fbpx
Now Reading
“Langgan Atau Mati” – Kartel Dadah Di Mexico Sediakan Wifi, Paksa Penduduk Untuk Guna

“Langgan Atau Mati” – Kartel Dadah Di Mexico Sediakan Wifi, Paksa Penduduk Untuk Guna

Penduduk Michoacán, Mexico dipaksa melanggan dan menggunakan perkhidmatan internet tersebut dengan bayaran sehingga 500 peso (anggaran RM136) sebulan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Kebiasaannya di kebanyakan negara, perkhidmatan internet untuk orang ramai disediakan oleh syarikat telekomunikasi.

Individu perlu melanggan dan membuat bayaran mengikut pakej yang ditawarkan oleh syarikat tersebut.

Malah, langganan yang dibuat bukanlah paksaan dan terpulang kepada individu sama ada mahu memiliki internet atau tidak.

Sediakan Perkhidmatan Wifi Untuk Penduduk, Bunuh Individu Yang Tidak Mahu Langgan

Lain pula kisah yang dihadapi oleh penduduk di bandar Michoacán, Mexico. Kartel dadah yang dikenali sebagai Los Viagras telah membangunkan perkhidmatan internet sendiri khusus buat penduduk di bandar itu.

Namun, malangnya ia bukanlah diberi secara percuma tetapi penduduk dipaksa melanggan dan menggunakan perkhidmatan internet tersebut dengan bayaran sehingga 500 peso (anggaran RM136) sebulan.

Apa yang menakutkan jika enggan, mereka mungkin dibunuh oleh kartel berkenaan. Dianggarkan sebanyak 5,000 orang penduduk dipaksa membuat bayaran tersebut.

Bangunkan Perkhidmatan Wifi Menggunakan Peralatan Curi

Difahamkan, perkhidmatan wifi kartel Los Viagras itu dibangunkan dengan menggunakan peralatan curi yang kini popular dengan gelaran ‘narco-antenna’.

Menurut Pejabat Peguam Negeri Michoacán, penduduk daripada beberapa bandar telah mendaftar perkhidmatan tersebut sejak Ogos 2023 bagi mengelakkan daripada dibunuh.

Walau bagaimanapun, perbuatan kartel terbabit akhirnya terbongkar apabila individu yang tidak dikenali menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa berhubung kegiatan kartel itu.

Tempat Operasi Diserbu & Peralatan Dirampas Oleh Polis

Susulan daripada maklumat yang diterima, polis telah menyerbu tiga lokasi yang disyaki sebagai pusat pengoperasian perkhidmatan tersebut.

Malah beberapa perkakas seperti tiga antena, peralatan internet, sambungan dan alatan komputer turut dirampas ketika serbuan pada 29 Disember 2023.

Polis Michoacán mendedahkan kumpulan ini turut menjana pendapatan kira-kira empat juta peso (anggaran RM1,090,464) hasil daripada kegiatan mereka ini.

Turut Rosakkan Antena Milik Syarikat Internet Terbesar

Malah, Los Viagras turut didakwa merosakkan beberapa antena milik syarikat internet terbesar, TELMEX bagi menghalang penduduk menggunakan perkhidmatan wifi syarikat berkenaan.

Pihak berkuasa turut mendapati beberapa antena telah dirosakkan dan dijatuhkan sepenuhnya oleh kartel berkenaan.

Baca Artikel Berkaitan: Membimbangkan! Ini Yang Akan Berlaku Sekiranya Internet Tiba-Tiba ‘Mati’ Di Seluruh Dunia

Baca Artikel Berkaitan: Sering Dikaitkan Dengan Sisi Gelap Internet, Lelaki Ini Kongsi Apa Itu Dark Web & Deep Web

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.