fbpx
Now Reading
“Adik Memang Suka Bantu Orang Lain” – Pemuda Meninggal Dunia Lepas Bantu Pengantin Baharu Maut Kemalangan

“Adik Memang Suka Bantu Orang Lain” – Pemuda Meninggal Dunia Lepas Bantu Pengantin Baharu Maut Kemalangan

Mohd Azizi sebelum ini dilaporkan cedera parah di kepala selepas cuba menyelamatkan mangsa kemalangan yang pada mulanya hanya melibatkan dua kenderaan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Hari ini (19 Disember), kami ada melaporkan berita mengenai tragedi menyayat hati melibatkan pasangan pengantin yang baharu sahaja melangsungkan perkahwinan sehari sebelum insiden itu.

Dalam kemalangan ngeri yang berlaku di Batu 3, Jalan Bernam, Tanjong Karang pada Ahad (16 Disember), pengantin lelaki Norsyam Nasullah Rahim meninggal dunia manakala isterinya pula cedera di bahagian dagu dan patah kaki kiri.

Kemalangan yang melibatkan Perodua Bezza, Honda City dan Nissan Almera itu turut membabitkan enam mangsa lain yang cedera dan seorang lagi parah iaitu individu yang dikenali sebagai Mohd Azizi Faez Mohamad Alias akibat dilanggar oleh pemandu Nissan Almera.

Baca Artikel Berkaitan: Baru Sehari Berkahwin, Pengantin Lelaki Maut Terlibat Kemalangan

Meninggal Dunia Selepas Dua Hari Dirawat Di Hospital

Terbaharu, abang Mohd Azizi yang dikenali sebagai Mohd Azlan Mohamad Alias memaklumkan adiknya telah menghembuskan nafas terakhir selepas dua hari kritikal dan menerima rawatan di Hospital Tanjung Karang.

Mohd Azizi mengalami cedera parah di kepala selepas cuba menyelamatkan mangsa kemalangan yang pada mulanya hanya melibatkan dua kenderaan.

Namun, ketika cuba membantu untuk mengeluarkan mangsa, dia dirempuh oleh sebuah kereta Nissan Almera dari arah bertentangan.

“Selepas buat pemeriksaan, keputusan imbasan CT menunjukkan bahagian tengkorak belakang kepala adik saya sudah pecah. Tulang hidungnya juga patah dan otaknya sekarang sudah membengkak,” kata Azlan.

Abang Anggap Adik Sebagai Wira Tak Didendang

Tambah Azlan, adiknya yang merupakan anak ketiga dari empat orang adik-beradik itu dikenali dengan sikapnya yang gemar membantu orang.

Malah, dia menganggap adiknya sebagai wira tak didendang kerana media lebih menumpukan mangsa yang maut iaitu pasangan pengantin baharu.

“Adik saya ni memang sifat dia suka bantu orang lain. Kalau dalam kesusahan pun, dia akan utamakan untuk bantu orang susah dulu.

“Saya cuma terkilan apabila tindakan adik saya cuba selamatkan mangsa tidak diwar-warkan dalam mana-mana berita. Saya cuma nak minta jasa baik untuk beritahu yang dia cuba bantu mangsa.

“Sebab tu dalam dashcam (kamera papan pemuka), saya boleh nampak dia tanpa ragu-ragu terus cuba bantu mangsa, tapi siapa sangka, dia pula jadi mangsa kemalangan,” jelasnya.

Foto: FB Azizi Faez

Mohon Doa Orang Ramai, Minta Video Kemalangan Dipadam

Tambah Azlan lagi, dia memohon orang ramai mendoakan adiknya dan urusan pengebumian berjalan dengan lancar.

Dia juga meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai rakaman video kemalangan tersebut untuk memadam atau menurunkan kandungan berkenaan.

“Saya minta jasa baik mana-mana individu yang muat naik video adik saya dirempuh sewaktu kemalangan itu untuk padam atau turunkan semula. Dalam video itu ada adik saya terbaring atas jalan.

“Saya cuba hubungi individu yang muat naik video berkenaan tapi masih belum ada respons. Ini merupakan arahan daripada pegawai polis sendiri,” katanya lagi.

Untuk info, Azizi mengalami cedera parah di kepala selepas cuba membantu mangsa kemalangan itu.

Ketika kejadian, dia dan isterinya sedang dalam perjalanan pulang ke Shah Alam dan menyaksikan kemalangan yang membabitkan Perodua Bezza dan Honda City.

Namun, insiden menyayat hati melibatkan pemuda itu hanya disedari oleh isteri mangsa selepas cermin sisi kereta mereka dilanggar oleh Nissan Almera.

Solat jenazah akan diadakan di Masjid Batu 3, Jalan Bangi, Kajang, Selangor dan akan dikebumikan pada malam ini (19 Disember).

Salam semua.. Niatnya ikhlas nak bantu mangsa kemalangan, tapi Allah lebih sayangkan Azizi Faez Mohon doakan…

Posted by Takara Sakana on Tuesday, 19 December 2023

Baca Artikel Berkaitan:

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.