
JPV Ambil Maklum Kes Lelaki Didakwa Beri Ular Peliharaan Makan Anak Kucing
Menurut Ketua Pengarah JPV Dr Akma Ngah Hamid, orang ramai juga boleh menyalurkan aduan melibatkan kebajikan haiwan menerusi sistem MyAnimalWelfare.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Baru-baru ini kami ada melaporkan mengenai perkongsian seorang pengguna Twitter berhubung dakwaan seorang lelaki yang telah menjadikan anak kucing sebagai makanan untuk ular peliharaannya.
Lebih mengejutkan, lelaki tersebut menerusi satu ciapan turut menggunakan alasan kononnya dia seorang pencinta kucing walhal niatnya adalah untuk menjadikan si bulus sebagai santapan kepada ular berkenaan.
Pendedahan yang dilakukan pengguna Twitter ini menimbulkan kemarahan orang ramai di mana majoriti mahukan pihak berwajib untuk segera mengambil tindakan terhadapnya kerana melakukan penganiayaan kepada haiwan.
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki Cari Anak Kucing Untuk Diberi Makan Pada Ular Peliharaan Buat Ramai Bengang
Terbaharu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mengesahkan sudah menerima aduan berhubung perbuatan individu terbabit.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Dr Akma Ngah Hamid menerusi satu ciapan balas di Twitter berkata, perkara tersebut juga sudah dipanjangkan ke Seksyen Kebajikan Haiwan.
Tambah beliau lagi, orang ramai juga boleh menyalurkan aduan melibatkan kebajikan haiwan menerusi sistem MyAnimalWelfare.
“Saya ambil maklum. Aduan juga diterima melalui e-mel jabatan dan dipanjangkan ke Seksyen Kebajikan Haiwan.
“Sekiranya ada aduan melibatkan kebajikan haiwan, mohon membuat aduan terus melalui sistem MyAnimalWelfare,” katanya.
Salam. Saya ambil maklum. Aduan telah diterima juga melalui emel Jabatan dan telah dipanjangkan ke Seksyen Kebajikan Haiwan. Sekiranya ada aduan melibatkan Kebajikan Haiwan, mohon membuat aduan terus melalui sistem MyAnimalWelfare seperti di bawah. pic.twitter.com/XKjhSAg9Zz
— Akma Ngah Hamid (@DrAkmaNgahHamid) February 8, 2023
Akta 772 peruntukkan beberapa seksyen khusus bagi kesalahan penganiayaan haiwan
Beliau menerusi satu ciapan berbeza turut memuat naik satu poster yang menjelaskan Akta 772 iaitu Akta Kebajikan Haiwan 2015 turut memperuntukkan beberapa seksyen khas bagi kesalahan penganiayaan terhadap haiwan.
Antara contoh kesalahan yang dimaksudkan adalah dengan kejamnya memukul, menyepak, mendera atau mencacatkan mana-mana haiwan dengan apa-apa cara.
Menurut kenyataan itu lagi, mana-mana individu yang didapati bersalah boleh didenda tidak kurang dari RM20,000 dan tidak lebih RM100,000 atau dipenjarakan tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Penganiayaan Haiwan.
— Akma Ngah Hamid (@DrAkmaNgahHamid) February 8, 2023
Akta 772 iaitu Akta Kebajikan Haiwan 2015 memperutukkan beberapa seksyen khusus bagi kesalahan-kesalahan penganiayaan terhadap haiwan.@DVSMalaysia @SeksyenD pic.twitter.com/xtD1NItPof