Perbuatan Lari Dari Bayar Tol Akan Jadi Kesalahan Jenayah Tidak Lama Lagi
Peruntukan baharu ini sedang dipertimbangkan bagi membendung perbuatan mengelak dari membayar tol sewaktu menggunakan lorong Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) di lebuh raya pada 2025.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Isu pemandu mengelak dari membayar tol bukan lagi satu perkara baharu di negara kita.
Biasanya dilakukan oleh pemandu kereta dengan mencucuk rapat kenderaan di hadapan yang baru membuat pembayaran di plaza tol, tindakan tidak bertanggungjawab ini bukan sahaja merugikan syarikat konsesi lebuh raya bahkan ianya boleh mengakibatkan perlanggaran.
Namun awas, kerana perbuatan ini bakal dianggap sebagai satu kesalahan jenayah di masa akan datang sekiranya undang-undang mengenainya berjaya diperkenalkan.
Difahamkan peruntukan baharu ini sedang dipertimbangkan bagi membendung perbuatan mengelak dari membayar tol sewaktu menggunakan lorong Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) di lebuh raya pada 2025.
Menurut Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, bagi mengelakkan ketirisan, kementeriannya sedang meneliti peruntukan undang-undang jenayah baharu terhadap mereka yang culas membayar tol sebagai sebahagian dari pelaksanaan MLFF dalam tempoh 2 tahun akan datang.
“Kami sedang melihat sama ada tindakan mengelak membayar tol boleh dianggap sebagai kesalahan jenayah atau tidak kerana tiada halangan lorong di bawah MLFF,” katanya dipetik dari FMT.
Tambah beliau lagi, satu peruntukan baharu dalam Kanun Keseksaan dan cadangan pindaan terhadap undang-undang berkaitan termasuk Akta Pengangkutan Jalan 1987 akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.
“Bagi mewujudkan sistem rekod pengesanan kenderaan dan pemandu, kita perlu menghubungkannya dengan pangkalan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Undang-undang berkaitan perlu diteliti. Mungkin terdapat keperluan untuk undang-undang khas (baharu) atau mungkin undang-undang sedia ada perlu dipinda.”
Mengakui Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) telah berdepan usaha rumit dalam melaksanakan rancangan MLFF, termasuk pelaksanaan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID). Fadillah bagaimanapun merasakan cabaran terbesar yang perlu diberi tumpuan adalah aspek undang-undang.
“Ini cabaran terbesar dan kita perlu mendapatkan persetujuan pemegang konsesi lebuh raya dan pihak berkepentingan lain berhubung undang-undang baru,” katanya lagi.
Baca artikel berkaitan :