fbpx
Now Reading
100% Pekerja Tempatan, Kilang Porsche Di Kulim Sudah Mula Beroperasi

100% Pekerja Tempatan, Kilang Porsche Di Kulim Sudah Mula Beroperasi

Porsche turut melancarkan model Porsche Cayenne CKD pertama di Malaysia, yang dikeluarkan kilang berkenaan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Pada Ogos 2021 yang lalu, Porsche telah mengumumkan akan membuka sebuah kilang pemasangan model tempatan (CKD) di Kedah, Malaysia pada tahun 2022.

Ia sekaligus mengesahkan laporan media pada Februari bahawa akan ada satu jenama kereta mewah dari Jerman yang akan membuka kilang pemasangannya di negara kita.

Terbaharu semalam, Sime Darby dan Porsche AG sudah pun merasmikan kilang berkenaan yang terletak di Kulim, Kedah.

Menurut laporan media tempatan, majlis perasmian kilang pertama Porsche di luar Eropah itu dirasmikan oleh Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin.

Turut lancar Posche Cayenne CKD pertama

Sempena perasmian itu juga, Porsche turut melancarkan model kenderaan utiliti sukan (SUV) Porsche Cayenne pemasangan tempatan (CKD) pertama di Malaysia, yang dikeluarkan kilang berkenaan.

100% tenaga tempatan yang dilatih Porsche

Apa yang lebih menarik, Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Group, Datuk Jeffri Salim Davidson sewaktu perasmian turut mendedahkan operasi kilang ini menggunakan 100% tenaga kerja tempatan yang telah mendapat latihan intensif dari Porsche.

“Kami berbangga diberi kepercayaan oleh Porsche untuk proses pemasangan kenderaan bagi memenuhi standard tinggi untuk kualiti, prestasi dan pengalaman pemanduan dinamik.

“Kemudahan itu, iaitu 100% dikendalikan oleh rakyat Malaysia yang berkemahiran tinggi, bukan sahaja menyokong pertumbuhan perniagaan kami merentasi rantaian nilai automotif di Malaysia; tetapi juga mewujudkan saluran kerja untuk memperkasakan masyarakat setempat.”

“Ia bukti perkongsian terjalin dan dipercayai yang dibina lebih sedekad di antara Sime Darby dan Porsche,” katanya beliau sewaktu majlis perasmian.

Tambah beliau lagi, kilang pemasangan ini disokong rangkaian pembekal dan penyedia perkhidmatan servis setempat.

Sementara itu Ahli Lembaga Eksekutif (Jualan dan Pemasaran) Porsche AG, Detlev von Platen berkata, kumpulan mereka sudah meraih pencapaian yang baharu dengan melancarkan pemasangan tempatan yang pertama bagi model Cayenne dan memenuhi impian peminat kereta sport di Malaysia.

Tambahnya lagi, strategi pertumbuhan Porsche juga menggariskan kepentingan Malaysia sebagai lokasi utama pengembangannya di rantau Asean.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.