fbpx
Now Reading
Selepas Bezza & HR-V, Kini Honda CR-V Pula Didakwa Rosak Sebaik Keluar ‘Showroom’

Selepas Bezza & HR-V, Kini Honda CR-V Pula Didakwa Rosak Sebaik Keluar ‘Showroom’

Individu tersebut turut mendakwa bapanya yang juga pemilik kereta telah dimaklumkan bahawa kes tersebut telah ditutup tanpa sebarang siasatan lanjut.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sebelum ini, negara digemparkan dengan isu sebuah Perodua Bezza yang rosak selepas lapan jam dibeli, namun ia akhirnya selesai apabila syarikat berkenaan bersetuju untuk membeli semula kereta tersebut.

Tidak lama selepas itu timbul pula isu seorang wanita yang meluahkan rasa kecewa apabila Honda HR-V yang baru dibelinya dalam tempoh dua minggu mengalami kerosakan.

Dia kemudian menghantar kenderaan tersebut ke pusat servis untuk membaiki masalah tersebut namun isu kereta itu masih tidak selesai sehingga menyebabkan dia terpaksa berulang alik dalam keadaan diri yang sedang sarat mengandung.

Selepas isu itu tular, Honda Malaysia memaklumkan sedang menyiasat dakwaan tersebut.

Baca artikel berkaitan: Perodua Setuju Beli Semula Kereta Rosak Dengan Harga Penuh – Pemilik Bezza ‘Gula’

Baca artikel berkaitan: Selepas Bezza Gula, Kini Tular Honda HR-V Pula Rosak Selepas 2 Minggu Dibeli

Dakwa Honda CR-V alami bunyi bising selepas keluar dari ‘showroom’

Belum lagi reda dengan isu tersebut, kini timbul pula isu dengan sebuah lagi model SUV keluaran syarikat berkenaan iaitu Honda CR-V.

Menerusi Facebook, seorang lelaki mendakwa kereta Honda CR-V dibeli bapanya juga mempunyai masalah sebaik diterima.

Dalam hantaran yang dimuat naik pada 13 Januari lalu, ujarnya kereta CR-V itu telah dibeli oleh bapanya pada Disember 2023 di salah satu cawangan di Lembah Klang.

Namun sebaik sahaja kereta itu keluar daripada ‘showroom’ (pusat pameran) berkenaan, bapanya telah terdengar bunyi bising yang kuat namun pada awalnya dia menganggap ia mungkin disebabkan jalan yang kurang baik.

“Kemudiaannya dia (bapa) mendapati bunyi yang sangat kuat itu datang daripada kereta tersebut. Bunyi seakan sedang menunggang motosikal. Bunyi tersebut hilang apabila kereta berhenti. Ia akan mengeluarkan bunyi yang sangat kuat apabila kereta sedang bergerak sahaja.

“Ayah menghantar semula kereta tersebut ke cawangan berkenaan untuk pemeriksaan. Mereka hanya menukar tombol atau kunci pintu tapi kereta masih mengeluarkan bunyi yang sama.

“Pada pemeriksaan kedua pula mereka pandu uji kereta tersebut ada bunyi tidak normal semasa memandu. Pengurus cawangan berkenaan turut mengesahkan ada bunyi tidak normal,” ujarnya.

Kenderaan akan dibawa ke pusat servis utama Honda Malaysia

Susulan daripada pemeriksaan yang dijalankan itu, pihak berkenaan memaklumkan kenderaan itu akan dihantar ke pusat servis utama Honda Malaysia.

Dedahnya lagi, perkara itu dilakukan kerana pusat servis di cawangan tersebut tidak dapat melakukan sebarang tindakan tanpa pemeriksaan terperinci dari Honda Malaysia.

Namun dia mendakwa selepas perkara itu dimaklumkan tiada sebarang khabar berita yang diterima oleh mereka berhubung kenderaan tersebut. Ekoran itu bapanya menghubungi semula pihak pengurus cawangan terbabit untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai isu terbabit.

Pengurus itu menjelaskan dia sentiasa cuba untuk mendapatkan maklum balas mengenai isu itu dari pihak berkenaan tetapi setakat ini puncanya masih belum dapat dikenal pasti.

“Agak kepelikan kerana kereta itu belum cecah sebulan lagi usianya namun tempoh jaminan dari Honda seperti sudah tamat berpuluh tahun.

“Kemudiannya ayah berhubung dengan Ketua Perkhidmatan Pelanggan Honda Malaysia. Seperti satu perlawanan ping-pong, dia maklumkan bahawa kes ini akan dirujuk semula dan diselesaikan oleh pihak cawangan sebelum ini.

“Rupanya mengikut laporan yang dibuat oleh pihak berkenaan, tidak langsung dinyatakan tentang bunyi pelik tersebut sebaliknya mereka hanya nyatakan ada isu tayar sahaja,” dakwanya.

Tambah individu itu lagi bapanya mula rasa bimbang selepas beberapa hari kerana masih tiada sebarang respon sehingga membuatkan dia akhirnya menghubungi pihak tersebut.

“Alangkah terkejutnya ayah apabila mereka kata Ketua Perkhidmatan Pelanggan telah menutup kes ini tanpa melakukan apa-apa siasatan lanjut.

“Pengurus cawangan sebelum ini menjelaskan dia sedang berusaha untuk mendapatkan maklumbalas dari Honda. Sekarang ayah ada berhubung dengan orang dari satu jabatan di sana, dengan nada yang sopan dan baik dia kata dia memahami situasi ayah dan memohon maaf atas kesulitan,” dakwanya lagi.

Walau bagaimanapun, sehingga kini mereka tidak mengetahui apakah status kereta itu kerana ia masih tiada penyelesaiannya.

Tegas lelaki tersebut tindakannya untuk menularkan isu tersebut di media sosial kerana pihak terbabit tidak mempunyai sebarang e-mel rasmi, talian perkhidmatan pelanggan yang sukar untuk dihubungkan, selain mendakwa mereka terus menerus mengelak dari mengambil sebarang tanggungjawab.

Dakwanya perkara yang selalu dilakukan pihak tersebut adalah memamklumkan akan menghubungi dalam beberapa hari namun pengguna pula yang perlu mencari mereka untuk mendapatkan maklumat lanjut.

“Bukanlah niat saya untuk sekadar menularkan isu ini, tetapi saya mahu isu ini dapat diselesaikan seadilnya sebagai seorang pelanggan. Moga ada cahaya sinar buat ayah dalam isu ini.”

Ramai minta individu buat laporan KPDN

Mengintai di ruangan komen ramai yang meminta agar perkara itu dilaporkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk tindakan lanjut.

Tidak kurang juga ada yang berkongsi pengalaman berdepan dengan isu yang sama.

Menerusi semakan kami, setakat ini belum ada sebarang maklum balas dari pihak Honda Malaysia berhubung isu ini.

Kami juga akan cuba untuk menghubungi pihak Honda Malaysia bagi mendapatkan respon berhubung isu ini.

Berikut antara komen diberikan netizen:

“Laporkan kepada KPDN”

“Kita kongsi sampai viral”

“Report pada tribunal pengguna, dan hantar kepada Honda HQ di Jepun. Mesti kes akan selesai dengan cepat”

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.