fbpx

Isu Tak Letak ‘Bin’ Atau ‘Binti’ Pada Anak Jadi Topik Hangat, Ini Penjelasan Pejabat Mufti WPKL

Dari aspek ‘uruf’ atau adat setempat, masyarakat Islam di Malaysia sudah lama menggunakan ‘bin’ atau ‘binti’ pada nama dan ia berpandukan kepada tradisi perletakkan nama serta nasab para Rasul AS serta sahabat RA.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Setiap ibu bapa yang mempunyai anak atau bakal menimang cahaya mata tentu akan memilih nama yang sesuai buat anak mereka.

Malah nama yang dipilih itu pasti mempunyai maksud yang baik buat si pemiliknya kerana perkara itu turut dituntut di dalam Islam kerana apabila hari kiamat setiap insan akan dipanggil dengan nama yang diberi.

Seperti di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Darda’ RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:

إِنَّكُمْ تُدْعَوْنَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِأَسْمَائِكُمْ وَأَسْمَاءِ آبَائِكُمْ فَأَحْسِنُوا أَسْمَاءَكُمْ

Maksudnya: ‏ “Sesungguhnya kamu semua akan diseru pada hari kiamat kelak dengan nama kamu dan nama bapa-bapa kamu. Maka perelokkanlah nama kamu.”

Tular trend tak letak ‘bin’ atau ‘binti’ di media sosial

Baru-baru ini, tular di media sosial tentang satu trend di mana terdapat segelintir individu khususnya umat Islam yang tidak meletakkan perkataan ‘bin’ atau ‘binti’ sebelum nama bapa ketika membuat pendaftaran nama anak di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Isu itu kemudian menjadi perbincangan hangat di kalangan para netizen apabila ada yang bersetuju dengan perkara tersebut dan ada juga yang tertanya-tanya adakah ia sah di sisi Islam.

Jika dilihat di dalam syarat di JPN untuk mendaftarkan kelahiran bayi tiada satu pun menekankan setiap bayi beragama Islam itu wajib diletakkan ‘bin’ mahupun ‘binti’ pada namanya.

Apa yang lebih penting adalah setiap proses dan dokumen diperlukan untuk membuat pendaftaran nama dapat disediakan oleh ibu bapa dengan lengkap.

Namun sekiranya penjaga ingin mengugurkan perkataan ‘bin’ atau ‘binti’ pada nama anak mereka perlu untuk mengikuti prosedur yang telah ditetapkan oleh pihak JPN.

‘Bin’ dan ‘binti’ digunakan oleh masyarakat Malaysia mengikut ‘uruf atau adat setempat

Walau bagaimanapun, menurut laman sesawang Mufti Wilayah Persekutuan dari aspek ‘uruf atau adat setempat, masyarakat Islam di Malaysia sejak dari dahulu telah menggunakan ‘bin’ atau ‘binti’ pada nama dan ia berpandukan kepada tradisi perletakkan nama serta nasab para Rasul AS, Sahabat RA, Tabinn, Tabin Tabiin dan seluruh umat Islam.

Sebagai contoh nama Rasullullah SAW turut diletakkan bin sebelum nama bapanya iaitu Muhammad Bin Abdullah Bin Abdul Mutalib.

Perkara ini sekaligus menjawab tanggapan segelintir masyarakat yang menyatakan bahawa bangsa Arab tidak menggunakan istilah tersebut kepada nama mereka. Malah penggunaan itu digunakan oleh bangsa tersebut hingga masa kini kerana mereka sangat mementingkan asal usul sesebuah keturunan.

Secara tidak langsung amalan masyarakat Islam meletakkan nama ‘bin’ atau ‘binti’ sejak dari dulu adalah sejajar dengan amalan bangsa Arab yang dikira sebagai ‘uruf yang diiktiraf dari segi syarak.

Islam mementingkan nasab dan keturunan

Islam itu sendiri sangat mementingkan nasab keturunan yang perlu dijaga dengan baik untuk menjaga sistem sosial dalam masyarakat.

Ini kerana sekiranya ia tidak dijaga dengan baik ia boleh menyebabkan sebuah institusi kekeluargaan rosak dan boleh mengelirukan susur galur keturanan, menimbulkan fitnah serta masalah dalam pembahagian harta pusaka.

Walaupun dengan tidak meletakkan ‘bin’ atau ‘binti’ itu tidak merosakkan institusi kekeluargaan atau nasab seseorang tetapi sekiranya perkara tersebut dinormalisasikan ia boleh disalahguna oleh segelintir individu tidak bertanggungjawab seperti menipu untuk sembunyikan status anak angkatnya.

Sedangkan sebagai muslib wajib menasabkan anak angkat tersebut kepada bapa kandungnya.

Nasab adalah tonggak utama untuk membentuk keluarga

Nasab juga merupakan tonggak utama dalam membentuk sebuah keluarga di mana setiap ahli keluarga mempunyai pertalian darah antara satu sama lain. Ia juga merupakan salah satu nikmat diberikan Allah SWT kepada hambanya.

Memelihara nasab juga merupakan satu daripada maqasid syariah yang lima seperti Firman Allah SWT:

Surah al-Furqan (54)

وَهُوَ الَّذِي خَلَقَ مِنَ الْمَاءِ بَشَرًا فَجَعَلَهُ نَسَبًا وَصِهْرًا ۗ وَكَانَ رَبُّكَ قَدِيرًا ‎

Maksudnya: “Dan Dia lah Tuhan yang menciptakan manusia dari air, lalu dijadikannya (mempunyai) titisan baka dan penalian keluarga (persemendaan); dan sememangnya tuhanmu berkuasa (menciptakan apa jua yang dikehendakiNya).”

Dua perkataan itu juga adalah contoh daripada beberapa sunnag Rasulullah SAW yang memanggil keluarganya dan sahabat dengan nama yang mempunyai ‘bin’ mahupun ‘binti’, seperti riwayat Abu Hurairah RA:

Riwayat al-Bukhari

قَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حِينَ أَنْزَلَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ: {وَأَنْذِرْ عَشِيرَتَكَ الأَقْرَبِينَ} [الشعراء: 214]، قَالَ: «يَا مَعْشَرَ قُرَيْشٍ – أَوْ كَلِمَةً نَحْوَهَا – اشْتَرُوا أَنْفُسَكُمْ، لاَ أُغْنِي عَنْكُمْ مِنَ اللَّهِ شَيْئًا، يَا بَنِي عَبْدِ مَنَافٍ لاَ أُغْنِي عَنْكُمْ مِنَ اللَّهِ شَيْئًا، يَا عَبَّاسُ بْنَ عَبْدِ المُطَّلِبِ لاَ أُغْنِي عَنْكَ مِنَ اللَّهِ شَيْئًا، وَيَا صَفِيَّةُ عَمَّةَ رَسُولِ اللَّهِ لاَ أُغْنِي عَنْكِ مِنَ اللَّهِ شَيْئًا، وَيَا فَاطِمَةُ بِنْتَ مُحَمَّدٍ سَلِينِي مَا شِئْتِ مِنْ مَالِي لاَ أُغْنِي عَنْكِ مِنَ اللَّهِ شَيْئًا

Maksudnya: “Rasulullah SAW berdiri ketika Allah SWT menurunkan ayat: وَأَنْذِرْ عَشِيرَتَكَ الأَقْرَبِينَ (Maksudnya: Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat)[Surah al-Syuʻara’: 214], Baginda SAW bersabda: “Wahai kaum Quraisy belilah diri-diri kamu, aku tidak dapat menghindarkan kamu sedikit pun daripada azab Allah SWT. Wahai Bani ‘Abd Manaf, aku tidak dapat menghindarkan kamu sedikit pun daripada azab Allah SWT. Wahai Abbas bin ‘Abd al-Muttalib, aku tidak dapat menghindarkan engkau sedikit pun daripada azab Allah SWT. Wahai Safiyyah, ibu saudara Rasulullah SAW, aku tidak dapat menghindarkan engkau sedikit pun daripada azab Allah SWT. Wahai Fatimah binti Muhammad, mintalah kepadaku apa yang engkau mahu daripada hartaku dan aku juga tidak dapat menghindarkan engkau sedikit pun daripada azab Allah SWT.”

Penggunaan ‘bin’ dan ‘binti’ untuk jaga nasab dan keturunan, tak wajib dari hukum taklif

Oleh itu, dalam pandangan syarak meletakkan ‘bin’ dan ‘binti’ pada nama adalah suatu yang penting untuk menjaga nasab dan keturunan selain untuk mengelakkan kekeliruan seperti fitnah, konflik pembahagian harta pusaka dan sebagainya.

Manakala dari konteks Malaysia pula sekiranya terdapat ibu bapa yang tidak mahu meletakkan ‘bin’ atau ‘binti’ ia adalah sah di sisi undang-undang dan di sisi hukum taklif ia tidak wajib.

Walau bagaimanapun, meletakkan ‘bin’ atau ‘binti’ pada nama anak di dalam sijil kelahiran sudah menjadi satu kebiasaan di negara ini.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.