fbpx

Kontroversi Kempen Model Pegang ‘Mayat’, Orang Awam Serbu Butik Zara Di Luar Negara Siap Bawa Replika Jenazah

Zara bagaimanapun telah menarik semula kempen iklan berkenaan selepas orang ramai menyifatkan ia seolah-olah menyindir penderitaan rakyat Palestin.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Isu konflik di Timur Tengah membabitkan Palestin dan Israel bagai tiada penghujungnya. Malah setiap hari jumlah mangsa yang terkorban di Palestin semakin meningkat apabila pihak di sebelah sana berterusan membedil negara tersebut.

Apa yang lebih menyedihkan apabila terdapat beberapa syarikat terkenal dan juga jenama yang secara lantangnya memihak kepada Israel selain turut memberikan wang sumbangan kepada mereka.

Zara dikecam orang ramai lepas didakwa buat kempen sindir penderitaan rakyat Palestin

Awal minggu ini jenama pakaian terkenal Sepanyol, Zara dikecam hebat oleh orang ramai selepas didakwa membuat kempen yang seolah-olah menyindir penderitaan rakyat di Palestin.

Menerusi hantaran gambar kempen ‘The Jacket’ itu, kelihatan model yang mengayakan pakaian jenama berkenaan turut memegang replika yang dilihat seperti jenazah dalam kain serba putih.

Foto: Zara

Penduduk dipercayai di Australia serbu butik Zara, bawa replika seperti jenazah

Perkara itu secara tidak langsung telah menimbulkan kemarahan orang ramai yang merasakan ia adalah satu tindakan yang biadap dan berbaur provokasi hingga menyebabkan ruangan komen Zara penuh dengan kecaman.

Terbaharu tular satu video di media sosial memaparkan orang awam yang menentang kempen tersebut menyerbu butik pakaian itu dengan membawa replika berbentuk seperti jenazah.

Menerusi tanda pagar oleh individu yang memuat naik video tersebut di TikTok, protes itu didakwa berlaku di Melbourne, Australia.

Siap bawak poster, bendera Palestin berbaris depan pintu utama butik Zara

Pada awal video TikTok itu kelihatan orang ramai berbaris di hadapan pintu masuk butik pakaian Zara dengan membawa replika, bendera Palestin dan juga poster sebagai respon kepada kempen yang dilakukan oleh jenama berkenaan.

Malah ada segelintir dari mereka yang menutup muka, mulut dan tangan dengan kain seperti diikat seolah-olah mengambarkan keadaan yang menimpa penduduk di Palestin.

Mereka turut memasuki butik berkenaan dengan mengelilingi premis itu sambil membawa replika jenazah itu.

Tidak hanya itu ada juga yang bertindak meletakkan replika tersebut di atas kaunter pembayaran.

Namun carian kami tidak menemui sebarang sebarang laporan daripada media tempatan bagi mengesahkan insiden ini benar-benar berlaku di Australia atau di tempat lain.

Penduduk Canada juga lakukan protes di butik Zara di Montreal

Protes turut dilaporkan berlaku di sebuah butik Zara di Montreal, Canada apabila orang awam menyerbu premis jenama itu dengan membawa bendera Palestin dan bersorak, lapor DailyMail.

“Shame, shame , shame on your campaign! (kempen anda memalukan),” sorak mereka di dalam butik pakaian itu.

Selain itu, turut terdapat contengan grafiti di butik berkenaan dengan mesej “Free Palestine”.

Melihat di ruangan komen, protes yang dilakukan oleh segelintir penduduk di dua negara berkenaan memberikan pelbagai reaksi apabila ada yang menyokongnya dan sebaliknya.

Malah ada yang mengatakan protes tersebut tidak sepatutnya dilakukan kepada pekerja butik berkenaan.

Tidak kurang juga ada yang berpendapat tindakan mereka memprotes membuatkan mereka lebih mencintai jenama tersebut dan akan datang ke butik pakaian itu lagi.

“Ok saya akan ke Zara esok untuk membeli belah”

“Saya setuju dengan memboikot Zara tetapi tidak kepada pekerja yang cuba menyara kehidupan mereka dalam keadaan ekonomi sekarang. Malah ini bukan kesalahan mereka, hanya berhenti daripada membeli”

“Terima kasih kerana sentiasa menyokong dan menunjukan kasih sayang kepada rakyat Palestin”

“Saya membeli belah di Zara semalam sebelum mengetahui perkara ini. Maafkan saya, merdekakan Palestin!”

Zara tarik semula kempen selepas dikecam orang ramai

Walau bagaimanapun, Zara telah bertindak menarik semula kempen tersebut selepas dikritik oleh orang ramai.

Jenama pakaian itu turut menafikan dakwaan yang mereka tidak sensitif.

Jelas Zara, idea untuk kempen itu dibuat pada Julai manakala pengambarannya pula dijalankan pada September iaitu beberapa bulan sebelum konflik antara Hamas dan rejim Zionis bermula pada Oktober.

“Idea asal adalah untuk mempersembahkan imej arca belum siap di studio pengukir dengan tujuan mempamerkan pakaian buatan kraf dalam konteks artistik.

“Kami kesal dengan salah faham ini dan menghormati pandangan semua pihak,” ujarnya.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.