fbpx
Now Reading
“Ramai Salah Faham” – Jovian Mandagie Tampil Perjelas Maksud Pelitup Muka ‘Hauk’

“Ramai Salah Faham” – Jovian Mandagie Tampil Perjelas Maksud Pelitup Muka ‘Hauk’

Malah beliau menegaskan cadangan memperakukan pelitup muka bukan perubatan dengan cop SIRIM bukanlah permintaannya dan sama sekali tidak akan menguntungkan perniagaannya.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Tidak dapat dinafikan isu cadangan memperakukan pelitup muka bukan perubatan dengan cop SIRIM antara isu paling panas diperkatakan sejak awal April lalu.

Meskipun kerajaan sudahpun mengumumkan penangguhannya yang sepatutnya dikuat kuasakan pada 4 Julai kepada 1 Januari 2023, ramai yang masih berharap ianya akan dimansuhkan terus tanpa perlu dilaksanakan.

Namun siapa sangka isu ini turut menyebabkan usahawan dan pereka fesyen terkenal, Datuk Jovian Mandagie terpalit sehingga teruk mendapat kecaman gara-gara menggunakan perkataan ‘hauk’ sewaktu mengulas dan mempromosikan produk pelitup mukanya di Instagram.

Baca artikel berkaitan : “Undang-Undang SIRIM Dibuat Untuk Banteras Pelitup Muka Hauk Di Pasaran” – Jovian Mandagie

Netizen mula ‘cari’ point

Merasakan dia seolah merendah-rendahkan jenama pelitup muka lain, netizen yang tidak berpuas hati mula ‘menggali’ hingga tertularnya satu video memperlihatkan tali pelitup muka produk keluarannya yang putus di satu sesi live bersama penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Ini menurut segelintir netizen membuktikan bahawa jenama yang mempunyai cop SIRIM mahupun MDA tidaklah sehebat mana sehingga boleh memandang enteng pelitup muka lain yang kurang berjenama.

Enggan kenyataannya terus disalah ertikan, Jovian pada petang Ahad tampil menerusi satu hantaran di IG menjelaskan maksud hauk yang digunakannya tempoh hari.

Merujuk kepada pelitup muka ‘Jovian Mask’ tiruan

Menurut menantu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu, ‘hauk’ yang dimaksudkannya langsung tiada kaitan dengan mana-mana jenama lain sebaliknya merujuk kepada pelitup muka Jovian Mask tiruan yang sudah dua tahun bermaharajalela dan berleluasa di pasaran.

Malah dia memaklumkan langsung tidak pernah berniat untuk memperkecilkan mana-mana jenama lain.

“Saya nak jelaskan sikit pasal pelitup muka ‘hauk’ tempoh hari. Banyak yang salah faham, apa yang saya maksudkan itu ialah pelitup muka ‘Jovian Mask Tiruan’ yang berleluasa di pasaran. Tak ada niat saya nak memperkecilkan mana-mana jenama pelitup muka lain di pasaran.

“Lebih dua tahun Jovian Mask tiruan berada di pasaran mengambil kesempatan guna design kami, monogram kami, gambar promosi kami, nama kami, dan logo kami untuk kepentingan masing-masing sehingga menipu pengguna.

“Saya rasa sesuai lah saya gunakan istilah hauk tu pada mereka ni. Ini semua kerja mafia! Tapi, kalau ada yang tersinggung dengan kenyataan saya, tak ada niat nak guris hati anda,” kata Jovian panjang lebar.

Bersama hantaran tersebut dia turut menunjukkan bukti tangkap layar beberapa iklan pelitup muka tiruan yang menggunakan nama ‘Jovian Mask’.

“Sirim bukan permintaan saya”

Malah beliau menegaskan cadangan memperakukan pelitup muka bukan perubatan dengan cop SIRIM bukanlah permintaannya.

“Issue sirim, bukan permintaan saya mahupun keuntungan bagi saya. Untuk pengetahuan anda, once the law imposed it will incur most cost to us as sellers? Dari mana pulak saya akan untung lebih? And I can guarantee you all that my brand is not the first to have SIRIM stamp. Banyak brand di luar yang dah ada sirim stamp. Kita ni baru je nak apply.”

Beliau dalam masa sama turut mengingatkan orang ramai agar menjaga pertuturan kerana kita masih berada di bulan Ramadan.

“Ramadhan bulan suci ni, bukan saja puasa perut. Patutnya pertuturan pun patut dijaga. Tak perlu kot nak caci maki saya dan fitnah yang bukan-bukan tentang business saya. Jenama Jovian dah berada di pasaran 15 tahun, makin berkembang atas reputasi dan kualiti barangan kami. Bukan sebab-sebab lain,” kata Jovian lagi.

© 2021 BuzzKini. All Rights Reserved.