fbpx

Pelaksanaaan Zon Bebas Kenderaan: 2 Wakil Rakyat Melaka Bantah Penutupan Jalan 54 Jam

Selain peniaga, terdapat segelintir pelancong turut meluahkan rasa kecewa ekoran penutupan jalan utama selama 54 jam di negeri tersebut sempena pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Melaka merupakan antara negeri yang sering menjadi destinasi pelancongan baik pengunjung dalam ataupun luar negeri.

Boleh dikatakan, hampir setiap hujung minggu, negeri yang terkenal dengan gelaran ‘Bandaraya Bersejarah’ itu menerima bilangan pelancong yang tinggi berbanding hari biasa.

Malah, kerajaan negeri pada masa ini sedang melaksanakan Zon Bebas Kenderaan (Car Free Zone) pada hujung minggu bermula 22 Disember.

Penutupan tersebut, yang bertujuan memastikan keselesaan pengunjung, berlanjutan selama 54 jam bermula dari jam 6.00 petang Jumaat hingga 12.00 malam Ahad.

Wakil Rakyat Anggap Inisiatif Gagal & Hanya Beri Kesan Buruk

Walau bagaimanapun, dua orang wakil rakyat dari Parti Tindakan Demokratik (DAP) di Melaka iaitu ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee dan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong membantah penutupan jalan selama 54 jam itu.

Menurut Chee Yee, inisiatif tersebut dianggap gagal dan memberikan kesan yang buruk berbanding kesan baik yang dihasratkan oleh kerajaan negeri.

Malah, ketika pengumuman pelaksaan Zon Bebas Kenderaan itu dibuat pada Mei lalu, dia tidak bersetuju atas sebab ketidaksediaan kawasan yang terlibat khususnya dari segi pengangkutan awam dan parkir kenderaan.

Tambahnya lagi, jalan yang ditutup pula merupakan jalan utama yang diguna oleh rakyat Melaka.

“Sepanjang tempoh percubaan yang bermula sejak Ogos di mana Poay Tiong dan ADUN Bandar Hilir, Leng Chau Yen dilibatkan dalam sesi-sesi dialog, beberapa kerisauan telah dibangkitkan seperti kesesakan jalan, laluan kecemasan ke hospital dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, kesan kepada perniagaan kecil serta kekeliruan pelancong yang memandu dalam kawasan tersebut.

“Dalam beberapa pentadbiran kerajaan negeri yang lalu, cadangan sedemikian pernah dibangkitkan termasuk pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada 2018 di mana saya salah seorang Exco.

“Walaupun secara dasarnya, kerajaan negeri patut berusaha ke arah itu seperti mana yang dilaksanakan dalam beberapa negara pelancongan yang lain, namun ia tertakluk kepada cara pelaksanaan dan perlu melihat kepada keadaan semasa lokasi tersebut, seperti sistem pengangkutan awam dan kawasan letak kenderaan.

“Ini adalah sebab kenapa inisiatif Zon Bebas Kenderaan tidak dilaksanakan pada zaman pentadbiran PH di Melaka, kerana ada aspek lain yang perlu ditambah baik dahulu sebelum boleh dilaksanakan dengan berkesan,” katanya yang dipetik dari Utusan Malaysia.

Boleh Beri Kesan Kepada Industri Pelancongan Melaka

Dalam pada itu, menurut Poay Tiong, kerajaan negeri yang melaksanakan perancangan itu secara tiba-tiba ketika waktu puncak menyebabkan para peniaga tidak bersedia.

Malah, ia bukan sahaja merugikan peniaga dan tidak memberi faedah kepada industri pelancongan negeri itu tetapi boleh menyebabkan pelancong enggan melawat Melaka.

“Para peniaga telah secara sukarela memulakan petisyen, berharap kerajaan negeri membatalkan rancangan Zon Bebas Kenderaan, ia menunjukkan kesan yang sangat serius terhadap mereka.

“Selain itu, kawasan pusat bandar Melaka tidak ditambah jalan baharu dalam tempoh sepuluh tahun yang lalu, tetapi bilangan kenderaan dałam negeri terus meningkat. Rancangan itu turut dilaksanakan di pusat bandar, ia hanya akan memburukkan lagi kesesakan lalu lintas,” katanya. 

Terdahulu, selain peniaga, terdapat segelintir pelancong yang turut meluahkan rasa kecewa ekoran penutupan jalan utama di negeri tersebut yang menyukarkan pergerakan mereka.

Walau bagaimanapun, menurut Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, penutupan jalan itu masih lagi dalam tempoh percubaan dan kajian sebagai persediaan menghadapi Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

MAKLUMAN ! *PELANJUTAN MASA TEMPOH PERCUBAAN PELAKSANAAN ZON BEBAS KENDERAAN BANDA HILIR* Sempena Pelaksanaan Zon…

Posted by Jabatan Penguatkuasaan MBMB on Wednesday, 20 December 2023

Baca Artikel Berkaitan:

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.