fbpx
Now Reading
“Saya Minta Maaf Atas Khilaf” – Wanita Kemboja Mengaku Salah Gelar Melayu Pemalas [Video]

“Saya Minta Maaf Atas Khilaf” – Wanita Kemboja Mengaku Salah Gelar Melayu Pemalas [Video]

Dalam sidang media berkenaan, anak lelaki Mariyah Yaakob turut membuat permohonan maaf dan mengakui kesilapannya dalam membuat video yang ditujukan kepada bekas staf syarikat mereka.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Isu usahawan wanita Kemboja Mariyah Yaakob yang menggelarkan bangsa Melayu sebagai ‘pemalas’ masih lagi hangat diperkatakan sehingga kini.

Ia dilihat menjadi semakin serius susulan video tular seorang lelaki yang didakwa anak lelaki wanita berkenaan mencabar warganet untuk bersemuka dengannya.

Namun, lelaki yang dikenali sebagai Ezuan itu menolak dakwaan yang dia mencabar warganet. Sebaliknya, dia mendakwa video tersebut telah disunting dan ditujukan buat bekas pekerja ibunya.

Walau bagaimanapun, dua beranak ini masih lagi menjadi topik perbualan hangat di media sosial susulan tular video bekas pekerja yang datang ke premis milik mereka bagi tujuan berbincang namun tidak dibenarkan masuk.

Baca Artikel Berkaitan: Bekas Staf Sahut Cabaran Anak Mak Cik Kemboja, Datang Jumpa Tapi Pagar Dikunci & Tidak Dibenarkan Masuk [Video]

Makcik Kemboja & Anak Lelaki Adakan Sidang Media, Mohon Maaf Secara Terbuka

Terbaharu, Makcik Kemboja tampil memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia dan bangsa Melayu berikutan tindakannya yang menggelar bangsa Melayu sebagai pemalas.

Dia berkata demikian dalam satu sidang media yang diadakan di kilangnya yang terletak di Skudai, Johor pada hari ini (27 November).

“Saya minta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia dan bangsa Melayu termasuk warga Kemboja yang terguris dengan kata-kata saya,” katanya.

Mariyah yang turut dikenali sebagai Makcik Kemboja mengakui khilafnya dan keterlanjuran kata-katanya tempoh hari yang mengguris perasaan rakyat Malaysia.

“Kepada seluruh rakyat Malaysia dan warga Johor, tujuan sidang media ini diadakan sebagai permohonan maaf secara terbuka bagi pihak saya Mariyah Yaakob, dan pihak syarikat.

“Saya nak minta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia dan bangsa Melayu termasuk warga Kemboja yang terguris dengan kata-kata saya. Saya nak minta maaf atas khilaf dan keterlanjuran kata-kata,” katanya lagi.

Dakwa Video Untuk Suntik Semangat & Sebagai Motivasi

Tambah Mariyah, dia tiada niat untuk menghina mana-mana individu dalam video berkenaan. Namun, video tersebut diterbitkan bagi tujuan motivasi dan suntikan semangat.

“Sejujurnya jauh di sudut hati saya tak ada sedikit pun mahu menghina mana-mana bangsa sebaliknya 100% untuk motivasi.

“Pada saya, kita semua ada khilaf, hari ini saya, kita tidak tahu bila khilaf orang lain. Saya mengaku dan belajar apa yang berlaku hari ini adalah satu ilmu yang berharga, untuk lebih matang dan berhati-hati.

“Apapun video tular di media sosial ini pada saya, bekas pekerja pun tahu itu adalah sekadar ‘content’ cuma ‘bangsa’ itu mungkin kekhilafan saya. Kalau lihat sampai habis video itu, saya cakap jangan marah, gurau,” ujarnya.

Minta Pihak Yang Terkesan Dengan Bayaran KWSP & PERKESO Lapor kepada JTK

Pada masa yang sama, ketika ditanya mengenai dakwaan kegagalan membuat pembayaran caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dia meminta pihak berkenaan untuk melaporkan perkara itu kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

“Saya rasa tidak perlu jawab soalan itu kerana ada pihak pengurusan dan sumber manusia yang uruskan KWSP dan Perkeso. Dan kalau benar syarikat tidak bayar, mereka boleh tuju kepada JTK,” jelasnya.

Anak Lelaki Turut Membuat Permohonan Maaf

Anak lelaki usahawan wanita yang dikenali sebagai Ezuan Hafsham Mohd Hisyam turut hadir ke sidang media tersebut.

Dia turut membuat permohonan maaf dan mengakui kesilapannya dalam membuat video yang ditujukan kepada bekas staf syarikat mereka.

“Saya dengan rendah hati dan terbuka hati memohon ampun maaf kepada semua seluruh rakyat Malaysia, khususnya bangsa Melayu.

“Saya akui kesilapan saya dan akan bertindak lebih matang selepas ini. Harap kita boleh hentikan perkara ini,” katanya.

Nafi Syarikat Sebagai Scammer

Dalam pada itu, wakil syarikat Nor Ashiqin Jamaludin menafikan tuduhan syarikat berkenaan yang didakwa melakukan penipuan dalam urusan jualan baju.

Menurutnya, urusan dibuat berdasarkan syarat dan terma yang telah ditetapkan serta atas persetujuan kedua-dua belah pihak.

“Kami bukan scammer, ini adalah fitnah. Kami menjual pakaian dan mereka (peniaga) membeli, kami berikan pakaian kepada peniaga dan mendapat bayaran sewajarnya. Jika pakaian yang kami jual ada kerosakan, itu ada dalam terma dan syarat boleh dipulangkan dan kami baiki.

“Jika peniaga hendak pulangkan atas sebab pakaian itu tidak terjual, tidak boleh seperti dalam terma dan syarat yang dipersetujui. Sebagai pembekal pakaian, kami telah membuat perkara sewajarnya dengan promosi reka bentuk baju tersebut.

“Atas usaha peniaga sendiri untuk menjual produk dibeli mereka. Jika kami scammer, kami tiada kilang untuk dituju oleh peniaga sekiranya terdapat masalah, malah pakaian juga tidak akan diberikan,” katanya.

Peguam Mohon Henti Sebar Video Atau Hantaran Berkaitan

Memetik Berita Harian, peguam syarikat yang dikenali sebagai Sharifuddin Liwan berkata pihaknya sedang dalam perbincangan untuk mengambil tindakan ke atas pihak yang menyebarkan maklumat palsu berhubung isu tersebut.

Namun, dia berharap agar isu berkenaan dapat diselesaikan dengan cara baik.

“Saya juga percaya permohonan maaf ini dibuat dengan ikhlas kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu yang terguris hati dengan apa yang berlaku. Saya berharap dengan permohonan maaf ini, ia akan menoktahkan segala isu dan kontroversi yang berlaku.

“Saya harapkan netizen supaya menghentikan (sebar) segala video atau memuat naik video atau hantaran di media sosial kerana jika ia masih lagi berlaku, mereka akan terdedah kepada tindakan undang-undang.

“Kami masih berbincang tindakan yang akan diambil terhadap mereka yang berkenaan,” katanya.

Baca Artikel Berkaitan: Usahawan Wanita Asal Kemboja Gelar Melayu Pemalas Buat Netizen Berang, Ada Yang Mahu Boikot [Video]

Baca Artikel Berkaitan: ‘Yang Kau Hina Tu Mak Aku Si*l!’ – Lelaki Mengaku Anak Makcik Kemboja Berang Netizen Kutuk Ibunya [Video]

Baca Artikel Berkaitan: “Video Saya Disunting” – Anak Makcik Kemboja Nafi Marah Netizen, Dakwa Video Dituju Pada Bekas Staf

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.