungkan berada pada kadar yang munasabah.

Malah, akses kepada bekalan ayam akan diperluaskan melalui Jualan Agro Madani dan Jualan Rahmah secara berterusan di seluruh negara bagi memberikan pilihan kepada rakyat.

“Saya memberi jaminan kepada rakyat untuk mendapatkan bekalan ayam pada harga yang berpatutan dan di bawah harga siling semasa.

“Melalui sesi libat urus bersama pemain industri pada 22 Oktober, kerajaan telah mendapatkan komitmen daripada pihak industri supaya harga ayam di ladang yang dikeluarkan tidak mencatatkan kenaikan yang ketara sehingga membebankan pengguna,” ujar beliau lagi.

Tambah Mohamad Sabu, sebagai langkah intervensi, kerajaan akan mengambil tindakan melalui penguatkuasaan harga dan pencatutan bagi memastikan harga tidak membebankan rakyat.

“Biasanya (ketika) Jualan Rahmah, harga barang keperluan utama akan turun 10 hingga 30% (daripada) harga pasaran dan akan bantu ringankan bebankan pengguna.

“Harga selalu naik mendadak sebab bekalan tak cukup, tapi kalau tak cukup kita sedia bekalan di luar, tapi saya yakin bekalan akan cukup sekarang dan masa akan datang.

“Kalau beli ikut kegunaan biasa pasti akan cukup, jangan buat pembelian panik atau beli untuk stok mesti bekalan tidak cukup,” ujarnya.

Pastikan Bekalan Ayam Mencukupi

Ujar beliau, kerajaan bersedia mendapatkan bekalan tambahan dari sumber luar jika terdapat kekurangan bekalan yang boleh menyebabkan harga jualan meningkat.

Malah, kerajaan akan sentiasa bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan status bekalan dan harga ayam di ladang berada dalam keadaan stabil, tidak membebankan rakyat serta tidak berlaku sebarang aktiviti pencatutan di sepanjang rantaian bekalan.

“Justeru penumpuan untuk memperkasa industri penternakan ayam melalui bantuan insentif dari segi pembiayaan dana pusingan kepada penternak bersaiz kecil dan sederhana serta skim mikro kredit sebagai bantuan modal pusingan kepada penternak komuniti dan program transformasi reban ayam terbuka kepada reban ayam tertutup.

“Langkah ini akan memberi peningkatan dari segi akses bekalan secara terus daripada penternak komuniti kepada pemborong pemborong di pasaran,” kata beliau.

Baca Artikel Berkaitan: Ada Peniaga Di Melaka Naikkan Harga Ayam Sebanyak RM0.70

Baca Artikel Berkaitan: Pemansuhan Subsidi Tidak Akan Dilaksanakan Secara Serentak

Baca Artikel Berkaitan: Malaysia Tersilap Langkah Dalam Pemberian Subsidi – Ahmad Maslan

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.