fbpx
Now Reading
Mat Saleh Hafal Negaraku dan Fasih Berbahasa Melayu Rupanya Bekas Cikgu Di Kedah

Mat Saleh Hafal Negaraku dan Fasih Berbahasa Melayu Rupanya Bekas Cikgu Di Kedah

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Seorang mat saleh menjadi tumpuan pengguna media sosial apabila memuat naik satu video bertujuan menaikkan semangat rakyat Malaysia di saat seluruh dunia sedang berdepan virus Covid-19.

Yang menariknya, Leon J. Muffet bukan sahaja fasih berbahasa melayu, malah beliau turut mengkagumkan orang ramai apabila menyanyikan lagu kebangsaan, ‘negaraku’ dengan jayanya.

Namun di sebalik video yang tular itu, warga Amerika Syarikat yang menetap di Ridgefield, Washington , ini sebenarnya adalah seorang bekas guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Air Itam, Kedah di sekitar tahun 70an.

Menerusi video berdurasi 2 minit 9 saat itu, Leon turut menganggap dirinya sebagai anak angkat Malaysia.

“Negara yang indah dan damai, aman dan sentosa, negaraku juga.

“Sahabat-sahabat karib, kaum keluarga di seluruh negara, silakan berdiri untuk nyanyian lagu kebangsaan kita,” katanya.

Posted by Leon J. Muffett on Tuesday, 14 April 2020

Menerusi satu lagi posting, Leon yang digelar Kerbau Balar oleh anak-anak muridnya meluahkan rasa terharunya selepas video nya tular dan mendapat maklum balas positif dari rakyat Malaysia.

Dibawah kami kongsikan tulisannya untuk bacaan anda :

KEBANJIRAN KASIH SAYANG!

“Entahlah bagaimana nak mula cakap sekarang ini. Saya habis fikiran dan hilang suara—tak ada kata kata yang sesuai. Kerbau balar Lubuk Pinang ini (kerbau balar adalah nama panggilan/nama kesayangan yang pernah diberikan kepada saya oleh anak muridnya di Sekolah Menengah Air Hitam, Air Hitam, Kedah) rasa penuh dengan syukuran.

“Hati saya terharu, penuh dan berlimpah limpah dengan perasaan kasih sayang di atas ribuan (sampai hari ini, hampir 7,000) balasan terbaik dan sangat bermakna yang saya terima daripada ribuan orang di sana setelah sampaikan ucapan salam dan menyanyikan Lagu Kebangsaan Malaysia di Facebook semalam.

“Tujuan saya adalah ingin memberi semangat dan tabah hati kepada bekas anak murid saya dari Sekolah Menengah Air Hitam—anak murid yang telah menjadi keluarga, anak murid yang disayangi sama seperti anak dan cucu keturunan saya.

“Oleh kerana saya tak tahu kata kata yang mencukupi atau yang sesuai untuk membawa isi hatiku kepada engkau semua, terpaksalah saya menggunakan kata kata yang biasa, tetapi dengan ertinya dan perasaan di hati yang luar biasa. Sahabat sahabat dan kaum keluarga di seluruh negara, saya ucapkan ribuan terima kasih kepada engkau semua dengan hati yang ikhlas.

Foto keluarga besar Leon

“Walau pun hati saya ingin menerima permintaan menjadi kawan Facebook daripada setiap orang yang mintanya (sekarang jahu melebehi 1,000 permintaan), tak mungkin ada cukup waktu atau tenaga untuk bercakap dan berbalas budinya begitu banyak orang.

“Maklumlah, kerbau balar ini tak layak lagi menarik tenggala 8-9 jam sehari. Walau pun Mat Salleh ini masih ada rambut dan gigi (alhamdullilah), tenaga badannya lebih mirip badannya Siburung kakatua yang giginya tinggal dua.

“Maka sementara ini, saya minta tolong jangan rasa tersinggung atau kecil hati kalau saya tak mampu berkawan Facebook dengan semua saudara saudari yang mintanya. Walau pun tak dapat kita semua menjadi kawan Facebook disebabkan batasan tenaga dan waktu saya, pertalian keluarga dan persahabatan kita tetap erat untuk selama lamanya.

Sekian saja dengan ucapan terima kasih dari hati ke hati. Istimewa untuk bekas anak muridku (dalam bahasa seharian loghat Kedah), aku betui betui sayang hangpa semua. Jangan dok pi mana pun sampai habis kuarantin. Hangpa jauh di mata tapi dekat di hati. Ingatlah kata kata ini dalam bahasa Mat Salleh, “stay home, stay safe!” Salam rindu dan salam bahagia sampai berjumpa ” tulisnya di Facebook.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.