fbpx
Now Reading
Poligami Bukan Penyelesaian Masalah Wanita Kahwin Lambat – Pakar Kaunseling

Poligami Bukan Penyelesaian Masalah Wanita Kahwin Lambat – Pakar Kaunseling

Menurut Hushim Salleh, poligami sememangnya dibolehkan dalam Islam jika golongan suami boleh berlaku adil namun itulah yang sering menjadi isu.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sejak beberapa hari yang lalu, isu poligami hangat diperkatakan hingga kini. Ia susulan kenyataan Ahli Parlimen Kubang Kerian Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang mencadangkan agar kerajaan memberi sokongan moral kepada lelaki untuk berpoligami bagi menyelesaikan masalah wanita yang lambat berkahwin.

Beliau menyuarakan cadangan itu selepas bimbang melihat bilangan 8.4 juta wanita yang belum berkahwin.

Kenyataan beliau nyata mengundang pelbagai reaksi terutamanya dari kaum Hawa. Ini kerana buat segelintir wanita, poligami bukanlah satu perkara yang mudah untuk diterima.

Bukan Penyelesaian Utama, 95% Wanita Tidak Setuju Untuk Poligami

Menurut Pakar Kaunseling Keluarga Hushim Salleh, poligami bukanlah penyelesaian utama buat golongan wanita yang lambat berkahwin.

Ini kerana amalan beristeri lebih daripada satu boleh mengundang stres kepada pihak terlibat termasuk isteri pertama.

“Saya tidak menentang po­ligami, tetapi sebagai kaunselor sejak tahun 1980, saya mendapati 95% wanita tidak bersetuju dengan poligami.

“Ini disebabkan pengalaman mereka yang menghadapi pen­deritaan emosi, mental dan fizikal yang agak dahsyat. Banyak kes yang diterima mendapati isteri pertama menderita.

“Jadi kalau rasa hendak kahwin lebih daripada seorang, lebih baik fikir 100 kali dahulu kerana selepas itu (berpoligami) memang stres,” katanya yang dipetik daripada Kosmo.

Suami Perlu Berlaku Adil & Benar-Benar Layak Jika Amal Poligami

Tambah Hushim, poligami sememangnya dibolehkan dalam Islam jika golongan suami boleh berlaku adil.

“Tetapi adil itulah yang selalunya menjadi isu,” katanya.

Malah, bagi mengelakkan isteri pertama dan kedua teraniaya, lelaki perlu memastikan dia betul-betul layak dalam semua aspek jika mahu berpoligami.

“Tidak ramai lelaki masa kini yang berkemampuan untuk berlaku adil terutama aspek kewa­ngan,” ujarnya lagi.

Hushim turut menyarankan kaedah lain dalam menyelesaikan masalah golongan individu yang berkahwin lambat antaranya seperti penganjuran program temu jodoh.

Pakar Psikologi Juga Tidak Setuju Cadangan Poligami Sebagai Penyelesaian Kahwin Lambat

Dalam pada itu, Pakar Psikologi Kaunseling Universiti Malaya Prof. Madya Dr. Rafidah Aga Mohd. Jaladin juga tidak bersetuju dengan cadangan poligami sebagai penyelesaian buat wanita yang lambat berkahwin.

Bagi beliau, ia bukan penyelesaian utama jika langkah itu mengundang kacau bilau dan kemudaratan kepada pihak terbabit.

“Perlu perspektif kedua-dua belah pihak sama ada wanita yang dikategorikan sebagai ‘bujang senja’ dalam perkara ini mahupun lelaki yang dikatakan mampu dan adil.

“Mulut cakap mampu (adil), tetapi secara holistik mungkin banyak perkara tidak dapat penuhi,” katanya.

Tambah beliau, perkahwinan merupakan institusi kekeluargaan dan komuniti. Ia bukan hanya melibatkan kehidupan dua individu semata-mata.

“Kena ingat terdapat perbezaan antara keperluan dan kemahuan. Apakah yang mahu poligami itu kerana keperluan atau kemahuan.

“Ada individu lebih selesa tidak berkahwin atau berkahwin lambat kerana ada perkara mahu diselesaikan terlebih dahulu,” ujar beliau lagi.

Terdahulu, Ahli Parlimen Kubang Kerian dari parti PAS itu mencadangkan poligami sebagai jalan penyelesaian kepada masalah wanita yang lambat kahwin.

Beliau membentangkan cadangan itu ketika perbahasan peruntukan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Dewan Rakyat pada 22 November yang lalu.

Cadangannya itu nyata mengundang pelbagai reaksi dari kaum wanita. Ada yang menyifatkan cadangan beliau itu dianggap tidak sensitif dan berpendapat wanita yang lambat berkahwin mempunyai sebab mereka tersendiri.

Baca Artikel Berkaitan:

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.