fbpx
Now Reading
Agong Dedah Tak Pernah Ambil Gaji Sepanjang Lima Tahun

Agong Dedah Tak Pernah Ambil Gaji Sepanjang Lima Tahun

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengakui lalui detik sukar ketika dilantik menjadi Agong kerana tidak mempunyai pengalaman namun belajar perlahan-lahan dan banyak bertanya, serta membaca.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Umum mengetahui hari ini merupakan hari Keberangkatan Pulang Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke negeri Pahang selepas lima tahun menjadi Agong.

Tidak dinafikan ramai yang mula berasa sebak dan sedih khususnya bagi pihak yang telah berkhidmat bersama Seri Paduka baginda sepanjang pemerintahannya.

Malah menggalas tanggungjawab sebagai Agong sepanjang lima tahun ini juga dilihat bukan suatu perkara yang mudah kerana perlu menjaga keamanan negara agar semua rakyat jelata dapat hidup dalam suasana yang baik dan harmoni.

Agong dedah tak pernah ambil gaji sepanjang lima tahun

Baru-baru ini, YDPA telah mendedahkan baginda tidak pernah mengambil gaji sepanjang lima tahun menjadi agong di negara ini.

Malah baginda turut berdepan dengan cabaran pada awal menjadi ketua negara seperti pergolakan politik selain turut berada dalam keadaan kekaburan dengan jawatan serta peranan yang digalas.

Akui banyak perkara dipelajari sepanjang menjadi Agong, ada 4 PM dalam tempoh lima tahun

Baginda turut bertitah baginda juga tidak pasti apakah peranannya apabila menjadi ketua negara sewaktu mengimbau semula kenangan ketika dilantik pada 31 Januari 2019 yang lalu.

“Detik pertama saya masuk Istana Negara memberi pengalaman agak manis apabila diingat semula. Ini kerana saya masuk ke jawatan yang saya sendiri tidak pasti apa peranannya.

“Ketika dilantik, saya baru 15 hari menjadi Sultan Pahang, banyak perkara yang saya masih tak tahu dan kemudian terus dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong. Memang ia agak sukar bagi saya kerana tiada pengalaman, tetapi saya belajar perlahan-lahan.

“Ditambah dengan empat Perdana Menteri (PM) yang ada sepanjang lima tahun saya menjadi Agong, siapalah saya dibandingkan dengan mereka yang berpengalaman, tetapi saya banyak bertanya, belajar dan membaca,” titah baginda, dipetik Harian Metro.

Akan baca kertas Kabinet sebelum mesyuarat dan beri pandangan, nasihat serta teguran

Titah baginda lagi sepanjang menggalas tanggungjawab sebagai Agong, sebanyak 157 mesyuarat pra-Kabinet telah dihadirinya pada setiap hari Selasa selama satu jam.

Malah sebelum berjumpa dengan PM, baginda akan membaca kertas Kabinet terlebih dahulu untuk mengetahui setiap isu yang akan didiskusikan. Selain itu, baginda akan memberikan pandangan, nasihat dan juga teguran kepada PM untuk dimaklumkan kepada pihak Kabinet.

Sekiranya terdapat isu berbangkit perkara itu juga dapat diselesaikan dengan baik.

“Saya akan bertanya mana-mana kertas Kabinet yang saya perlu tahu dan jika tidak bersetuju, saya nyatakan pandangan itu.

“Alhamdulillah, segala pandangan dan nasihat saya diterima dan begitu juga sebaliknya. Kita ada kerjasama dua hala dan teguran saya kepada Perdana Menteri juga dimaklumkan kepada Kabinet.

“Hubungan baik ini perlu diteruskan kerana segala tadbir urus negara boleh diselesai menerusi mesyuarah antara YDPA dengan PM. Ada juga sesi dengan menteri dan jika ada isu dibangkitkan, ia juga diselesai secara berhemah.”

Catat setiap maklumat dan teguran penting kepada kerajaan sepanjang menjadi Agong

Menurut baginda sepanjang lima tahun menjadi Agong, baginda akan mencatat setiap maklumat serta teguran penting kepada kerajaan. Beritahu baginda lagi catatannya itu sudah ada sebanyak tujuh buku.

Agong juga meluahkan baginda gemar membaca serta mendalami urus tadbir negara kerana merasakan ia suatu yang menarik kerana tidak pernah melaluinya sepanjang menjadi Tengku Mahkota dan juga Sultan Pahang.

Selain itu, buku catatan yang ditulis itu juga boleh dijadikan rujukan apabila tua kelak.

“Buku yang saya tulis ini juga boleh dirujuk semula ketika bersama keluarga apabila tua nanti, sekurang-kurangnya saya boleh berkongsi dengan anak-anak apa peranan saya ketika menjadi Agong.

“Ada rakan mencadangkan saya menulis memoir tetapi bukan sekarang. Saya juga ada mempelawa satu universiti jika mahu membuat kajian kes, saya sedia berkongsi pengalaman mengenai apa yang dilalui sepanjang menjadi Agong,” titahnya lagi.

Mahu jadi raja yang akan ada dalam hati semua rakyat

Dalam pada itu, baginda turut meluahkan rasa gembiranya untuk pulang ke negeri kelahirannya serta menyantuni rakyat Pahang. Malah baginda mengakui peranan itu berbeza sewaktu baginda memimpin negara.

Baginda juga memaklumkan akan mencemar duli melawat banyak daerah di Pahang untuk berjumpa dengan rakyat serta memberikan bantuan kepada yang memerlukan.

“Saya suka berjumpa dan membantu rakyat kerana ia memberi semangat kepada saya. Sebenarnya banyak kerja yang perlu dilakukan di Pahang nanti sebab saya hanya sempat menjadi Sultan Pahang selama 15 hari saja sebelum ini.

“Kini rakyat menantikan saya sebagai sultan, jadi saya dan isteri, akan melawat setiap daerah untuk bertemu rakyat dan membantu mereka yang miskin.

“Bagi saya, mungkin saya bukan raja Malaysia lagi selepas ini, tetapi saya tetap akan jadi raja di hati anda semua selamanya.”

Untuk makluman, Sultan Johor Sultan Ibrahim ibni Sultan Iskandar akan dilantik untuk menjadi YDPA yang ke-17 dan akan memerintah selama lima tahun, berkuatkuasa 31 Januari 2024.

Manakala Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah pula adalah Timbalan YDPA bagi tempoh lima tahun serta berkuatkuasa pada tarikh samadan ia adalah hasil persetujuan Majlis Raja-Raja.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.