fbpx
Now Reading
Tiada Persefahaman, Curang & Campur Tangan Keluarga Antara Punca Utama Penceraian – LPPKN

Tiada Persefahaman, Curang & Campur Tangan Keluarga Antara Punca Utama Penceraian – LPPKN

Menurut Pengerusi LPPKN, hasil kajian menunjukkan 56.2% golongan lelaki menyatakan bercerai akibat tiada persefahaman manakala wanita 38%.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Setiap pasangan yang berkahwin pastinya mahu hubungan yang dibina kekal bahagia hingga akhir hayat.

Namun, sebagai manusia, sudah pastinya akan diuji dengan pelbagai ujian dalam melayari bahtera rumah tangga.

Ia bergantung kepada individu itu sendiri sama ada mampu bertahan atau tidak dalam menghadapi ujian tersebut.

Kegagalan menangani dan menghadapi ujian itu boleh menyebabkan rumah tangga yang dibina musnah dalam sekelip mata.

Tiada Persefahaman, Curang & Campur Tangan Mentua Punca Penceraian

Terbaharu, Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Datuk Seri Rohani Abdul Karim mendedahkan bahawa antara punca utama penceraian dalam kalangan pasangan berusia 35 hingga 39 tahun di Malaysia adalah disebabkan oleh tiada persefahaman, curang dan campur tangan mentua.

Menurut beliau, berdasarkan hasil dapatan kajian, 56.2% golongan lelaki menyatakan penceraian mereka berpunca akibat tiada persefahaman.

Manakala 11.8% bercerai disebabkan faktor pasangan curang dan campur tangan mentua atau ipar duai turut menyumbang sebanyak 10%.

“Bagi dapatan daripada golongan wanita pula, tiada persefahaman turut mencatat peratusan tertinggi sebagai punca mereka bercerai, iaitu 38%, diikuti faktor pasangan curang (20.5%) dan pasangan tidak bertanggungjawab (15.2%).

“Selain itu, campur tangan mentua (6%), enggan dimadukan (2.8%), masalah kewangan (4.7%), dan lain-lain punca seperti didera, tiada zuriat serta terbabit kes jenayah (10.4%),” kata beliau sempena Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan semalam (28 November).

Pasangan Muda Golongan Yang Menghadapi Konflik Rumah Tangga

Tambah Rohani, pasangan muda yang tempoh perkahwinannya antara lima hingga 10 tahun kebanyakannya berdepan dengan konflik rumah tangga.

Namun beliau menjelaskan, pasangan yang menghadapi konflik ini akan dibantu melalui sesi kaunseling mengikut kesesuaian konflik yang dihadapi oleh mereka.

“Pastinya, pihak kami akan membantu dan memberikan kaunseling terlebih dulu dengan menasihati pasangan terbabit mengikut kesesuaian masalah yang mereka hadapi.

“Memang hasrat kita ialah memastikan pasangan itu mengembalikan kasih sayang bagi mengelak mereka memilih jalan terakhir, iaitu bercerai atau berpisah,” ujarnya.

Untuk info, pada 23 November yang lalu, Jabatan Perangkaan Malaysia mendedahkan berlaku peningkatan jumlah penceraian meningkat sebanyak 43.1% iaitu 62,890 pada tahun 2022 berbanding 43,936 pada tahun 2021.

Kedah mencatatkan peratusan tertinggi iaitu 113.6% diikuti dengan Sabah (94.5%) dan Perlis sebanyak 83.5%.

Baca Artikel Berkaitan: Kedah & Sabah Catat Jumlah Pasangan Bercerai Paling Tinggi Dalam Malaysia

Baca Artikel Berkaitan: “Jangan Cerai Kerana Isu Remeh” – Menteri Agama Nasihat Kepada Pasangan Suami Isteri

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.