“Jika Tidak Kerana Fitnah, Abang Mungkin Dapat Diselamatkan” – Adik Pemandu Lori
Malah menurut kakaknya, sewaktu kejadian ada orang awam yang ingin membantu namun menukar pendirian mereka sebaik mendengar fitnah individu berkenaan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Kejadian pemandu lori yang meninggal dunia akibat serangan jantung di hospital selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan lori dipandunya dengan tiga kenderaan di Sungai Buloh nyata mengundang sebak ramai pihak.
Kisah Allahyarham Ahmad Sukri ,49 sebelum itu tular selepas seorang wanita yang merakam video kemalangan telah menuduh arwah dalam keadaaan mabuk walhal dia ketika itu sedang bergelut dengan serangan jantung.
Penyebar video tersebut kemudiannya tampil memohon maaf selepas dia teruk dikecam sebaik netizen mengetahui arwah sebenarnya difitnah.
Baca artikel berkaitan :
Polis Sahkan Pemandu Lori Rempuh 3 Kereta Bukan Mabuk Tapi Terkena Serangan Jantung
Terbaharu adik arwah, Mohd Azmi Abd Samad turut meluahkan rasa kesalnya dengan apa yang terjadi dan berpendapat abangnya mungkin dapat diselamatkan jika tidak timbul dakwaan sebegitu rupa.
Malah menurut kakaknya, sewaktu kejadian ada orang awam yang ingin membantu namun menukar pendirian mereka sebaik mendengar fitnah individu berkenaan.
“Ketika berada di hospital, saya ada dimaklumkan oleh kakak, Rosilawati Abd Samad, 47, bahawa ada video abang ketika kemalangan tetapi individu yang merakam video berkenaan memberi pelbagai alasan untuk tidak menunjukkannya kepada kami.
“Bagaimanapun, ada rakan sekerja arwah memaklumkan video berkenaan tular pagi semalam dan hanya ketika itu saya melihat isi kandungan video terbabit termasuk dakwaan individu yang mendakwa abang memandu dalam keadaan mabuk.
“Jika fitnah itu tiada, mungkin abang boleh dihantar lebih awal ke hospital dan mungkin berjaya menyelamatkan nyawanya.”
Malah dia meluahkan rasa sedih apabila insiden tersebut menyebabkan arwah abangnya dikecam meskipun mereka sudah mengetahui apa sebenarnya yang terjadi.
“Selepas video itu tular, saya ada membaca komen di media sosial mengenai insiden itu selepas punca kemalangan terbabit dijelaskan dan boleh dikatakan kebanyakannya (komen) mendoakan arwah abang, namun ada juga komen yang menyalahkan dia.
“Ada komen yang mengecam arwah dengan menyatakan jika sudah tahu sakit jantung sepatutnya dia berhenti di tepi jalan kerana tindakannya boleh meragut lima nyawa yang lagi penting dari hanya nyawa dia seorang.
“Saya yakin jika abang boleh tahan sakit, pasti dia akan berbuat demikian tetapi siapa yang tahu derita kesakitan dilaluinya ketika itu,” katanya.
Akan buat laporan polis terhadap pemfitnah dan penyebar video
Sehubungan itu, dia dan ahli keluarga sudah sepakat untuk membuat laporan polis terhadap individu yang memfitnah abangnya dan penyebar video berkenaan agar ianya boleh dijadikan pengajaran.
“Pada mulanya kami tidak berhasrat untuk mengambil apa-apa tindakan namun selepas membaca komen-komen sedemikian, saya rasa kami perlu bertindak.
“Disebabkan itu, kami mahu membuat laporan polis berhubung perkara terbabit bukan kerana niat kami untuk menghukum mereka tetapi sebaliknya mahu ia dijadikan pengajaran kepada semua orang,” katanya.
Mengulas mengenai arwah, Mohd Azmi berkata abangnya itu yang masih bujang berperanan menyara kakak serta empat anaknya dari segi kewangan ekoran kematian abang ipar mereka sejak lima tahun lalu.
Difahamkan jenazah Ahmad Sukri selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Al-Muktafi Billah Shah, Dungun, Terengganu, pada petang semalam.
Foto sewaktu majlis pengebumian arwah turut dikongsikan seorang pengguna Facebook, Haji Ghazali Sulaiman.