fbpx
Now Reading
Hina Undang² Malaysia & Cium Bassist The 1975 Semasa Perform, Ini Kontroversi Lain Babitkan Matty Healy

Hina Undang² Malaysia & Cium Bassist The 1975 Semasa Perform, Ini Kontroversi Lain Babitkan Matty Healy

Malah media antarabangsa sudah cukup ‘masak’ dengan karakter Matty Hailey yang terlalu lantang dan banyak mencetuskan kontoversi.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Nama vokalis kumpulan Pop Rock dari United Kingdom, The 1975 iaitu Matty Healy hangat diperkatakan di media sosial gara-gara kenyataan dan tindakan biadapnya semasa membuat persembahan di hari pertama Good Vibes Festival 2023 (GVF2023) di Sepang.

Dia bukan sahaja mengkritik undang-udang LGBT Malaysia semasa membuat persembahan, malah bertindak keterlaluan apabila mencium bassist kumpulan, Ross MacDonald di hadapan ribuan penonton sebelum aksi mereka dihentikan penganjur GVF2023.

Kontroversi tersebut menyebabkan Menteri Komunikasi & Digital, Fahmi Fadzil mengarahkan pembatalan festival tersebut yang masih lagi berbaki dua hari.

Keputusan berkenaan ternyata mengecewakan para penonton dan orang ramai yang sudah membeli tiket untuk ke festival berkenaan.

KKD kemudian memaklumkan The 1975 kini digam dari membuat konsert atau persembahan di Malaysia.

Baca artikel berkaitan: Pamer Aksi Biadap Di GVF2023, The 1975 Kena ‘Banned’ Dari Buat Persembahan Di Malaysia

Baca artikel berkaitan: Fahmi Fadzil Arah Good Vibes Festival 2023 Dibatalkan Serta Merta

Baca artikel berkaitan: Bercium Atas Pentas & Hina Undang-Undang LGBT Malaysia, Konsert The 1975 Di GVF2023 Dihentikan

Namun penganjur GVF2023, Future Sound Asia (FSA) yang tampil membuat permohonan maaf menjelaskan pihak mereka akan memaklumkan mengenai mekanisme pembayaran balik kepada pembeli-pembeli tiket secepat mungkin.

FSA menerusi satu kenyataan berkata, pihaknya juga telah bertindak menghentikan persembahan The 1975 sebaik Healy berbuat demikian.

Mereka turut menegaskan sentiasa memegang teguh pada dasar yang memerlukan kesemua artis yang membuat persembahan di festival mereka agar menghormati dan mematuhi undang-undang dan garis panduan Malaysia.

Tingkah laku Matty Healy yang tidak profesional dan secara terang-terangan menentang undang-undang dan peraturan Malaysia adalah mengganggu. Healy memilih untuk menjadikan persembahannya sebagai platform untuk meluahkan pendapat peribadinya dan bukannya menyampaikan persembahan berkualiti yang ditungu-tunggu peminat di Malaysia.

Penganjur GVF2023, Future Sound Asia (FSA).

Persoalan yang bermain di minda ramai rakyat Malaysia, mengapakah Healy berbuat demikian walhal dia sepatutnya beraksi sebaik mungkin di hadapan peminat yang memang menantikan persembahan di negara kita.

Jika disemak pada rekod bekas teman lelaki Taylor Swift ini, dia sememangnya mempunyai masalah malah sudah kerap kali mencetuskan kontroversi atau dalam bahasa mudahnya ‘membuat onar’ khususnya ketika beraksi di atas pentas.

Malah banyak media antarabangsa yang sudah cukup kenal dengan wataknya yang terlalu lantang dan banyak mencetuskan kontoversi.

Bagi memudahkan anda di bawah kami kongsikan beberapa kontroversi membabitkan vokalis Matt Healy ini:

#1 Makan daging mentah, teguk arak ketika perform di London 

Tak perlu pergi jauh, Healy pada bulan Julai ini sahaja sudah mencetuskan kontroversi apabila meratah daging mentah sewaktu membuat persembahan di Finsbury Park, London.

Aksi tersebut yang dilakukan di atas pentas turut diselitkan dengan perangai tidak semenggahnya apabila meneguk arak di hadapan orang ramai.

Lebih menjijikkan apabila dia dikatakan menghalakan mikrofon ke arah mulutnya ketika dia masih lagi mengunyah agar penonton dapat mendengar efek bunyi dari perbuatannya itu.

Macam record bunyi foley pula bukan?

Namun ini bukanlah aksi kali pertamanya, dia difahamkan pernah buat perkara sama sewaktu mengadakan persembahan di New York pada November tahun lalu.

#2 Dicop racist kerana kenyataan melampau

Healy juga pernah dicop racist kerana mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman terhadap rapper Amerika Syarikat, Ice Spice pada Februari 2023.

Kenyataan itu dikeluarkannya dalam satu temu bual podcast bersama pelawak komedi Adam Friedland bagi “The Adam Friedland Show”.

Dia dikata mentertawakan lawak hos berhubung etnik Ice Spice yang mempunyai keturunan Nigeria- Dominica selain memintanya untuk meniru slang Jepun.

Malah dia juga meniru slang orang Hawai dan Cina sehingga menimbulkan kemarahan orang ramai. Episod tersebut kemudian dikeluarkan dari Spotify dan Apple Podcast.

Healy kemudiannya membuat permohonan maaf kepada Ice Spice sewaktu mengadakan persembahan di Auckland, New Zealand.

#3 Digelar Islamofobia

Dia juga pernah digelar islamofobia gara-gara satu ciapan yang pernah dimuat naiknya beberapa tahun lalu.

Difahamkan dia di dalam ciapan yang sudah pun dipadam mendakwa ISIS dan agama Islam adalah satu perkara yang sama walhal ramai tahu organisasi itu tiada langsung kaitan dengan orang Islam.

Ciapan perbualan tersebut bagaimanapun berjaya ditangkap layar sebelum dimuat naik di Tumblr oleh seorang pengguna di sana.

Menerusi tangkap layar itu, seorang pengguna Twitter cuba menjelaskan kepada Healy bahawa ISIS menentang Islam. Malah dia menggalakkannya penyanyi itu untuk cuba mempelajari tentang agama Islam berbanding menyebarkan maklumat yang salah.

Healy bagaimanapun tidak mengendahkan pengguna itu sebaliknya menyoal apakah hukuman untuk mereka yang murtad dalam Islam. Dia dalam masa sama turut mengejek pengguna itu kerana dia mengendalikan akaun Fanpage seorang lagi penyanyi dari UK, Harry Styles.

Laman Buzzfeed turut melaporkan Healy yang menggelar dinya sebagai seorang atheis pernah berbuat perkara sama dalam satu temu bual bersama media di Mexico yang dikenali sebagaia Brut Mexico.

Malah laporan sama turut mendakwa Healy pernah memuat naik satu tangkap layar ciapan Twitter dari seorang individu di Instagram Story miliknya yang berbunyi : “You start dating a Muslim girl then Boom”.

#4 Pernah buat tabik hormat Nazi

Healy juga pernah mencetuskan kontroversi apabila membuat tabik hormat ala Nazi dalam satu persembahan.

Difahamkan aksi itu dibuat sewaktu dia menyanyikan bahagian “Thank you Kanye, very cool!” dari lagu The 1975 yang berjudul “Love It If We Made It.”

Ada yang berpendapat isyarat itu sebagai merujuk kepada kenyataan antisemitik dan memuji Adolf Hitler yang pernah dikeluarkan rapper, Kanye West pada penghujung 2022.

#5 Pernah cium peminat lelaki sewaktu show di Dubai

Jika anda merasakan tindakan keterlaluan Healy mencium bassist kumpulannya di Sepang adalah yang pertama kali, anda tersilap besar.

Ini kerana dia pernah berbuat perkara sama dengan mencium seorang peminat lelaki ketika mengadakan persembahan di Dubai.

Perbuatan itu nyata mencetuskan perdebatan hangat memandangkan Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengharamkan hubungan sejenis.

Namun sebelum itu, dia juga pernah mencium peminat lelaki di Amerika Syarikat dan pengawal di sebuah konsert di Sweden. Tapi isu ini mungkin tidak menjadi masalah di sana kerana undang-undang membenarkan hubungan sebegini.

#6 Pijak bendera Korea Selatan

Siapa sangka, Healy juga pernah mencetuskan kemarahan rakyat Korea Selatan apabila memuat naik satu foto memperlihatkan dia sedang memijak bendera Korea Selatan atau turut dikenali sebagai Taegeukgi.

Difahamkan insiden tersebut berlaku sekitar tahun 2019 dan bendera berkenaan adalah pemberian seorang rakyat dari negara itu.

Mungkin berang dengan perbuatannya, seorang netizen mempersoalkan perbuatan Healy yang berposing sambil memijak bendera. Namun jawapannya agak mengejutkan apabila dia berkata “bendera tersebut adalah miliknya” memandangkan ia adalah pemberian orang lain terhadapnya.

#7 Pernah hina Metallica

Healy juga pernah mencetuskan kontroversi apabila menghina kumpulan Metal lagenda, Metallica apabila menggelar mereka sebagai band paling teruk sepanjang zaman.

“Saya benci Metallica, band paling teruk sepanjang zaman,” katanya dalam satu temu bual bersama Pitchfork.

Mungkin perbuatan ini tidak seteruk mana pada sesetengah orang, namun buat peminat Metallica, ia adalah melampau.

Bukan setakat Metallica, Healy juga mempunyai masalah dengan pemuzik lagenda, Noel Gallagher dari kumpulan Oasis.

Difahamkan ia gara-gara satu kenyataan yang dikeluarkan Healy terhadap kumpulan itu yang mereka sukar untuk melakukan reunion kerana perbalahan Noel bersama adiknya, Liam Gallagher yang juga ahli kumpulan berkenaan.

Noel pada bulan Jun lalu kemudiannya mengkritik kumpulan The 1975 sebagai ‘tahi’ dan ‘not rock’. Ianya selepas kumpulan itu dinobatkan sebagai Best Rock/Alternative Act di BRIT Award pada Februari lalu.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.