fbpx
Now Reading
Wanita Maut Ditetak, Suspek Terjun Jambatan Pulau Pinang Sebelum Ditahan Polis

Wanita Maut Ditetak, Suspek Terjun Jambatan Pulau Pinang Sebelum Ditahan Polis

Menurut PDRM, suspek sebelum ditahan telah bertindak terjun dari Jambatan Pulau Pinang namun berjaya diselamatkan oleh nelayan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Baru-baru ini, tular satu video di media sosial memaparkan seorang wanita yang ditetak oleh seorang lelaki di sebuah lorong.

Menerusi video tersebut, kelihatan lelaki berkenaan datang dari arah belakang dan kemudian menetak mangsa menggunakan satu objek dari arah belakang sehingga dia terjatuh di atas jalan.

Sebaik menetak mangsa, pelaku segera beredar dari kawasan tersebut.

Wanita ditetak dari arah belakang maut

Susulan daripada kejadian yang berlaku, mangsa telah dilaporkan maut.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner, Mohd Asri Shafie memaklumkan pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian sekitar jam 11.10 pagi, pada 19 Disember.

Ujarnya suspek telah bertindak menetak mangsa yang berusia dalam lingkungan 42 tahun di bahagian belakang leher dengan menggunakan senjata sebilah parang di kawasan Jalan Raja Uda, Butterworth, Pulau Pinang.

“Mangsa telah dibawa ke Hospital Seberang Jaya dan disahkan meninggal dunia pada 19 Disember jam 11.58 pagi.

“Pegawai penyiasat kes bersama sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD SPU telah hadir ke lokasi mayat dijumpai.

“Turut hadir pasukan forensik JSJ IPK Pulau Pinang bagi membantu siasatan di lokasi kejadian,” katanya.

Terdapat rakaman CCTV dan saksi kejadian, ada kesan tetakan di leher dan bahu kiri

Menurutnya lagi terdapat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berdekatan yang merakam insiden itu selain terdapat juga saksi yang melihat insiden berkenaan.

Ujarnya terdapat kesan tetakan pada bahagian leher serta bahu kiri mangsa dan mayat kemudian telah dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Seberang Jaya Pulau Pinang untuk dibedah siasat.

Suspek ditahan selepas terjun Jambatan Pulau Pinang, diselamatkan orang awam

Pihak polis dari bahagian D9 IPK Pulau Pinang kemudiannya telah berjaya menahan suspek yang berusia 29 tahun namun dia kini menerima rawatan di hospital berdekatan.

“Selepas kejadian tersebut suspek cuba terjun dari Jambatan Pulau Pinang namun berjaya diselamatkan oleh orang awam.

“Kes diklasifikasikan sebagai Seksyen 302 Kanun Keseksaan.”

Memetik laporan Harian Metro, suspek sebelum ini dilaporkan telah melarikan diri dengan menaiki motosikal apabila orang awam yang berada di kawasan terbabit mengejarnya.

Lelaki itu lalu meletakkan kenderaan motosikalnya di bahu jalan di jambatan berkenaan sebelum terjun.

Suspek bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh nelayan namun cuba untuk terjun sekali lagi dari bot yang ketika itu sedang menuju ke Jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban, tetapi berjaya dihalang.

Menurut laporan Utusan Malaysia, mangsa yang maut dipercayai teman wanita kepada suspek.

Mohd Asri dalam masa sama menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung insiden tersebut untuk tampil menghubungi Pegawai Penyiasat kes ASP Nasrina Darus di talian 04 576 2275 atau mana-mana balai polis berdekatan untuk membantu siasatan.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.